bab 2

872 84 0
                                    

BEBERAPA helai pakaian yang dibeli daripada pasar dagang dipegang, Rahman berjalan menuju ke arah rumah Dewi Mariana. Sambil berjalan, bibirnya menguntumkan senyuman, anak mata naik memandang langit biru di Empayar Kesultanan Melaka. Mujurlah juga rumah Dewi Mariana tidak terlalu jauh dengan Pasar Dagang.

  Sampai sahaja di rumah Dewi Mariana, Mawar yang sedang mengemas di luar rumah dipandang. Begitu juga dengan Mawar yang terus menundukkan kepalanya sebaik sahaja susuk tubuh Rahman menyapa retina matanya.

"Ada apa Rahman ke mari?" soal Mawar lalu menuruni anak tangga. Beberapa helai pakaian buat Dewi Mariana diberikan kepada Mawar. Pakaian tersebut bertukar tangan.

"Ini pakaian buat Dewi Mariana. Nanti kamu berikan pakaian ini kepada Dewi. Beritahu Dewi, tidak perlu berterima kasih kepada saya. Itu tugas saya." tutur Rahman. Mawar mengangguk.

"Oh ya Mawar, sebelum itu. Pakaian kamu cukupkah? Kalau tidak, ayuh ikut saya ke pasar dagang semula. Jangan risau, saya akan bayar semua kelengkapan kamu." tambah Rahman lagi. Mawar cuma menggeleng.

"Kelengkapan dan pakaian saya semuanya sudah cukup. Saya juga ingin berterima kasih kepada Rahman kerana sudah bebaskan saya daripada Tanah Jawa. Semoga Tuhan dapat membalas kebaikan Rahman." Mawar sekali menundukkan kepalanya. Rahman cuma tersenyum tipis.

"Sama-sama Mawar. Sebagai balasan, saya harap kamu dapat menjaga Dewi seperti mana kamu menjaga jiwa dan jasad kamu. Dewi itu baik orangnya, cuma berubah kerana kepahitan hidup. Saya sudah kenal Dewi daripada kecil, walaupun 1000 tahun berlalu, Dewi tetap Dewi. Tidak berubah dan keras hatinya seperti batu..."

"... Jangan takut sama Dewi. Dewi Mariana itu baik-baik sahaja. Hatinya bersih, namun kotor dengan kejahatan dunia."

.

.

DEWI Mariana melangkah keluar daripada biliknya, Mawar yang baru sahaja selesai memasak terus hidangkan makanan buat Dewi Mariana. Mariana menuruni anak tangga satu persatu memandangkan ruang bawah sekali ialah ruang untuk memasak dan juga terdapat bilik buat Mawar. Ruang atas pula ialah buat Mariana seorang. Dan ruang paling atas sekali ialah Ruang untuk menyimpan alatan perang dan bersukan milik Mariana seperti anak panah, pedang, baju untuk bersukan dan sebagainya.

"Jemput makan Dewi." tutur Mawar. Dewi Mariana mengangguk lalu duduk bersimpuh di atas lantai. Manakala Mawar pula turut duduk bersimpuh dan hanya memerhati sahaja majikannya itu makan.

"Kamu tidak makan Mawar? Ataupun makanan yang saya minta kamu masakkan ini bukan selera kamu?" soal Mariana. Mawar menggeleng.

"Bukan begitu Dewi. Tetapi agak biadap jika saya juga turut makan bersama-sama dengan Dewi. Darjat Dewi lebih tinggi daripada saya, saya cumalah seorang hamba." balas Mawar sambil menundukkan kepalanya. Dewi Mariana menggeleng.

"Kenapa kamu berfikir sebegitu sekali? Manusia hadirnya dari tanah, mengapa perlu bersifat seperti langit? Di mata saya, Mawar bukanlah hamba tetapi sebagai teman saya. Cukuplah Mawar terapkan rasa hormat terhadap saya, hanya sebagai seorang manusia. Tidak perlu untuk melebihi batas." balas Dewi Mariana. Mawar mengangguk lalu mengambil pinggan.

"Dari mana asalnya kamu?" soal Mariana secara tiba-tiba. Mawar terus menundukkan mukanya.

"Tanah Jawa. Saya dulunya adalah seorang hamba, tetapi dek kerana kebaikan Rahman. Dia membebaskan saya dan membawa saya berhijrah ke Tanah Melaka. Saya juga ingin berterima kasih kepada Rahman. Kalau bukan kerana jasa dia, saat ini cuma tinggal jasad yang sudah tertanam di dalam tanah."

Mariana beralih memandang Mawar.

"Apakah maksud di sebalik kata-kata kamu?" soal Mariana.

