bab 16

279 46 0
                                    

BERTEMPIARAN Jelita Purnama lari menuju ke tandas, tiba sahaja di tandas terus dia memuntahlan segala isi perut. Mariati juga turut berlari mendapatkan Tuan Puteri. Keluar sahaja Jelita Purnama, cepat-cepat Mariati menyambut tubuh Jelita Purnama yang hampir rebah mencium bumi.

"Ya Tuhan... Tuan Puteri baik-baikkah? Salah makankah sebentar tadi?" soal Mariati. Jelita Purnama menggeleng perlahan. Mahu dikata salah makan, padahal sebentar tadi dia cuma menjamah lempeng kelapa sama sambal kosong. Padahal hari-hari sebelum ini, dia menjamah lauk yang sama. Tiada pun muntah-muntah.

"Tidak mengapa Tuan Puteri, ayuh patik bantu Tuan Puteri untuk bangun." Serentak dengan itu, Mariati memapah Jelita Purnama dan dibawa ke atas katil. Tangan Mariati naik memegang dahi Jelita Purnama, terlalu panas.

"Sebentar ya Tuan Puteri." Mariati berlari keluar mencari dayang yang lain. Sementara itu Jelita Purnama pula terus mencapai tasbih, badannya dinaikkan sedikit untuk bersandar. Mulut Jelita Purnama terkumat-kamit mengucapkan kalimah suci Allah. Entah kenapa, dadanya tika ini sesak seolah-olah malaikat maut ingin datang menjemputnya.

Mungkin inikah pengakhiranya sakitnya?

  Tiba sahaja Mariati sambil diiringi pawang diraja dan beberapa orang dayang, Jelita Purnama terus menyimpan tasbih. Mariati bantu Jelita Purnama untuk bangun, dapat Jelita Purnama lihat air rebusan Halia dipegang oleh pawang diraja.

"Tuan Puteri, minum dahulu airnya. Dengan izin Allah, akan hilang angin di dalam badan Tuan Puteri."

  Jelita Purnama akur lalu meneguk air rebusan halia dengan penuh berhati-hati. Habis air tersebut, cawan dihulur kepada Pawang Diraja. Minyak angin yang dibuat oleh Pawang Diraja buat Jelita Purnama diambil dan diberi kepada Mariati.

"Bagaimana sekarang Tuan Puteri?" soal Pawang Diraja, risau dia akan keadaan Tuan Puteri, tiada angin tiada ribut tiba-tiba sahaja Mariati berlari mendapatkannya dan memaklumkan bahawa Tuan Puteri tidak sihat sama sekali. Mujurlah ketika itu dia sedang berbual kosong sama Bendahara.

"Baik-baik sahaja. Terima kasih ya..." Jelita Purnama bersandar di Mariati. Pawang Diraja mengangguk dan menundukkan tubuhnya lalu meninggalkan Jelita Purnama dan Mariati berdua di dalam kamar itu.

"Tuan Puteri mahu apa?" soal Mariati.

"Bantu saya untuk bersandar."

"Baik."

  Mariati mengambil bantal dan diletak di belakang tubuh Jelita Purnama. Dengan penuh berhati-hati, Jelita Purnama bersandar beralaskan bantal kapas itu.

"Mahu apa lagi Tuan Puteri?" soal Mariati lagi. Jelita Purnama cuma menggeleng perlahan.

"Mariati, boleh saya soal kamu dengan satu pertanyaan?"

"Apa soalannya?"

"Mana Tunku? Selepas subuh, dia tidak pulang ke mari. Baik-baikkah dia?" soal Jelita Purnama, risau akan keadaan suaminya. Mendengar pertanyaan sang Tuan Puteri, wajah Mariati serta-merta berubah.

"Tidak silap, Tunku Mahmud Shah keluar sebelum subuh untuk solat subuh di Masjid Melaka. Selepas itu..." Mariati berjeda seketika, berbelah- bahagi hatinya mahu memberitahu Tuan Puteri akan perkara yang sebenar.

"Selepas itu?"

"Tidak mengapa Tuan Puteri. Mungkin, Tunku Mahmud Shah pergi memanah dan berkuda?" Mariati mencuba untuk mengubah topik. Melihat reaksi Mariati, Jelita Purnama terssnyum kecil.

Tahu sudah dia jawapan yang sebenar.

"Tidak usah berbolak-balik sama saya Mariati. Beritahu saja perkara yang sebenar. Tunku pergi mencari Mariana bukan?"

Mariati mengangguk perlahan.

"Maaf. Patik tidak mahu kecewakan hati Tuan Puteri."

Jelita Purnama tertawa kecil.

"Tidak mengapalah Mariati. Saya faham, di hati Tunku Mahmud Shah cuma ada Dewi Mariana sahaja. Tidak ku nafikan, Mariana cantik, bijak dan kuat. Keturunannya juga, bukan calang-calang orangnya. Lagipun, menurut Pawang, penyakit misteri saya ini semakin teruk, peluang untuk hidup juga tipis. Jika saya menghalang Tunku untuk mencari pengganti saya, tidakkah ianya satu perkara yang kejam?"

