Bab 8

3.6K 421 245
                                    

Qarizh kembali menutup matanya apabila melihat figura Aralyn yang tercegat bagaikan patung cendana di hadapannya. Bezanya, patung cendana tidak menangis, tetapi patung cendana versi Aralyn Awliya ni menangis tanpa suara tidak berhenti-henti sejak dari tadi.

"Tolonglah Aralyn, keluar dari sini," pinta Qarizh dengan perlahan. Haru sungguh hatinya melihat perempuan menangis.

"Tak nak!" bantah Aralyn sambil menyapu kasar sisa air matanya yang masih lagi merembes keluar bagaikan air paip bocor.

Qarizh menarik nafas panjang apabila melihat ulah Aralyn yang sememangnya degil ini. Dia tidak suka melihat orang menangis kerananya, tahu? Sarah yang berada di sebelahnya itu kemudian dicuit perlahan lalu pandangannya ditala ke arah Aralyn.

"Sarah... bawa dia keluar dari sini," arah Qarizh kepada Sarah sekali gus mengisyaratkan kepada adiknya itu agar segera membawa Aralyn keluar dari mini kliniknya.

Sarah terdiam. Diluah mati emak, ditelan mati bapa. Mahu dibawanya keluar Aralyn, terasa tidak sanggup apabila melihat pandangan sayu penuh prihatin gadis itu terhadap abangnya. Mahu tidak diturutkan permintaan abangnya pula, dia khuatir akan ada pula bom yang meletup sekejap lagi.

'Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini,' doa Sarah di dalam hati lalu segaris senyuman dihadiahkan buat Aralyn.

"Akak, jom keluar. Nanti Sarah bawa akak pulang ke rumah," kata Sarah lalu meraih tangan Aralyn.

Bum!

Sebelum sempat Sarah mengorak langkah untuk keluar, sekali lagi pintu bilik itu terkuak kasar dari luar dan kali ini muncul pula Amirul di muka pintu. Mek Nab yang berlari mengikut langkahnya dari belakang tercungap-cungap melepaskan lelah.

"Maafkan Mak, Zahwan dan Sarah. Mak dah cuba halang budak Amirul ni tapi..." kata-kata terputus dek semput yang tiba-tiba melanda dirinya.

Amirul terpaku apabila melihatkan keadaan Qarizh yang terbaring di atas katil dengan perut berbalut dan di atas meja kecil pula, masih tersisa sisa-sisa darah di kain kasa serta gunting dan jarum jahitan luka yang belum sempat dibersihkan oleh Sarah. Serta merta, pandangannya jatuh kepada wajah pucat Qarizh lantas kakinya dihalakan mendekati profesornya.

"Apa... semua ni Prof?" tanya Amirul dengan suara lirih dan tertahan-tahan.

"Betul kan Mirul cakap tadi yang Mirul terbau darah. Kenapa Prof rahsiakan dari kami? Kenapa Prof tahan sakit tu sendiri? Setengah jam Prof... setengah jam Prof tahan sakit. Prof..." rintih Amirul lagi dengan suara tertahan-tahan lalu tanpa amaran, dia terus memeluk tubuh Qarizh lantas menghamburkan air matanya si atas dada bidang jejaka itu.

"Badan Prof panas. Prof demam ni. Huarg... Mirul salah sebab Mirul gagal kenal pasti keadaan Prof yang sebenar. Maafkan Mirul Prof... isk, isk..." ngongoi Amirul lagi sambil pelukannya kejap bagaikan tidak mahu melepaskan profesornya yang seorang ini.

"Sakit... Amirul..." Qarizh cuba menolak Amirul dari memeluknya. Sudahlah dia lemas dipeluk oleh Amirul, kalau terbuka pula jahitannya nanti, siapa susah?

"Ah, sorry Prof." Amirul melepaskan pelukannya lalu menyapu kasar air mata yang meleleh menuruni pipinya dengan hujung lengan baju t-shirt yang dipakainya. Pandangan aneh yang dilontarkan oleh Pak Moin kepadanya juga langsung tidak dihiraukan dek kerana risau akan profesornya yang seorang itu.

Qarizh menarik nafas panjang melihat adegan budak-budak tidak matang yang mengelilingi katilnya ini. Tidak fasal-fasal pula dia menjadi bahan tontonan percuma tidak berbayar. Sudahlah mukanya pucat menahan sakit, memang sangat tidak handsome dia malam ni!

"Korang semua kecuali Pak tolong keluar, aku nak rehat," arah Qarizh lalu dia kembali menutup mata. Sungguh, dia terasa amat penat sekarang dan seboleh-bolehnya dia mahu tenggelam dalam rehatnya. Tetapi, dia menyedari bahawa hutangnya dengan Allah masih belum selesai dan dia mahu menunaikannya terlebih dahulu walau dengan apa cara sekalipun.

HI, ENCIK PROFESSOR!Where stories live. Discover now