Part 43

18.5K 1.8K 521
                                    

"Arash, bini kau," Akily menyiku bahagian sisi badan Arash, tidak lekang kelopak matanya memandang gadis yang berdiri di bahagian luar khemah.

"Bini aku dekat Penang, Kily," pisau tajam di tangan Arash terus memotong bahagian kentang yang telah dikupas. Kali ini potongannya lebih besar seperti yang diarah Akily.

"Bini kau dekat situ lah," siku Akily menigung lebih keras lagi bagi mendapatkan perhatian Arash. Biarpun tidak pernah berbual panjang, dia pernah bersua muka, pernah juga duduk semeja dengan Daisha. Mustahil dia silap orang.

"Rash!"

"Kau ni kalau aku cincang—" tergantung terus kata-kata Arash di hujung lidah. Dongak sahaja wajah, bertentang empat mata dia dan isteri. Pisau di tangan jatuh ke papan pemotong. Ditepis tubuh di sekelilingnya, terburu-buru Arash mengatur langkah menghampiri Daisha.

Pudar air muka Arash. Semakin dampil dia pada si isteri, semakin jelas raut wajah Daisha. Mata yang bengkak, usah ditegur. Gelungan gelap pada bahagian bawah mata juga semakin ketara pada pandangan. Terdapat juga calitan merah pada bahagian pipi Daisha biarpun tidak sebegitu kental warnanya.

"Sayang..." lengan Arash naik dan cuba menggapai tubuh isteri yang menggeletar.

"Cawan— cawan abang...." menggagau tangan Daisha memancing kepulan kertas dari dalam beg yang kini bercampur dengan darah dari luka di tangannya.

"Sofea—" tenang suara Arash menegur biarpun dalam hatinya kini tidak keruan.

Berderang bunyi apabila serpihan yang tersimpan kemas dalam kepulan kertas tadi kini jatuh ke tanah. Masing-masing menggerakkan kaki bagi mengelak daripada terkena bahagian tajam daripada serpai.

"Abang..." Bergopoh-gapah Daisha cuba untuk kutip butiran yang jatuh. Badannya belum sempat bertinggung, Arash sudah menahan dirinya supaya kakinya kekal tegak berdiri. Perlahan-lahan bunyi serpih dipijak apabila Arash mengambil lagi beberapa langkah mendekati isteri.

"Kenapa Sofea balik sendiri? Kenapa tak bagitahu abang?" pautan tangan Arash pada bahu si isteri bagai mengapit tubuh Daisha, erat cengkamannya namun masih berbebat dengan lembutan.

Tangan Arash mungkum pula pada pipi isteri, lembut wajah Daisha ditolak supaya mengahadapnya. Anak mata Daisha yang melilau, suara tangisan yang terputus-putus menyebabkan dia juga turut beresah-esah. "Sayang— Sofea, pandang abang. Pandang abang. Kenapa ni?"

Berkumat-kamit mulut Daisha hendak menjawab namun lidahnya kemab, hanya esakan yang terlepas dari celah ulas bibir.

Nampak si isteri bagai tertindis dengan soalan, Arash terus mengetap bibir. Terasa bagai berada di jalan buntu bila dia sendiri tidak terdaya untuk menolong.

Kepala isteri dirangkul, ditarik rapat ke bahu. Lebih curai badan Daisha yang menggigil dalam dakapan. Berulang kali tangan Arash mengelus bahagian belakang kepala Daisha dalam usaha untuk menenangkan si isteri.

Jarinya yang dipaut dengan tali beg dilepas, jatuh beg galas tersebut di sebelah tapak kakinya sebelum Daisha membalas pelukan suami. Kotak kepala Daisha yang serebeh berdikit-dikit menjadi sering, tapak tangannya yang perih memagut tubuh sasa Arash. Tenggelam esakan Daisha, sebahagian kecil daripada baju kemeja-T berwarna putih yang dipakai si suami digumpal dalam genggaman.

Lama dibiarkan si isteri melepaskan takungan air mata sehingga lembab bahagian bahunya. Biarpun pelukannya sudah cukup erat, masih terasa lapang jaraknya di antara mereka. Lihat Daisha dalam keadaan sebegini mengingatkan dia semula pada malam pertama mereka tidur sebilik di mana Daisha hampir meracau dek terimbau dengan bayangan silam.

Takkan lah...

Pisahnya pelukan, tapak tangan Arash kembali melengkung pada pipi si isteri, membongkok badannya untuk menyelarikan anak matanya dengan mata si isteri. Esakan Daisha yang meleret tadi kini jeda biarpun sekali sekala sedu-sedan Daisha hadir dengan sisa baki tangisan.

Her ProtectorWhere stories live. Discover now