bab 14

286 47 1
                                    

"BAPAK kira bapak masih lagi boleh menentukan hidup Mariana?!"

  Bergema suara Dewi Mariana di dalam rumah. Manakan tidak terkejut, pulang ke rumah sahaja dia melihat rombongan daripada Istana Melaka, lebih kaget apabila ayahandanya sendiri sudah menerima pinangan Tuanku Puteri. Gila! Tambahan pula di jari manis ini sudah tersarung cincin permata.

Dewa Marzuki kira menikah itu mudah?

"Bernikah sajalah Mariana! Kau mahu lepaskan peluang keemasan itu? Bernafas di dalam kekayaan, berjalan dengan penuh berkuasa. Mahukah kau lepaskan peluang itu? Kau kira, peluang seperti ini mahu datang bergolek begitu saja?"

"Ini bukan soal kekayaan, tapi ini soal hidup Mariana! Bapak yakin yang Mariana akan bahagia apabila sudah bergelar isteri kepada Tunku?! Bapak yakin? Apa jaminan yang Tuan Puteri datang dan berikan pada bapak. Apa jaminannya? Adakah soal kasih sayang atau harta semata? Buta hati sungguh bapak ini!"

"Mariana!"

  Baru sahaja tangan kiri Dewa Marzuki mahu naik menampar si daranya itu, Mba Melati dan Dewi Marzana cepat-cepat berlari mendapatkan dua anak itu. Mba Melati dengan begitu tangkas menahan tangan suaminya daripada menampar Dewi Mariana manakala Dewi Marzana bertindak dengan menarik Dewi Mariana beberapa tapak ke belakang.

"Sudahlah! Untuk apa dipanjangkan lagi hal ini? Yang sudah terjadi biarlah terjadi." tambah Mba Melati. Kali ini, fokus Dewi Mariana beralih kepada ibu sambungnya.

"Sudah? Ini berkaitan hidup dan mati saya Mba! Kalau benar Dewi Marzana adalah anak kesayangan kalian berdua. Nikahkan saja dia sama Tunku Mahmud Shah!"

"Tapi Tuan Puteri itu memilih kamu! Tunku Mahmud Shah mahukan kamu! Ikut sajalah ketentuan aku, Mariana! Kelak kau tidak akan menyesal! Aku bapakmu, aku tahu apa yang terbaik buat kamu!"

  Dewi Mariana tertawa kecil. Bapak? Bapak jenis apakah ini yang rela menerima pinangan buat anaknya tanpa berbincang dahulu. Apakah ertinya sebuah perkahwinan jika hidup cuma berlandaskan kekayaan, berterbangan dengan wang kertas, dihormat dan disanjung seperti raja. Untuk apa? Itukah yang seorang Dewa Marzuki lihat?

Mengapa?

Mengapa ayahnya itu terlalu pentingkan wang?

"Benarlah kata mereka... Tidak semua ibu bapak itu layak menjadi ibu bapak. Ada yang menjadikan anak itu sebagai sumber kekayaan, ada juga yang menggunakan anaknya sebagai sumber pendapatan. Di manakah harga diri seorang bapak sebagai bapak buatku? Seorang bapak itu tugasnya untuk melindungi anaknya bukan menjual anaknya!"

"Tidak kasihankah bapak sama Mariana? Dari kecil, apa yang bapak lakukan buat Mariana langsung tidak dapat diterima dek akal. Dihina, dicaci kerana bagi bapak Marianalah punca ibunda mati. Sudah besar, dihalaunya pula Mariana ini. Tidak kasihankah kau bapak sama Mariana yang ditimpa celaka silih berganti?"

  Lantas dengan itu, Mariana menolak perlahan tubuh Dewi Marzana. Dia meninggalkan rumah tersebut dengan hati yang kecewa dan sedih, bagai dirobek menggunakan pisau belati. Kakinya berjalan menuju ke arah satu destinasi. Seluruh jiwa dan raganya sudah tekad, biarpun Dewa Marzuki sudah menerima pinangan diraja itu bukanlah satu kata putus.

  Tiba sahaja di hadapan perkarangan Istana Melaka, Dewi Mariana terdiam buat seketika waktu. Darah mudanya yang membuak-buak terus lenyap. Dia tergamam melihat akan kebesaran dan betapa dahsyatnya pengawal yang ditugaskan untuk menjaga Istana Melaka ini. Memikirkan tekad dia datang sini, mahu tidak mahu ditebalkan juga mukanya untuk masuk ke dalam Istana. Namun sekali langkah terhenti apabila seorang dayang istana berjalan mendekati tembok kecil yang memisahkan di antara dia dan Dewi Mariana.

"Dewi Mariana bukan?" soal dayang istana itu. Dewi Mariana mengangguk. Melihat balasan Dewi Mariana, dayang tersebut memberi arahan supaya pengawal membenarkan Dewi Mariana masuk. Kaki Mariana mula berjalan mendekati dayang itu.

Dewi Mariana: Berputiknya Cinta Di Fantasi Kedua (SU)Onde histórias criam vida. Descubra agora