Part 11

25.3K 1.6K 411
                                    

Tiap kali Daisha rindu pada abah, diluah dan diceritakan segalanya pada 'Al-Sami'. Selagi ada yang belum diceritakan, selagi itu kepala tidak diangkat dari sujud.

"Ya Allah, kalau betul abah tak nak terima aku hingga hujung nyawa, berilah aku peluang terakhir untuk berjumpa dengan dia. Aku janji, apa jua yang berlaku selepas tu, aku redha."

Lama Daisha termenung, entah ke mana agaknya lamunan dia pergi. Ibu jari diselak bersama, kedua tapak tangan dibawa ke dada. Perlahan tapak tangan Daisha menepuk bahagian dada berulang kali.

"Tak apa, Sofea kan kuat! Abah juga yang besarkan Sofea jadi seorang yang tabah. Sofea tak boleh nangis.."

Sejak mama tiada, Daisha hilang tukang pemberi semangat. Setiap kali selesai solat, kerap kali dia beri pelukan untuk diri sendiri, diusap bahu yang menanggung beban seorang diri selama ini. Bahagian hujung telekung dikesat pada pipi yang lembab.

Sofea rindu mama..

Pecah kesunyian malam bila telefon bimbit berdering. Siapa pula yang telefon malam-malam ni. Jarang sekali telefon dia hendak menerima sebarang panggilan melainkan daripada Kak Jiah, Pak Mat, dan Ariff.

"Asslamualaikum, Sofea."

"Wa— waalaikumussalam, Arash.." Selama ini, Sofea sahaja yang rajin menelefon. Itu pun satu atau dua kali sahaja seminggu. Hendak telefon lebih-lebih, dia segan. Acap kali Daisha perlu ingatkan diri, dia dan Arash tiada apa-apa, Arash ke Ulu Kinta pun atas urusan kerja. Buat apa hendak ganggu.

"Sofea rindu saya kan? Saya dah agak dah. Sebab tu saya call. Saya baru habis roll call." Ringan mulut Arash bercerita bila dengan si dia.

"Roll call tu apa..?"

"Beratur ramai-ramai, buat makan-makan untuk rapatkan silaturrahim." Sambil bercakap kosong, Arash menarik tshirt yang dipakai melepasi kepala.

"Oh.." Daisha mengangguk kecil pada penerangan Arash.

"Sofea buat apa? Saya kacau ke?" Dah telefon, baru Arash terdetik hendak bertanya. Terlampau rindu hingga lupa berfikiran logik.

"Tak! Saya.." Anak mata Daisha mengesan keliling bilik. "Saya tengah baca novel yang awak bagi."

Kerap kali Daisha sorokkan air mata hingga dia sendiri berasa segan hendak beritahu orang bahawa dia sedang menangis. Cukuplah diri sendiri sahaja yang menanggung.

"Best ke baca novel gedik-gedik?"

"Best! Saya dah habis baca satu novel." Jari Daisha naik menekap ulas bibir untuk menahan tawa. Daripada nada suara Arash menanyakan soalan, si dia bagai geli-geleman dengan novel romantik sedangkan Arash sendiri yang belikan novel-novel ini.

Arash merebahkan badan atas katil sambil ditemani suara Daisha yang sedang menceritakan novel yang sudah habis dibaca daripada bab awal hingga akhir. Setiap perincian diambil kira, segalanya diceritakan Daisha pada Arash.

"Sweet kan?" Habis sahaja dia bercerita, Daisha menyoal, meminta pendapat dan tanggapan daripada Arash sambil menekap novel tersebut ke dada. Berbunga-bunga isi perut bila teringat semula babak comel dalam novel yang diceritakan tadi.

"Geli." Balas Arash.

"Hey! Sweet lah dia bagi bunga dekat isteri dia!"

"Sofea pernah dapat bunga?" Jarang-jarang Arash hendak menyoal kisah peribadi Daisha. Tak pernah sentuh perihal peribadi pun, kerap kali dia tersilap bertanyakan soalan, inikan pula benda yang melibatkan privasi, walaupun kadang-kadang Arash sendiri tertanya-tanya.

"Pernah!"

Bunga yang diterima Daisha daripada Arash lebih kurang dua tahun yang lalu muncul kembali dalam ingatan. Biarpun nama pada penerima berbeza dan Daisha sendiri tahu niat sebenar Arash pada waktu itu bukan untuk dirinya, namun setiap kali memori indah itu muncul di ingatan, pasti senyuman bercorak pada wajah Daisha.

Her ProtectorWhere stories live. Discover now