bab 26

278 27 2
                                    

DEWI MARIANA berjalan masuk ke dalam perkarangan Istana Melaka. Kali ini dia berjalan sambil melihat kawasan istana. Selesai sahaja latihan silat sebentar tadi, dia sudah memaklumkan kepada Mawar bahawa dia ingin berkunjung ke pasar dagang sebagai 'rakyat biasa'. Mahu memantau perdagangan dan kegiatan di sekitar pasar dagang itu.

  Masuk sahaja ke dalam Istana Melaka, sempat juga Dewi Mariana menyapa Permaisuri Tun Telani yang sedang membuang pandangan ke luar jendela. Dewi Mariana berjalan menuju ke arah Permaisuri Tun Telani.

"Apa yang difikirkan oleh bonda itu?" soal Dewi Mariana. Permaisuri Tun Telani beralih memandang menantunya itu.

"Banyak perkara yang berlegar-legar di fikiran bonda. Mariana baru selesai daripada latihan silat?"

Dewi Mariana mengangguk.

"Benar bonda. Oh sebelum Mariana terlupa, petang nanti Mariana mahu ke pasar dagang. Ingin meninjau kawasan pasar dagang itu." maklum Dewi Mariana. Permaisuri Tun Telani cuma mengangguk tanda faham.

"Ayahanda ke luar negeri berapa lama bonda?"

"Bonda tidak pasti. Mungkin berminggu-minggu? Bonda tidak pasti, namun Mariana... Entah mengapa hati bonda tika ini bagai terusik seolah-olah ada sahaja perkara buruk yang ingin berlaku."

"Maksud bonda?" soal Dewi Mariana lalu merapatkan lagi jarak di antara dia dan Permaisuri Tun Telani. Permaisuri Tun Telani mengangkat mukanya memandang Dewi Mariana. Jelas di wajahnya, dia resah seolah-olah memikirkan sesuatu.

"Mengapa bonda?"

"Bonda rasa seolah-olah akan ada perkara buruk yang menimpa terhadap kita. Bonda sendiri tidak yakin Mariana. Bagaimana bonda mahu yakin sedangkan ayahanda tiada di sisi bonda. Tidak dapat bonda bayangkan, jika ada apa-apa yang terjadi terhadap ayahanda...." Permaisuri Tun Telani berjeda seketika.

"... Mati ayahanda, mati juga bonda."

"Ya Allah bonda. Tidak perlu berkata sebegitu sekali. InshaAllah bonda, Allah sentiasa melindungi ayahanda. Berdoalah, kerana kepada Allah lah kita bergantung harap. Jangan pernah meletakkan harapan buat manusia kerana manusia itu adalah sumber kekecewaan."


.

BAJU kurung yang tersarung di tubuh, Dewi Mariana perbetuk sedikit. Kain batik diikat dengan ketat. Dewi Mariana kemudian mengambil sehelai lagi kain batik dan diletakkan di atas kepala. Kain batik tersebut ditarik bagi menutup wajahnya. Dewi Mariana berjalan keluar dari kamarnya, Mawar yang sudah lama menunggu cuma membuntuti sahaja langkah Dewi Mariana.

"Dewi Mariana mahu lakukan apa-apakah di pasar dagang?" soal Mawar. Dewi Mariana cuma menggeleng perlahan. Dia beralih memandang Mawar yang kini berdiri di sebelahnya.

"Saya cuma mahu hidup sebagai rakyat biasa untuk hari ini. Tujuan saya ke pasar dagang, untuk meninjau keadaan di pasar dagang tersebut." balas Dewi Mariana.

"Jika begitu Dewi, mengapa Dewi tidak mahu meninjau sebagai 'Tuan Puteri'? Mengapa pula Dewi mahu menyamar?" soal Mawar.

"Jika saya meninjau sebagai kerabat diraja, tidakkah semuanya yang berada di situ seolah-olah memakai topeng? Lagi pula, jika saya memberitahu bahawa saya mahu meninjau maka setiap penjual di situ pasti mahu memberikan barang jualan mereka kepada saya sebagai hadiah. Bahkan saya juga di beri layanan istimewa. Tidakkah mereka seolah-olah memakai topeng?" Penuh berkias kata-kata Dewi Mariana.

"Setiap manusia pasti ada topengnya, Dewi. Namun setiap topeng itu fungsinya berbeda-beda. Ada yang digunakan untuk menutup kesedihan yang mencengkam di hati. Dan ada juga yang digunakan untuk menipu manusia. Lain manusia lain hatinya Dewi." Mawar membalas kata-kata Dewi Mariana.

   Kini dia dan Dewi Mariana sudahpun berjalan keluar dari perkarangan Istana Melaka. Kaki mereka mula berjalan mengatur satu-persatu. Sepasang anak mata Dewi Mariana tidak berhenti daripada memandang keindahan bumi Melaka ini. Melaka ialah bumi yang berdaulat. Namun entah mengapa, hatinya juga terusik dengan kata-kata bondanya sebentar tadi.

