12

320 17 3
                                    

ENTAH hantu mana yang merasuk Jefri hari ini. Jefri membeli sekalung rantai emas bernilai berpuluh ribu ringgit untuk Yuhaira di sebuah kedai emas terkenal. Jefri turut membelikan gelang emas kepada Nek Mah. Kan bagi dekat cucu, cemburu pula si nenek. Jefri tidak bawa Haider kerana Puan Naurah mahu Haider berada dengannya hari ini. Jadi Jefri pergi ke rumah Yuhaira seorang diri.

Di rumah Yuhaira, ramai pelanggan yang datang membeli. Siap dengan beratur lagi. Semakin maju perniagaan Yuhaira. Walaupun dengan menjual kuih-muih sahaja, ia mampu menjana pendapatan yang lumayan buat Yuhaira dan Nek Mah. Jefri memerhatikan Nek Mah yang masih bertenaga itu. Orang tua itu lincah melayani pelanggan begitu juga dengan Yuhaira. Keadaan mula jadi tak terkawal apabila pelanggan semakin ramai. Tak menang tangan mereka berdua. Jefri mengambil keputusan membantu mereka berdua.

"Biar aku tolong kau. Kau pergi goreng dengan Nek Mah." Ujar Jefri seraya mendekati Yuhaira.

"Bila Datuk sampai?" tanya Yuhaira. Tak perasan pula akan kedatangan Jefri. Dia begitu sibuk berniaga.

"Lama juga. Tengok kau dengan Nek Mah tak menang tangan layan pelanggan, baik aku bantu. Ringan sikit kerja kau dan Nek Mah."

"Boleh ke Datuk berniaga dengan kami ni?" risau pula Yuhaira kalau Jefri sendiri huru-hara berniaga dengan pelanggan yang ramai.

"Aku dah biasa uruskan projek yang besar. Setakat jual kuih-muih, apalah sangat. Cepat, pergi goreng kuih tu." Gesa Jefri. Yuhaira segera membantu Nek Mah menggoreng kuih-muih yang masih ada. Mujurlah ada Jefri yang sudi membantu malah Nek Mah membuat banyak kuih-muih hari ini.

Jefri menyising lengan baju kemejanya ke pangkal lengan. Terserlah otot lengannya yang kekar dan berurat itu. Yuhaira terpandangkan lengan Jefri. Dia terpegun seketika. Pinggang Yuhaira dicuit Nek Mah dengan jelingan. Yuhaira sengih. Yuhaira memberikan apron kepada Jefri supaya tak kotor baju mahalnya itu. Dengan penuh kesabaran, Jefri menjual bersama Yuhaira dan Nek Mah.

Gara-gara ada lelaki kacak menjual dengan Yuhaira dan Nek Mah, gerai Nek Mah diserbu ramai anak dara dari dalam dan luar kampung. Ada yang minta nak bergambar dengan Jefri tetapi dihalang keras oleh Yuhaira. Yuhaira tak mahu anak dara yang gatal itu mengganggu perniagaannya hari itu. Petang itu, jualan kuih-muih memang laku keras. Yuhaira mengira jumlah keuntungan, melebihi dari yang ditargetkan.

Jefri tanggalkan apron dan memberikannya kepada Nek Mah.

"Kasihan pula nenek tengok kamu, Jefri. Habis comot muka kamu terkena peluh. Tangan kamu tu, habis terkena minyak panas." Ujar Nek Mah. Ringan kerjanya dengan adanya Jefri yang sudi membantu dia dan Yuhaira.

"Berbaloi Datuk datang hari ini. Hari ni memang laku keras. Terbaik Datuk." Ujar Yuhaira lalu angkat ibu jari kepada Jefri.

Jefri senyum dalam kepenatan.

"Nenek naik atas dulu ya? Nak solat." Nek Mah meminta diri lalu naik ke atas rumah.

"Nah," Yuhaira memberikan kain bersih kepada Jefri untuk mengelap mukanya.

"Tangan kotor terkena arang kuali." Jefri tunjuk kedua-dua tangannya kepada Yuhaira.

Yuhaira membersihkan muka Jefri tanpa sedar perbuatannya tidak kena dengan situasi mereka sekarang. Jefri memerhati raut wajah Yuhaira secara dekat. Wajah yang bersih dan polos itu mencuit hati Jefri ketika ini. Jefri mengalih pandangan matanya ke arah lain. Tak mahu pandang lama-lama anak dara itu. Nanti terjadi benda yang tidak disukai pula. Tetapi dia suka pandang wajah anak dara itu. Hatinya terasa tenang untuk seketika waktu.

Jefri sedikit terkejut bila kedua-dua tangannya pula dibersihkan oleh Yuhaira sehingga bersih. Anak dara ini memang baik sungguh tetapi risau pandangan orang kalau ternampak apa Yuhaira sedang buat dekat dia ini. Jefri berdehem.

TUAN JEFRI 2 - YUHAIRAWhere stories live. Discover now