Part 40

21K 1.7K 434
                                    

Bergeser bahagian bawah pisau pada pinggan kaca, potongan penkek dimasukkan ke dalam mulut. Riak wajah Daisha akan rasa manis dari madu yang telah dicurahkan pada hidangan sarapan paginya.

Puas dengan penkek, tekak teringin pula makanan yang lebih kuat rasanya. Pinggan berisi penkek ditolak ke tepi, roti canai yang dibeli Arash dari gerai mamak berdekatan dengan hotel pula menjadi sasaran. Jari telunjuk dan ibu jari mengoyak sedikit sebahagian kecil, dicalit pada mangkuk berisi kuah kari, dipalit pula dengan kuah dal yang pekat, semakin senang hati jadinya.

"Sedap, sayang?" berselera sungguh si cantik. Barang-barang penting diselit dalam kocek seluar. Beg berisi baju, barangan mandi, kesemuanya ditinggalkan di dalam almari. Petang nanti dia hendak balik semula ke sini juga. Lebih baik dia bawa apa yang patut sahaja.

"Sedap! Abang tak nak makan lagi? Kita punya roti canai ada lagi sekeping ni?" muncung bibir Daisha pada penyedut minuman.

"Tak nak. Abang kan dah makan tadi? Tak boleh makan banyak sangat, abang ada training sekejap lagi." jam tangan dipakai pada tangan kanan, langkahnya disusun semula pada isteri. "Abang dah minta orang datang sini untuk hantar awak balik ke hostel dalam pukul 11. Abang dah bagitahu pihak hotel. Awak jangan turun selagi pihak hotel tak telefon."

Dalam pada kepalanya mengangguk, mulut Daisha juga turut sama bekerja.

Entah dengar ke tidak pesanan yang diberi.

"Kalau awak nak order apa-apa, order lah. Tak payah bayar. Nanti diaorang potong daripada kad abang. Jangan keluar, sayang. Abang tak suka awak keluar seorang-seorang. Abang jauh ni, Sofea. Dengar tak?"

"Ye, kita tak keluar, abang. Kita duduk je dalam ni sampai orang tu sampai!" tangan menolak meja, kaki yang bersimpuh kini tegak berdiri, dipaut tangan suami untuk disantuni.

"Awak ada nak keluar makan dengan kawan-kawan ke malam nanti?" ikut Arash, sampai sahaja ke Penang, dia terus hendak ambil si isteri dari hostel.

"Kita tak tahu lagi..nanti kita tanya diaorang dulu. Ke abang nak kita tunggu abang? Makan malam sama-sama?"

"Apa-apa, Sofea bagitahu abang. Tak payah kisah pasal abang. Sofea nak makan dengan diaorang, makanlah. Abang boleh je makan dekat pangkalan sana, tak pun abang singgah lah mamak dekat-dekat sini sebelum abang ambil awak." Arash merendahkan tubuhnya, dikucup pula dahi si isteri.

"Abang...kalau abang tak larat nak balik sini, tak apa—" dari semalam lagi Daisha cuba untuk pujuk si suami supaya tidak perlu menyusahkan diri. Ulang-alik dari pangkalan ke sini bukannya dekat. Semalam juga, Arash sanggup tidur lewat hanya untuk temankan dia tonton filem seram. 24 jam sehari juga tidak cukup untuk jadual kerja Arash yang padat, inikan pula untuk menemani dia di sini.

"Larat, sayang. Abang larat," cantas Arash dengan senyuman. Ulang lah kesekian kali, jawapan Arash tetap sama. Dia juga tahu niat Daisha. Lali sudah dengan perangai si isteri yang suka meletakkan orang lain melebihi dirnya sendiri. "Abang teman awak untuk minggu ni. Minggu depan, tengok macam mana. Kalau Sofea masih tak boleh biasakan diri, abang teman awak selagi abang larat."

"Kita minta maaf susahkan abang..."

"Siapa cakap?" jelas gigi Arash yang tersusun kemas apabila pinggir ulas bibirnya naik. "Abang lagi seronok dapat jumpa awak hari-hari, dapat teman awak masuk belajar. Dah, abang gerak dulu, sayang."

"Elok-elok tau, abang. Dah sampai sana, bagitahu kita!" bergerak-gerak tapak tangan Daisha, pandangan kekal dikancing pada Arash sehingga daun pintu bilik ditutup rapat. Berbalik semula pandangan dia pada roti canai.

**

Bangunan putih dengan calitan biru gelap kelihatan semakin jelas pada pandangan apabila pacuan kereta memasuki jalan besar. Terburu-buru Daisha membawa keluar beg dompet untuk membayar upah pada pemandu.

Her ProtectorWhere stories live. Discover now