"Mawar, jika ada apa-apa yang terjadi pada orang yang kamu sayang. Apa perasaan kamu?" soal Dewi Mariana.

"Maksud Dewi?"

"Jika tertimpanya satu celaka buat orang yang kamu sayang, apa yang kamu rasa?"

Mawar diam sejenak.

"Menerima takdir. Lagi pula, siapalah kita ini Dewi mahu melawan takdir tuhan. Walaupun patik ini tidak menganut sebarang agama, namun patik percaya tuhan itu ada. Walau bagaimana pun, hati ini tidak boleh mempertikaikan apa yang tuhan sudah tetapkan. Mengapa Dewi menyoal patik soalan sebegitu sekali?"

Dewi Mariana cuma tersenyum tipis. Dia menggeleng perlahan.

"Kebelakangan ini, banyak perkara yang bermain di minda. Mungkin, saya terlalu banyak berfikir. Usahlah kamu risaukan saya Mawar. "

"Ya, patik sentiasa berharap tiada sebarang kecelakaan yang menimpa Dewi. Namun dalam masa yang sama patik risau akan Dewi." Mawar berjeda seketika. Jelas riak wajahnya berubah. Melihat perubahan wajah Mawar, Dewi Mariana terus memperlahankan langkahnya. Begitu juga dengan Mawar.

"Mengapa Mawar?" soal Dewi Mariana.

"Dewi Mariana kini sudah menjadi kerabat diraja, tidak mustahil jika ada yang menyimpan rasa iri dan dengki buat Dewi. Patik risau, jika ada apa-apa perkara yang terjadi terhadap Dewi dan patik tiada di sisi Dewi. Haruslah Dewi ingat, manusia ini sangat berbahaya. Bisanya mengalahkan ular. Bahkan manusia juga boleh menjadi ular jika dia ingin mendapatkan apa yang dia mahukan. Semakin tinggi kedudukan Dewi, semakin ramai yang menyimpan rasa dendam dan iri buat Dewi. Patik risau jika patik tidak mampu menyelamatkan Dewi jika Dewi tertimpa celaka..."

"... Manusia itu sifatnya berbelit-belit. Bahkan ada juga sesetengah manusia yang sanggup menggadaikan agama dan adat bangsanya demi kepentingam dirinya sendiri. Perlulah Dewi ingat, manusia itu sifatnya seperti pisau. Mampu memotong musuh di hadapan tika ia berani dan juga mampu menikam dari belakang. Jika nanti, Dewi sudah naik takhta Dewi perlulah hati-hati supaya tidak termasuk dengan perangkap sang pendusta. Hancur bumi Melaka ini jika jatuh di tangan sang pendusta." Tegas sahaja Mawar berkata-kata. Dewi Mariana mengangguk.

"Terima kasih Mawar. Ada benar juga apa yang Mawar katakan sebentar tadi. Manusia itu kita tidak tahu isi hatinya. Boleh jadi manusia itu duri dalam daging. Terima kasih sekali lagi Mawar." ujar Dewi Mariana. Mawar cuma tersenyum tipis.

"Tidak mengapalah Dewi, patik cuma risaukan Dewi sahaja. Bahkan ada ketikanya patik lihat Dewi banyak mengalah. Dewi seharusnya tegas supaya orang-orang takut sama Dewi. Jika Dewi tidak tegas bagaimana Dewi mahu membantu Tunku Mahmud Shah sekiranya Tunku menjadi Sultan Melaka? Bahkan Dewi juga ada tikanya harus berani membantah. Tidak perlu difikirkan pandangan orang-orang. Orang-orang akan terus berkata-kata kerana mereka tidak tahu apa yang terjadi. Apa yang Dewi lalui. Hanya Dewi sahaja yang lalui, jadi Dewi berhak untuk memberi jawapan atas segala keputusan yang berkait rapat dengan Dewi."












.

Announcement.

Bab 26, ialah bab last saya akan update novel ni. Saya akan turn this story into ebook. Ebook dijangka siap hujung tahun ini ataupun awal tahun dan akan dijual pada bulan 2.

Kalau siap awal, saya akan jual awal. Maaf sekali lagi sebabnya saya lambat update.

Nak kumpul duit siap-siap?

Ini harga ebook. Anggaran sahaja ya.

RM15-RM20.

Oh ya, ebook mungkin akan mengandungi 50 bab dan ke atas. Tetapi, akan ada latar belakang sahaja memandangkan jalan cerita yang berlatar belakangkan Empayar Melaka agak panjang.

Terima kasih kerana sudi membaca cerita yang tak seberapa ini.

Dewi Mariana: Berputiknya Cinta Di Fantasi Kedua (SU)Where stories live. Discover now