14

278 16 1
                                    

SYED Huzair turun ke bawah. Dia melihat Syed Abdullah sedang tekun membaca surat khabar. Syed Abdullah tinggal beberapa hari di rumahnya kerana rumah lamanya dalam proses ubahsuai. Maryam pula sudah di bawa pergi oleh Tuan Malik dan Puan Rahayu. Minggu depan akan berlangsungnya sidang mahkamah bagi kes perceraian antara Syed Huzair dengan Maryam. Syed Huzair berasa lega kerana akhirnya dia sudah mengusir Maryam keluar dari hidupnya. Sudah puas dia menyeksa Maryam selama ini.

"Huzair, nanti." Syed Abdullah bangun dan memandang anak bongsunya.

"Ada apa? Saya dah lewat nak masuk kerja ni." Ujar Syed Huzair.

"Papa nak berbincang perihal Maryam."

"Nak bincang apa lagi? Saya akan menceraikan Maryam walaupun kamu semua menghalang saya." Tegas Syed Huzair. Dia tidak pernah bercakap dengan baik dengan Syed Abdullah semenjak kematian mamanya. Sehingga kini Syed Huzair menyalahkan Syed Abdullah di atas kematian mamanya. Maryam turut menjadi mangsa amarah Syed Huzair kerana ketika Syed Huzair dapat tahu anak yang dilahirkan Maryam bukan anaknya, arwah mamanya diserang sakit jantung ketika mengetahui hal itu. Syed Abdullah pula tergamak meninggalkan arwah mamanya yang tengah sakit kerana isteri keduanya kemalangan. Dua-dua manusia ini paling dibenci oleh Syed Huzair.

"Bukan fasal tu tapi fasal anak Maryam. Mana kamu bawa anak Maryam?" tanya Syed Abdullah.

"Kenapa nak tahu fasal anak luar nikah tu? Apa kaitan papa dengan anak luar nikah tu pula?" soal Syed Huzair.

"Anak tu cucu papa. Papa berhak tahu di mana dia berada sekarang." Kalau tak kerana Tuan Malik yang merayu supaya dia mencari anak Maryam, dia tak akan menanya Syed Huzair. Syed Abdullah sama macam Syed Huzair, tidak lagi menyukai Maryam kerana kecurangan Maryam. Soal anak Maryam pula, Syed Abdullah malas ambil tahu di mana keberadaan anak itu sebenarnya. Tetapi bila memikirkan Tuan Malik yang bersungguh-sungguh mahu mencari keberadaan cucu tunggalnya itu, terpaksalah Syed Abdullah tanya Syed Huzair.

"Cucu papa? Cucu papa hanya ada Arisa, anak Zaim. Anak Maryam lahirkan tu bukan cucu papa! Itu anak jantan haram yang Maryam kandungkan." Naik suara Syed Huzair.

"Jangan menyalahkan anak Maryam, Huzair. Dia tak bersalah. Yang bersalah adalah Maryam. Kamu dah pun seksa Maryam selama ini, kamu nak seksa anak itu pula?"

"Saya tak salahkan budak tu. Saya masih waras lagi. Cuma saya tak boleh beritahu di mana budak tu sekarang."

"Kenapa pula kamu tak boleh beritahu di mana anak Maryam berada? Kamu dah bunuh dia?" soal Syed Abdullah.

"Saya tak jahat sampai nak membunuh, pa."

"Habis tu, di mana anak Maryam sekarang? Beritahu papa, Huzair!" tekan Syed Abdullah.

Syed Huzair mendengus. "Saya tak tahu mana budak tu ada. Saya dah tak berhubung lagi dengan orang tu."

"Siapa orang tu?"

"Bekas orang gaji ayah Maryam. Saya serahkan budak tu dekat dia. Lepas tu, saya dah tak peduli dah ke mana dia nak bawa budak tu." Tiga tahun lepas, dia tidak tergamak mahu membuang anak Maryam bahkan tidak mahu menghantar anak itu ke rumah anak yatim. Dia tidak menyalahkan anak itu. Tidak sesekali menyalahkannya. Yang salah adalah Maryam. Maryam sepatutnya menggugurkan sahaja anak itu kerana bila anak itu lahir, anak itu akan dipadang serong oleh masyarakat kerana status anak luar nikahnya. Jadi, Syed Huzair menyerahkan kepada bekas orang gaji Tuan Malik kerana Syed Huzair yakin anak Maryam dapat dijaga dengan oleh mereka. Cuma, Syed Huzair sudah tidak ingat apa nama mereka kerana selepas menyerahkan anak Maryam, Syed Huzair mengambil keputusan untuk melupakan semuanya.

"Apa nama dia? Papa nak cari."

"Saya tak ingat nama dia. Tak ada gunanya papa cari budak tu. Entah-entah budak tu dah mati."

TUAN JEFRI 2 - YUHAIRAWhere stories live. Discover now