6

389 22 0
                                    

LAMA Tengku Jaafar memandang anak perempuan Tuan Ahmad yang sibuk melayan tetamu yang hadir. Si kecil yang dipangkunya itu menarik perhatian Tengku Jaafar. Tiba-tiba kenangan lalu datang mengusik. Pada 30 tahun yang lalu, Tengku Jaafar dan arwah Juwita menerima cahaya mata pertama mereka. Mereka berdua menjemput ramai tetamu untuk meraikan majlis cukur jambul puteri sulung mereka iaitu Tengku Adurah. Suasana pada malam ini tidak ubah seperti suasana dahulu. Perasaan Tengku Jaafar mula berkecamuk. Dia pegang dadanya yang mula kesakitan itu. Dadanya menjadi sakit apabila teringatkan kecurangan arwah Juwita sehingga melahirkan Tengku Adurah yang dia anggap selama ini sebagai anak kandungnya. Kerana sayang kepada Tengku Adurah, kebencian itu hilang dengan serta-merta. Tengku Adurah pula entah sudah meninggal dunia atau tidak. Kematiannya dicurigai dan siasatan dijalankan. Harapnya dapat keputusan yang memuaskan hati Tengku Jaafar. Kesilapan dan kesalahan Tengku Adurah itu begitu besar sekali. Nak memaafkan, ia terlalu susah bagi Tengku Jaafar. Hendak membenci si anak itu untuk selama-lamanya, dia tidak sanggup. Dia sangat menyayangi Tengku Adurah. Lagipun, kasih sayang sebagai seorang ayah terhadap anak perempuan tidak akan pernah pudar walaupun si anak perempuannya melakukan kesalahan.

Tengku Jaafar melepaskan keluhan. Sebentar tadi, ASP Razak memberitahu yang Juwita, anak Tuan Ahmad itu bukan sesiapa. Bukan arwah isterinya yang tiba-tiba hidup kembali. Lagipun mustahil orang yang sudah meninggal dunia hidup semula. Wajah dan nama anak perempuan Tuan Ahmad itu hanyalah satu kebetulan sahaja.

Namun wajah itu mengguris hati Tengku Jaafar. Kenangan dan kesakitan bercampur-aduk dalam rencah kehidupannya selama ini. Ia masih belum hilang. Masih segar di ingatan.

Tengku Jaafar tidak sedar akan air matanya mengalir keluar. Yuhaira mengeluarkan tisu untuk Tengku Jaafar, lelaki yang dikenalinya itu.

"Tengku okay?" tanya Yuhaira mengejutkan Tengku Jaafar.

Tengku Jaafar memandang Yuhaira. Dia seperti mengenali gadis itu. Tidak silapnya, Yuhaira pernah datang ke rumahnya sebagai pekerja ketering semasa majlis ulangtahun perkahwinannya dengan Puan Naurah.

"Kamu Yuhaira, kan?" tanya Tengku Jaafar menginginkan kepastian.

"Ya, saya. Saya pernah buat ketering di rumah Tengku. Tengku okay?"

"Saya okay."

Yuhaira menghulurkan tisu kepada Tengku Jaafar. "Nah, sapu air mata Tengku. Tak kacaklah lelaki menangis."

Tengku Jaafar baru perasan pipinya basah kerana air mata. Entah bila dia menangis, dia tidak sedar. Mungkin dia terlalu mengenangkan masa lalu yang sangat perit menyebabkan dia menangis tanpa sedar. Tengku Jaafar mengambil tisu dan mengelap air matanya.

"Kamu sekarang kerja apa selain kerja ketering?" tanya Tengku Jaafar.

"Saya tengah jaga Haider, anak Datuk Jefri. Tapi saya start jaganya minggu depan."

"Oh, jadi kamulah pengasuh baru Haider. Isteri saya selalu berceritakan tentang kamu. Katanya, Haider sukakan kamu. Syukurlah Haider dapat pengasuh yang baik seperti kamu. Cucu saya itu susah duduk dengan orang yang dia tidak kenal. Dengan kamu nanti, takkan ada masalah hendak menjaga Haider."

Yuhaira senyum. Entah kenapa senyuman itu membuatkan Tengku Jaafar teringatkan seseorang yang pernah bertakhta dalam hatinya. Senyuman Yuhaira sangat mirip dengan dia. Kenapa begitu banyak persamaan pada malam ini? Mainan takdir atau satu kebetulan?

"Saya bersyukur juga Datuk Jefri sudi ambil saya sebagai pengasuh anaknya. Kerja sekarang susah nak dapat. Kalau ada kerja kosong, mesti nak pengalaman. Saya mana ada pengalaman lagi. Baru habis belajar, nak ada pengalaman macam mana? Lagipun, kerja pengasuh ni gaji lumayan juga. Datuk Jefri memang tak kedekut orangnya. Gaji beribu-ribu macam gaji pekerja kat syarikat dia pula. Sukanya saya."

TUAN JEFRI 2 - YUHAIRAWhere stories live. Discover now