"Di Tanah Jawa, kedudukan saya cumalah seorang hamba yang berbakti kepada saudagar emas. Entah mengapa, nasib dan takdir tidak menyebelahi Mawar. Setiap tingkah laku saya seolah-olah diperhati. Jika ada salah walaupun sebesar hama, tubuh saya akan menjadi sasaran. Setiap hari dan setiap saat, makanan harian saya ialah cercaan dan pukulan daripada bekas majikan Mawar. Bersyukur kepada tuhan, tuhan kirimkan Rahman kepada saya. Dialah yang membebaskan saya."

Mariana mengangguk tanda faham dengan kata-kata Mawar.

"Sama sahaja jalan cerita hidup kita. Dua-duanya berhijrah ke Melaka untuk membina nafas baharu. Setiap insan ada pahit dan manisnya hidup yang tersendiri. Saya juga mahu berterima kasih kepada Rahman..."

"... Kerana sudah membantu saya untuk keluar dari dunia gelap saya."

.

.

ZZAP!

Satu anak panah terakhir mengena tepat di sasaran yang ditetapkan. Kuda yang ditunggang mula dibawa ke persisiran Pantai Melaka. Seorang jejaka yang segak berbaju hitam, turun daripada kuda yang ditunggang. Tangan kanannya naik menggosok kepala kuda tersebut sebagai tanda 'bagus'.

  Tunku Mahmud Shah menepuk sedikit bajunya yang sudahpun terkena tompokan pasir. Kakinya mula berjalan ke persisiran Pantai Melaka itu. Bibirnya mula menguntumkan senyuman, tiada orang jika nak dibandingkan dengan Pelabuhan Melaka yang sentiasa penuh dengan pedagang dari pelusuk dunia. Anak mata Tunku Mahmud Shah jatuh memandang kudanya.

"Hari ini adalah hari yang paling tidak akan aku lupakan. Hari dimana aku diberi dan dapat merasa erti kebebasan yang sebenar. Terkurung di dalam istana, itu bukan jiwaku." Tunku Mahmud Shah mula berjalan sambil memegang tali di kudanya. Sambil berjalan, sempat juga Tunku Mahmud Shah beralih memandang keadaan sekeliling.

  Sedar bahawa dia hampir sampai ke tempat yang ramai rakyat jelata, cepat-cepag Tunku Mahmud Shah memakai kain berwarna hitam bagi menutupi wajahnya. Walaupun dengan keizinan ayahandanya untuk keluar bermain kuda tanpa pengawal istana, namun dalam masa yang sama dia juga perlu menutup wajahnya.

  Apabila hampir tiba di Istana, Tunku Mahmud Shah mula menunggang kudanya. Kudanya berjalan perlahan melewati rumah-rumah golongan bangsawan, ulama, pembesar dan mereka yang tinggi kedudukannya selepas kerabat diraja. Sempat juga mata Tunku Mahmud Shah terarah kepada seorang saudari yang sedang memanah. Walau terlindung wajahnya, dalam diam Tunku Mahmud Shah mengukirkan senyuman.

  Dalam hati, seolah-olah tertarik dengan sifat saudari itu dan mahu menyapa. Apabila terkenang akan arahan ayahandanya yang membenarkan dia berada di luar kawasan Istana Melaka dalam waktu yang singkat, Tunku Mahmud Shah terus membatalkan niatnya itu.

Tangan Tunku Mahmud Shah naik memegang leher kudanya.

"Tidak mengapa, kamu akan menemani saya menyapa dia di lain hari. Dia sangat tertarik." tutur Tunku Mahmud Shah seorang diri, seolah-olah faham dengan kata-kata Tuannya itu, kuda yang ditunggang membunyikan suaranya.

"Ayuh, kita pulang ke Istana Melaka. Hari sudahpun mahu gelap."

  Tiba sahaja di hadapan Istana Melaka, pagar besar mula dibuka dari dalam oleh Pengawal Istana, Tunku Mahmud Shah masuk ke dalam kawasan Istana. Tali yang mengikat kudanya diberikan kepada pengawal istana. Tunku Mahmud Shah masuk ke dalam Istana Melaka yang kira-kira 7 tingkat besarnya.

"Ampun Tunku..." Bendahara Tun Tahir mengangkat kedua-dua tangannya sebagai tanda hormat kepada Putera Raja Melaka itu.

"... Tunku ke mana? Daripada tadi patik mencari Tunku, tetapi tiada pula Tunku. Ke mana perginya Tunku?" soal Bendahara Tun Tahir.

Tunku Mahmud Shah tersenyum tipis.

"Ke Pantai Melaka. Memanah dan bermain kuda di sana, di sana tenang. Tiada orang dan tiada yang mengenali saya. Udaranya juga 'segar' dan 'suci'..." Tunku Mahmud Shah tersenyum tipis.

"... Bahkan hati saya juga turut berbunga-bunga.

Dewi Mariana: Berputiknya Cinta Di Fantasi Kedua (SU)Where stories live. Discover now