Bab 9

3.8K 399 346
                                    

Qarizh bangun dari kerusi apabila namanya dipanggil untuk membentangkan kertas kerjanya. Mata-mata audiens yang ralit memerhatikan tingkahnya berjalan ke atas pentas dibiarkan sahaja. Ya, dia tahu dia popular dek kerana pangkat profesor yang diraihnya di usia muda, tetapi apa yang membuatkannya bengang dalam gundah ialah pandangan mata seorang gadis bernama Aralyn Awliya yang sedari tadi memandangnya dengan pandangan yang sukar dimengertikan.

Kenapa Aralyn memandangnya dengan pandangan sangat 'caring'? Ah... hatinya sendiri tidak kuat untuk melihat pandangan mata itu!

Dari atas pentas yang berudara lebih sejuk dari tempat duduknya tadi, matanya dikalihkan pula kepada tingkah seorang lagi kanak-kanak tidak matang yang juga melihatnya dengan pandangan runsing. Entah sejak bila dan macam mana budak Amirul itu terlepas masuk ke sesi persidangan pada hari ini, dia tidak pasti.

Aralyn dan Amirul, kedua-dua mereka itu memandangnya seperti orang sakit yang bila-bila masa sahaja akan tumbang. Sedari tadi dia sudah memberitahu kedua-dua orang kanak-kanak Ribena itu bahawa dia sudah okey, tetapi entahlah mungkin wajahnya pucatnya pada pagi ini masih belum mampu menutup gundah hati mereka berdua.

Ya, dia faham akan kerunsingan mereka berdua. Memang betul dia masih belum pulih sepenuhnya tetapi dia akan cuba bertahan demi maruah universiti yang tergalas di bahunya sekarang. Audiens yang bakal menonton dan mendengar pembentangannya sekejap lagi terdiri daripada ahli akademik berpangkat profesor, profesor madya, doktor, dan juga pelajar-pelajar pascasiswazah serta sebilangan kecil pelajar prasiswazah.

Apa yang pasti, mereka semua itu datang jauh nun dari pelosok dunia semata-mata mahu melihat hasil kajiannya yang bakal dipersembahkan melalui kertas kerja. Namun, apa yang membuatkannya tidak faham ialah kenapa pula mereka berdua perlu merisaukan dirinya? Qarizh Zahwan tenggelam di dalam kebuntuannya.

"Salam Ahad yang ceria dan selamat pagi kepada anda semua yang hadir di sesi pembentangan pada pagi ini. Pada hari ini, saya akan membentangkan kertas kerja saya bertajuk Jenayah dan Masalah Kecelaruan Identiti dalam Kalangan Remaja. Nama saya Qarizh Zahwan dan saya adalah profesor dari Fakulti Undang-undang universiti ini." Qarizh memulakan sesi pembentangannya dengan nada sederhana rendah seterusnya membentangkan hasil kajiannya kepada audiens.

Semakin lama bercakap, semakin menarik topik yang dikupasnya dan waktu yang berlalu semakin tidak terasa. Beberapa orang audiens juga mengangkat tangan untuk bertanyakan soalan dan tidak kurang juga yang memberikan idea tambahan. Perbincangan semakin hangat apabila Qarizh turut menerima soalan daripada audiens yang menonton sidang persidangan itu secara atas talian.

"Profesor, boleh saya tahu apa pandangan profesor mengenai kes pembunuhan yang melibatkan warga universiti ni? Saya dengar, kes masih disiasat dan pihak polis sendiri masih gagal mengenal pasti dalang pembunuhan tersebut," tanya seorang audiens yang berada di kerusi belakang sekali dalam bahasa Inggeris. Suaranya yang lantang bergema di seluruh pelosok dewan mula mengundang bisik-bisik dan cakap-cakap liar.

Qarizh menghela nafas berat mendengar soalan berbaur sindiran akan ketidakcekapan polis dalam menangani hal pembunuhan anak pengarah universitinya. Kes itu agak terkenal dan mengundang perhatian seluruh warga negara Malaysia pada mulanya, namun kes itu ditutup rapat penyebarannya dengan mengatakan bahawa kes sudah selesai dan pembunuh telah pun ditangkap. Jadi, siapakah gerangan lelaki berkot hitam yang bertanyakan soalan di belakang?

"Maaf tuan yang bertanya soalan. Kes ini sudah selesai dan pihak polis telah menangkap pembunuh tersebut. Jadi, adalah tidak wajar tuan bertanyakan soalan itu," jawab Qarizh dengan tegas sekali gus berusaha untuk menutup mulut audiens yang mula melemparkan tuduhan liar dan tidak berasas sama sekali.

"Baiklah, terima kasih dan maaf profesor," jawab si audiens yang bertanya.

"Okey jika tiada apa-apa lagi, setakat ini sahaja pembentangan saya pada pagi ini. Terima kasih," ucap Qarizh lalu bergegas turun dari pentas lantas keluar dari dewan. Dia tidak betah di situ lantaran melalui cermin mata berteknologi tingginya, dia dapat mengenal pasti bahawa si penanya soalan tadi adalah Black!

HI, ENCIK PROFESSOR!Onde as histórias ganham vida. Descobre agora