Mariati diam.

"Hati saya sudah cukup kecewa apabila Pawang mengatakan bahawa saya tidak boleh memberikan zuriat. Hancur hati seorang isteri kerana tidak mampu memberi zuriat. Kemudian, hati saya pula hancur berkecai bak kaca yang jatuh apabila Pawang mengatakan bahawa penyakit misteri ini tidak ada penawarnya. Jiwa saya sudah lama mati, tubuh saja yang bernyawa. Jujur, saya sangat bersyukur Tunku Mahmud Shah sudah jumpa pengganti saya. Saya bahagia kerana saya tahu, jika Malaikat Maut mengambilku, Tunku tidak terkontang-kanting menahan rindu yang tidak berpenghujung."

"Setiap hari Mariati, saya berdoa supaya kematian menjemputku dengan cepat. Sakit rasanya menanggung sakit misteri ini. Tubuhku tika ini ibarat kain buruk, sudah tidak boleh diguna pakai. Jika tubuh ini sudah tidak punya kudrat, bagaimana saya mahu melayani Tunku? Tunku perlu mencari pengganti saya. Pengganti tersebut, perlulah berjanji untuk sehidup semati sama Tunku."

Mariati diam tidak berkutik, namun air matanya jatuh.

"Kejam rasanya kerana mengungkir janji. Dulu, saya sangat benci akan insan yang mengungkir janji. Bagi saya mereka adalah manusia yang pengecut dan tidak punya harga diri. Namun, tidak ku sangka kata-kata saya selama ini akhirnya memakan diriku kembali. Janji yang terungkai di antara saya sama Tunku, untuk sehidup dan semati, bersama di dalam setiap hela nafas kami, tidak meninggalkan satu sama lain akhirnya tidak ditepati. Saya sangat takut jika Tunku meninggalkan saya, sedangkan di akhirnya saya sendiri yang meninggalkan Tunku."

"Ketahuilah, jika jasad ini sudah mati. Yang mati cumalah Jasad. Namun cintaku buat Tunku, sentiasa hidup mekar abadi walaupun Tunku sudah bersama penggantiku."

  Jelita Purnama berjeda. Dia naik memandang Mariati, satu senyuman tipis diberikan. Jari Jelita juga turut naik mengesat air mata Mariati yang jatuh. Setianya Mariati sama dia, sungguh dia hargai.

"Mariati, boleh saya soal satu lagi pertanyaan?"

Mariati mengangguk.

"Jika dulu, bicara kita tidak ubah seperti sahabat. Namun sekarang, mengapa kau menggelarkan dirimu sebagai 'patik' dan memanggilku dengan gelaran 'Tuan Puteri'? Bencikah kau sama tindakan ku untuk menghantar rombongan meminang?"

Mariati menggeleng. Serentak dengan itu, kedua-dua tangannya naik memeluk tubuh kecil Jelita Purnama.

"Patik mengubah gelaran, kerana bagi patik kita terlalu rapat. Dua menjak ini Tuan Puteri selalu bercakap soal mati. Tidak dapat patik bayangkan betapa deritanya patik jika Tuan Puteri sudah tiada. Apa yang patik rasa, sedih, bahagia, patik akan bercerita sama Tuan Puteri. Hubungan kita bukanlah sekadar Tuan Puteri dan dayang, namun lebih daripada itu. Patik menganggap Tuan Puteri seperti saudara kandung patik. Namun, jika difikirkan lebih baik jika ada jurang diantara kita." Mariati berjeda seketika. Jelita Purnama masih lagi memandang dayangnya itu.

"Mengapa? Sudah berpaling tadahkah kau."

Mariati menggeleng.

"Sekiranya Tuan Puteri sudah tiada, tidaklah terseksa jiwa patik untuk menerima ketiadaan Tuan Puteri. Tuan Puteri baik orangnya, benarlah kata para Ulama. Jika diberi pilihan untuk memetik bunga, pasti bunga yang baik dan cantik akan dipetik. Begitu juga dengan kematian, patik yakin Tuan Puteri ialah insan yang berhati mulia. Kerana itulah, Tuan Puteri diberi kesakitan dan menyusul pula kematian."

  Kali ini, air mata Jelita Purnama turut jatuh. Tangan Jelita Purnama naik memeluk Mariati.

"Walaupun saya sudah tiada di bumi, ketahuilah saya sangat beruntung dapat berjumpa sama kamu Mariati. Wanita yang baik, cantik budi pekerti akhlaknya. Kenanglah daku, doaku sentiasa mengiringimu walaupun jasad ini sudah terkubur sama tanah."

Dewi Mariana: Berputiknya Cinta Di Fantasi Kedua (SU)Where stories live. Discover now