Ep 38

27.2K 1K 7
                                    

Datin Marina runsing memerhatikan anak gadisnya yang mundar mandir sejak tadi. Sekejap duduk, sekejap berdiri, kemudian mundar-mandir semula di sekitar ruang tamu rumahnya itu.

"Sufyna, kenapa ni sayang? cuba duduk sekejap. Cerita pada mummy. Kenapa nak mundar-mandir ni? Runsing mummy tengok tau!" kata Datin Marina. Dia duduk menghadap Sufyna yang sedang memicit-micit hujung jarinya sendiri.

"Mummy ... Fyna dah terjumpa Fahrin tadi," jawab Sufyna perlahan.

"Jadi, Aiden ada tak?" tanya Datin Marina dengan terujanya.

Sufyna mengeleng. Datin Marina mengeluh hampa.

Sejak Sufyna menceritakan hal peribadinya semasa berada di Spain dia berasa sedikit kecewa dan marah! Begitu juga suaminya Dato' Malik. Tidak mereka sangka Sufyna telah memegang status 'janda' rupanya. Dek kerana anak kandung sendiri, nak dimarahkan, perkara sudah terjadi. Jika dimarahi, dipukul pun, keadaan tidak akan kembali seperti asal. Yang berlaku, sudah pun berlaku.

"Fahrin tak benarkan Sufyna jumpa Aiden ke?" tanya Datin Marina lagi.

"Tak, Fyna tak sempat cakap apa-apa kat dia. Dia terus blah bila nampak muka Fyna ni. Salah Fyna juga dulu, abaikan dia dengan Aiden," keluh Sufyna. Dia kini menyesal akan sikapnya yang dahulu. Puas sudah Fahrin memujuknya agar berubah. Namun hatinya yang keras berkarat ini enggan sungguh! Bila seseorang itu telah pergi jauh, baru hendak terhegeh-hegeh mencari semula. Semasa bersama tidak dihargai.

Puan Seri Jannah tersenyum gembira melihat Aleyah di dapur rumahnya. Akhirnya Fahrin berjaya juga memujuk hati Aleyah yang keras itu. Malam ini Aleyah bermalam lagi di Villa bagi menyambut sambutan hari lahirnya.

"Al masak apa ni?" soalnya saat mendekati menantunya itu.

Aleyah menoleh dan tersenyum.

"Erm, spagetti ... Fahrin cakap, Puan Seri teringin nak makan spagetti," balas Aleyah. Kuah sos spagetti di dalam periuk digaul mesra. Terserlah bau enak dari masakan Aleyah itu.

"Mana ada umi yang teringin. Dia yang nak sangat tu, mengada sungguh jual nama umi dia," ujar Puan Seri Jannah sambil tertawa kecil.

Aleyah mengangkat kening.

"Hah? Pu-puan seri tak makan spagetti ke?" kalut Aleyah jadinya.

"Apa-apa yang Al masak, semua umi makan. Tak payah risaulah ... lagipun bau sedap dah ni, tak sabar nak makan," balas Puan Seri Jannah.

Aleyah tersenyum lega.

"Kejap lagi dah nak masaklah ni. Nanti dah siap Al angkat kat meja," beritahu Aleyah.

"Yelah ... umi temankan Aiden tengok tv dulu kat depan tu," kata Puan Seri Jannah lantas menuju ke ruang tamu.

Aleyah kembali dengan kerjanya.

Plastik beliannya tadi dicapai dan dikeluarkan mi spagetti. Aleyah khusyuk membersihkan 'batang lidi' itu. Langsung dia tidak perasan kehadiran Fahrin di ruang dapur itu. Apabila dia menoleh ke belakang, Fahrin berdiri betul-betul di belakangnya sambil tersenyum nakal.

"Awak nak apa? Saya busy, nak masak ni," kata Aleyah menyembunyikan perasaan terkejutnya. Matanya tidak berani memandang lelaki itu. Hatinya bertambah gugup.

"Ssehh ... sikit-sikit busy je," ejek Fahrin sambil memuncungkan bibir. Sudah jadi tabiat nampaknya.

"Yelah ... ada kerja nak buat, memanglah busy. Awak mana faham," balas Aleyah. Spagetti yang dicuci tadi selamat masuk ke dalam periuk berisi air panas mendidih.

Fahrin memerhatikan pergerakan Aleyah. Perasaan simpati menyelubungi hati. Isterinya itu di pejabat jadi CEO, ke hulu ke hilir, meeting di sana-sini. Di rumah menjadi isteri. Pulang daripada membeli barang, terus sahaja Aleyah memulakan kerja di dapur pula. Memang tak ada curi tulang langsung. Kecuali sebagai isteri sebenar dialah.

"Puan Seri cakap, awak yang teringin nak makan spagetti ni, bukan dia," ujar Aleyah sambil mengacau kuah sos.

