Bab 15 [3]

3K 380 265
                                    

"Ada hati nak sentuh bos aku? Nah, ambik ni!" Sekali tempikan, si gadis penjerut menendang pula punggung Black sekuat hati dan dalam masa yang sama, kain batik yang menjerut tengkuk lelaki hitam itu dilepaskan kasar.

Brum!

Black terdorong ke depan lalu kakinya terempuh meja kopi. Badannya yang agak besar tidak dapat menyeimbangkan diri dan menatijahkannya tersungkur ke lantai. Punggungnya berasa sengal dan dagunya pula berasa sakit yang teramat dek akibat tersungkur tadi, dagunya terhantuk bucu meja kopi.

"Mo... Mona," seru Aralyn. Sungguh, perasaannya lega melihatkan kemunculan rakan serumahnya.

"Maafkan saya, Cik." Mona menebar kain sarung batik lalu sekali lagi, dia menjadikan kain itu sebagai senjata.

Melihatkan figura Mona yang dalam berkebaya biru tetapi berseluar legging hitam, mengertilah Aralyn bahawa gadis retro itu menjadikan kain sarung batik yang dipakainya sendiri sebagai senjata. Hebat juga Mona. Kenapa dia tidak pernah tahu pun sebelum ini?

"Perempuan tak guna!" Perlahan-lahan, Black bangun dari sungkurannya lalu mendepani Aralyn dan Mona yang masing-masing berada dalam mod bersiaga.

"Kau cindaikan aku, perempuan?" jerkahnya pula kepada Mona.

Mendengar jerkahan tersebut, Mona menarik senyuman sinis seraya kembali membuka langkah. Dia ahli seni silat gayung dan teknik persilatan yang digunakannya tadi merupakan seni Cindai Betina. Teknik serangan ini merangkumi jerut, kalung, tebar, jerat, serkap dan gari.

Jadi, jangan main-main dengan Mona Edora. Retro bukan sekadar retro, tetapi ditambah lagi dengan klasik nasional. Warisan bangsa dijunjung, adat dan agama dijulang. Biar berputih tulang, jangan berputih mata. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Siapa saja yang cuba mencederakan Aralyn Awliya, dia akan membalasnya dua kali ganda kepada si pelaku. Cik Mona Edora, keturunan salah seorang panglima Melayu Melaka sesekali tidak akan membenarkan orang yang berjasa kepadanya dicederakan oleh manusia yang tidak bertanggunggjawab!

"Kau memang layak terima cindai aku, pengkhianat negara." Sinis, Mona semakin menajamkan mata serta memperkuatkan pertahanan dirinya.

Serius, sudah lama dia tidak bersilat. Walaupun agak rungsing dengan skilnya kali ini, namun dia tidak boleh gentar dalam menghadapi musuh. Bosnya berada dalam bahaya, maka sudah menjadi tugasnya melindungi Aralyn Awliya itu atas arahan Profesor Dr. Qarizh Zahwan.

"Helo, Kak Mona. Akak ada kat mana sekarang?" Tanpa salam, ayat itu terus terpacul keluar dari mulut si pemanggil sebaik sahaja dia menekan ikon terima panggilan.

"Siapa ni?" soalnya dengan penuh berhati-hati.

"Akak tak perlu tahu siapa saya. Apa yang akak perlu tahu ialah Prof minta akak segera balik ke pejabat sekarang. Kak Aralyn diserang, dia berada dalam bahaya!" jelas si pemanggil dengan suara kalut.

Sebaik sahaja dia mendengar perkhabaran itulah, serta-merta masa pemanduannya yang berbaki lima minit terus dipendekkan kepada dua minit sahaja. Nasib baik dia sudah berada dekat dengan pejabat, maka ia memberikan kelebihan kepadanya untuk sampai lebih awal.

"Kau memang betul-betul tak guna, perempuan. Kau kacau pelan aku." Black menderam marah.

Badannya ditegakkan, langkahnya disiagakan. Dia kalah dengan perempuan? Takkan sesekali. Itu azamnya kepada diri sendiri dalam bertempur. Lagipun, malulah dia jika anak-anak buahnya yang lain mengetahui kekalahannya di tangan perempuan.

"Kalau kau tak kacau bos aku, aku tak kacau kau," balas Mona, berani.

"Puih!" Black meludah ke sisi.

HI, ENCIK PROFESSOR!Where stories live. Discover now