13

313 19 0
                                    

RUHAILA menyandar di katil. Kepalanya masih lagi berdenyut kesakitan. Angkara semalam, dia diserang sebuah kejutan yang tidak dia sangkakan. Apa yang dia mahu jauhkan selama ini, sudah ada di depannya. Dia tidak menyangka anak perempuan yang dia tidak jumpa selama 20 tahun ini akhirnya bertemu kembali. Cuma dia bernasib baik Yuhaira tidak mengenali dia kerana semasa dia melarikan diri dahulu, Yuhaira masih kecil lagi.

Dia melarikan diri selama 20 tahun daripada semua yang mengenalinya. Dia nekad untuk menghapuskan masa silam yang penuh duka dan deritanya itu agar dia boleh hidup dengan aman dan tenang. Dia sanggup menipu Osman dan seluruh keluarga Osman tentang hal peribadinya. Berkat bantuan daripada Ghazali, dia menjadi Ruhaila yang baru. Dia bukan lagi Ruhaila yang mempunyai kisah hidup yang penuh dengan liku. Segala kesenangan dan kemewahan yang dia kecapi selama ini perlu dipertahankan. Dia tidak mahu semua itu hilang dalam sekelip mata kerana rahsia yang dia simpan terdedah. Sudah tentulah dia tidak mahu hidup dalam kemiskinan lagi. Osman dan Raihana pula adalah keluarganya yang perlu dia pertahankan.

Yuhaira dan Zaim?

Mahukah dia mempertahankan kedua-dua anaknya itu? Atau dia abaikan saja mereka berdua kerana mereka berdua sudah anggap dia meninggal dunia seperti yang dikatakan oleh Mak Mah.

Sebut nama Nek Mah, Yuhaira tinggal bersama dengan Nek Mah. Tak mustahil Yuhaira memberitahu Nek Mah tentang dia. Ruhaila mula menggigil ketakutan. Pasti Nek Mah sudah beritahu Yuhaira.

Pintu bilik di kuak. Masuk seorang lelaki sebaya Osman. Lelaki itu adalah Ghazali. Ghazali baru sahaja pulang ke Malaysia kerana ada urusan di sini. Sebaik sahaja dia diberitahu tentang keadaan Ruhaila, dia terus bergegas ke hospital. Kepulangannya pula tidak diketahui oleh Osman.

"Hai?" Ghazali menyapa.

Ruhaila pandang Ghazali, lelaki yang pernah membantunya pada 20 tahun lalu. Lelaki ini juga membawa dia ke dunia baru. Ghazali selalu ada di sampingnya di kala dia memerlukan bantuan. Tetapi semenjak dia menikahi Osman, hubungan dia dengan Ghazali sedikit renggang berikutan status baru Ruhaila. Tanpa Ruhaila tahu, Ghazali menyimpan perasaan cinta terhadap Ruhaila. Sehingga kini dia hidup membujang kerana setianya pada Ruhaila. Dia tahu Ruhaila tidak akan membalas cintanya sekiranya dia memberitahu isi hatinya. Ruhaila sudah menjadi hak milik orang. Hak milik yang tidak boleh bertukar ganti.

"Ghaz, I perlukan bantuan dari you." Ujar Ruhaila.

"You okey ke tak ni?" tanya Ghazali tidak faham. Ghazali tarik kerusi dan duduk.

"I berjumpa dengan anak I. Yuhaira."

"Macam mana you boleh jumpa dia? Bukankah sudah 20 tahun you menjauhkan diri you dari dia?" tanya Ghazali kehairanan. Dia kenal Yuhaira, anak Ruhaila. Dia pernah menolong si kecil itu dulu sewaktu Ruhaila memerlukan bantuan daripadanya.

"Takdir, Ghaz. Takdir telah menemukan I dengan dia. 20 tahun I melarikan diri daripada anak-anak I, akhirnya takdir menemukan I juga dengan anak-anak I. Ini bukan satu kebetulan tapi ia adalah takdir." Ruhaila menangis.

"So, apa you nak I buat?"

"Pastikan dia dan mak I tak jumpa I lagi. Yuhaira sekarang dah bertunang dengan Datuk Jefri, rakan niaga Bakti Holding. Bila-bila masa saja Yuhaira akan bertemu dengan I jika Osman dan Datuk Jefri ada mesyuarat bersama. I tak nak Datuk Jefri bawa Yuhaira lagi. I tak boleh tengok muka Yuhaira. Dia mengingatkan perbuatan I dulu, Ghaz." Ruhaila menangis dengan kuat.

Ghazali kepal tangannya. Dia ingin memeluk dan menenangkan Ruhaila tetapi dia tidak boleh. Ghazali melepaskan keluhan berat. Ruhaila sudah banyak menempuhi suka duka.

"Baiklah. I akan buat semua itu demi you. Cuma you jangan muncul depan Yuhaira terlalu kerap. Tapi, jika you bertembung dengan dia secara tidak sengaja, kawal diri you. Hati seorang ibu bila dah lama tidak berjumpa dengan anaknya... pasti akan terjadi sesuatu yang tidak kena, Ila. I risau you bertindak di luar jangkaan." Pesan Ghazali.

TUAN JEFRI 2 - YUHAIRAWhere stories live. Discover now