"Kenapa? Kalau saya cakap saya yang nak, Aleyah masakan jugak ke?" duga Fahrin. Berdebar juga menunggu jawapan Aleyah ni. Terkadang Aleyah akan memberikan jawapan 'tajam' kepadanya.

"Boleh je kalau awak nak," balas Aleyah.

Fahrin terkejut dalam gembira.

"Wah, betul ke ni?" macam tak percaya pula.

"Hurm! Boleh, awak nak saya masak apa? Kalau saya senang masa, saya buatkan lah," sambung Aleyah lagi.

Berbunga riang hati Fahrin mendengarnya.

"Okay, kalau macam tu, masak apa-apa je untuk saya. Tak kisah makanan apa. Tapi tiap-tiap harilah ... boleh?" pinta Fahrin. Terus kasi demand!

"Alaa, kan saya dah cakap, kalau saya senang masak, bolehlah buat ... awak pun tahu, kan hari-hari saya busy," balas Aleyah.

"Ish, lain kali jangan bagi harapan palsu macam ni! Kecewanya ..." monyok terus riak wajah Fahrin.

Aleyah ketawa.

"Harapan palsu? Haha ... bukan tak boleh masakan. Tapi kalau hari-hari memang tak boleh. Sekali sekala macam ni tak apa lah," balas Aleyah dalam ketawanya.

"Samalah tu ... Aleyah bukan selalu kat sini. Nak ajak tinggal sama tak nak ... kalau Aleyah tinggal kat sini kan bagus," rajuk Fahrin.

Aleyah terkedu seketika. Wajah Fahrin dipandang lama.

"Saya minta maaf. Saya masih perlukan masa, ruang privasi ... ada banyak yang perlu saya tanggung ... dan ada perkara yang perlu saya selesaikan dulu. Saya minta maaf sangat-sangat." ujar Aleyah. Mengharapkan dirinya difahami.

"Tapi sampai bila? Kenapa Aleyah nak tanggung seorang diri? Saya betul-betul nak tahu ... apa sebenarnya yang buatkan Aleyah takut untuk hidup bersama? Kenapa nak bersendiri? Saya kan ada ... cubalah beritahu saya, saya sedia berkongsi masalah Aleyah," kata Fahrin dengan serius. Apa sebenarnya yang Aleyah sembunyikan darinya?

Aleyah berdiam. Sukar untuk dia beritahu segalanya. Mulutnya seakan kaku terkunci.

"Mama, food ..." pintas Aiden yang baru masuk ke ruang dapur itu.

"Errm ... kejap ya Aiden, dah nak siap ni, " Aleyah lega kerana terselamat dari soalan Fahrin.

Fahrin mengeluh hampa. Bilakah Aleyah akan ceritakan segala kepadanya.

Aleyah lantas menyiap-nyiapkan pinggan mangkuk ke ruang meja makan. Fahrin pula mengeluarkan sebiji kek keju daripada peti sejuk. Simbolik bagi menyambut hari lahir uminya, Puan Seri Jannah.

"Allah selamatkan kamu~ Allah selamatkan kamu~
Allah selamatkan umi Jannah~ Allah selamatkan umi ..." usai nyanyian tersebut, Fahrin membaca doa selamat dan kesyukuran atas limpah kurniaan Allah ke atas hidup mereka semua. Bersyukur, Allah memberikan peluang bagi dirinya bersama lagi dengan uminya di dunia ini.

"Puan Seri, selamat hari lahir. Maaflah, Al tak sempat sediakan hadiah ... tapi Puan Seri cakap je, Puan Seri nak apa ... Insya Allah Al akan belikan," ucap Aleyah setelah menyalami dan mengucup lembut tangan wanita yang menganggapnya anak itu.

Puan seri Jannah tersenyum penuh makna.

"Umi tak nak apa-apa. Tapi sebelum umi nak pergi jauh ni, umi nak Al tukar panggilan boleh?"

Aleyah mengerutkan dahi memandang tidak mengerti ke arah Puan Seri Jannah.

"Mulai hari ni, Al kena panggil umi ni, 'umi' tak nak 'Puan Seri' dah ... dan Al kena panggil Fahrin, 'abang' ... tak maulah 'awak' je memanjang, kan dah lama Al kahwin dengan Fahrin ... dah nak empat tahun. Boleh kan?" pinta Puan Seri Jannah sambil mengenggam lembut tangan Aleyah. Anak mata Aleyah ditenung lembut.

Aleyah terkedu sebelum mengangguk perlahan. Selalu saja Puan Seri Jannah berjaya memujuk dirinya. Kenapa ya? Lagipula Puan Seri Jannah hendak ke mana buat permintaan macam ni?

Sedar tak sedar juga, rupanya sudah hampir empat tahun dia menjadi isteri Fahrin. Tak terfikir pun selama ini. Begitu panjang jodoh mereka meskipun jarak hati begitu jauh selama ini.

Secebis Hati Yang TerlukaWhere stories live. Discover now