1

1.5K 41 4
                                    

TENGKU JAAFAR mengeluh beberapa kali. Sukar untuk dia percaya dengan apa yang dia sedang baca. Mesej dari pekerjanya yang berpangkalan di London mengejutkannya. Berulang-kali Tengku Jaafar membaca mesej itu. Tak cukup dengan membaca mesej, dia menghubungi pekerjanya bagi mengesahkannya. Jawapan yang diterima sama dengan mesej yang dibacanya. Malah gambar yang dikirimkan itu juga menyukarkan Tengku Jaafar untuk mempercayai. Sama ada benar atau tidak, dia tidak pasti. Dia berasa curiga. Mustahil pelaku yang bersubahat dengan Tan Sri Halim itu adalah Tengku Adurah!

Kenapa Tengku Adurah bersubahat dengan Tan Sri Halim? Adakah Tengku Adurah berpakat dengan Tan Sri Halim dalam kes penculikan yang menyebabkan kematian arwah Hanna? Persoalan ini mula bermain-main di fikiran Tengku Jaafar. Dia hendak menyoal anak perempuannya itu tetapi anak perempuannya sudah mati!

Tengku Adurah meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah kondominium di London kerana terperangkap dalam kebakaran. Sebelum Tengku Adurah menghembuskan nafas, dia mengaku kepada staf Tengku Jaafar yang kebetulan berada di hospital yang merawat Tengku Adurah. Tengku Adurah mengaku dia bersubahat dengan Tan Sri Halim namun dia tidak menyatakan apa yang dia sudah buat dengan Tan Sri Halim. Tengku Adurah meninggalkan pelbagai persoalan kepada Tengku Jaafar.

Andai Tengku Adurah masih hidup, dia akan membawa Tengku Adurah ke muka pengadilan. Anak perempuannya itu sudah melakukan kesalahan yang begitu besar. Nyawa orang yang tidak bersalah telah melayang kerana persubahatan ini. Mungkin kerana Tengku Adurah tidak dapat Jefri yang telah memilih Hanna sebagai suri hatinya, dia berpakat dengan Tan Sri Halim demi membolehkan dia memiliki Jefri tetapi mustahil Tengku Adurah terlibat dalam penculikan yang membawa kepada pembunuhan tersebut. Argh! Sakit kepalanya memikirkannya.

Tengku Jaafar membuat keputusan. Seandainya benar telahannya, dia sudah boleh menarik nafas lega kerana Tengku Adurah sudah meninggal dunia dan tidak perlu lagi menjadi kes. Lagipun kes itu sudah selesai. Tan Sri Halim sudah dihukum gantung. Mereka semua sudah hidup dengan aman dan bahagia. Tiada isu besar yang melanda keluarganya.

Tengku Jaafar mengambil tali leher dari laci meja. Matanya terpaku pada sekeping gambar. Di dalam gambar itu terdapat dia dengan seorang wanita ketika masih muda. Reaksi Tengku Jaafar berubah.

Dia teringatkan arwah bekas isteri pertamanya, Juwita. Wanita di dalam gambar itu adalah Juwita. Datang perasaan sakit hatinya bila teringatkan kecurangan Juwita yang telah melahirkan Tengku Adurah, anak dari lelaki yang dicintai oleh Juwita. Di sebalik kesibukan Tengku Jaafar, Juwita berasmaradana dengan pemandunya. Bila Tengku Adurah dilahirkan, Juwita mengatakan anak itu anaknya tetapi rahsia yang disimpan tidak bertahan lama bila Tengku Jaafar berasa curiga kenapa Tengku Adurah sangat rapat dengan pemandunya. Malah Juwita pula asyik menyuruh Tengku Adurah mengikut pemandunya ke mana sahaja. Dia terdengar perbualan Juwita dengan pemandunya tentang Tengku Adurah. Dari situlah dia mengetahui anak perempuan yang dia tatang penuh itu bukan anak kandungnya.

Jadi, patutkah dia menyayangi Tengku Adurah apabila Tengku Adurah melakukan kesalahan dengan bersubahat dengan Tan Sri Halim? Seandainya Tengku Adurah tidak bersubahat, dia akan anggap Tengku Adurah seperti anak perempuannya biarpun darahnya tidak mengalir dalam badan Tengku Adurah.

"Abang,"

Tengku Jaafar tersentak. Dia menutup laci meja membiarkan gambar itu berada di situ. Dia memusingkan badan ke belakang. Dia memandang Puan Naurah yang anggun memakai busana yang direka khas untuknya. Tengku Jaafar mengupah pereka dari Indonesia untuk mereka busana yang berharga ratusan ribu itu untuk malam yang meraikan hari ulang tahun perkahwinan mereka.

"Kenapa tak turun lagi? Mereka semua tengah tunggu abang." Ujar Puan Naurah dengan nada yang lembut.

Tengku Jaafar mengukir senyuman.

TUAN JEFRI 2 - YUHAIRAWhere stories live. Discover now