bab 21: Kehebatan Kain Cindai

648 49 0
                                    

DEWI MARIANA berjalan menuju ke arah Tunku Mahmud Shah yang sedang memanah di kawasan Istana Melaka. Sambil berjalan, sempat juga Mawar yang kini bertugas sebagai dayang khas buat Dewi Mariana memandang keadaan di sekitar Istana Melaka. Besar dan begitu gah sekali auranya. Tiba sahaja di hadapan Tunku Mahmud Shah, Mawar menjarakkan sedikit jarak di antara dia dan Dewi Mariana untuk memberi ruang buat Dewi Mariana.

"Mengapa ke sini adinda?" soal Tunku Mahmud Shah. Dewi Mariana cuma tersenyum tipis.

"Sekadar bersiar-siar di kawasan istana. Tidak adinda sangka kakanda berada di sini. Mengapa kakanda tidak memanah di luar kawasan? Bukankah itu lebih baik?" soal Dewi Mariana. Tunku Mahmud Shah cuma tersenyum lalu meletakkan alat memanahnya. Dia mendekatkan jarak dengan Dewi Mariana. Dewi Mariana pelik. Takkanlah baru sahaja tegur sudah mahu berhenti memanah?

"Ayuh adinda, kita bersiar-siar di sekitar Istana Melaka. Cuma kita berdua sahaja." Tunku Mahmud Shah menarik tangan Dewi Mariana. Manakala Mawar dan  pengawal istana yang bertugas untuk menemani Tunku Mahmud Shah terus beredar dari situ untuk memberi ruang.

  Sambil berjalan, sempat juga Tunku Mahmud Shah curi-curi pandang isterinya itu. Tunku Mahmud Shah tersenyum. Dewi Mariana yang langsung tidak sedar masih lagi leka memandang kawasan sekeliling istana.

"Renjana..." bisik Tunku Mahmud Shah perlahan.

"Renjanaku."

  Serentak dengan itu Dewi Mariana terus beralih memandang Tunku Mahmud Shah. Terkedu sebentar dia apabila melihat suaminya itu. Apakah bait-bait kata yang keluar daripada mulut suaminya itu?

"Sangatlah janggal jika kakanda memilih untuk memanggil adinda dengan gelaran adinda? Sedangkan gelaran itu sudah sebati dengan Jelita Purnama." tutur Tunku Mahmud Shah.

"Jadi, apakah gelaran yang ingin kakanda berikan buat Mariana?" soal Dewi Mariana ingin tahu. Tunku Mahmud Shah tersenyum.

"Renjana. Renjanaku."

"Renjana?" soal Dewi Mariana sekadar menginginkan kepastian. Tunku Mahmud Shah mengangguk mengiyakan.

"Indah sungguh gelaran itu..." Dewi Mariana berjeda seketika. Bunga mawar merah dipetik dan dipegang.

"... Indah seperti sang pemilik nama gelaran itu."




.

.

DEWI MARIANA berjalan masuk ke dalam Istana Melaka sambil diiringi oleh Mawar dan Mariati. Masuk sahaja ke dalam Istana Melaka, Bendahara Tun Perak terus bergegas berjalan menuju ke arah Dewi Mariana dan menundukkan kepalanya sebagai tanda hormat.

"Ampun beribu-ribu ampun Tuan Puteri. Izinkan patik sampaikan satu pesanan daripada Tuanku Permaisuri." tutur Bendahara Tun Perak. Dewi Mariana cuma mengangguk mengizinkannya.

"Tuanku Permaisuri meminta Tuan Puteri untuk berjumpa dengannya di ruang perjumpaan. Ampun Tuan Puteri."

Dewi Mariana mengangguk lalu berlalu pergi dari situ. Begitu juga dengan Mawar dan Mariati, tiba sahaja di hadapan pintu masuk ruang perjumpaan itu, pintu terbuka dari dalam. Dari jauh, dapat Dewi Mariana lihat Tuanku Permaisuri Tun Telani dan beberapa orang dayang istana. Satu senyuman diberikan. Setapak demi setapak dia atur. Tiba sahaja di hadapan Tuanku Permaisuri, Dewi Mariana mencantumkan kedua-dua tangannya sebagai tanda hormat.

"Duduk." titah Tuanku Permaisuri. Dewi Mariana duduk manakala Mawar dan Mariati berdiri. Tuanku Permaisuri bangun dari duduknya, di tangannya terdapat sehelai kain. Melihat Tuanku Permaisuri yang berjalan ke arahnya cepat-cepat Dewi Mariana bangun dari duduknya. Kain tersebut, Tun Telani hulurkan buat Dewi Mariana.

"Kain ini, diberi nama Kain Cindai. Kain Cindai ini mempunya kuasa mistiknya yang tersendiri. Namun usahlah dirisaukan, kuasa mistik yang digunakan bukanlah kuasa mistik yang digunakan untuk menyihir orang. Kuasa mistik yang digunakan ialah ketika berlakunya peperangan atau pertempuran. Tujuan utama kain ini ialah untuk mempertahankan diri, terutama sekali bagi wanita."

"Kain ini, diperbuat daripada serat pokok. Antaranya ialah serat nanas. Tujuannya ialah supaya kain ini tidak mudah terbakar dan tebal. Kain ini juga terdapat beberapa unsur mistik. Sekiranya berlaku peperangan atau pertempuran duhai Mariana, gunakanlah kain ini sebagai perisai semasa bertempur. Tidak dinafikan, empayar Melaka cukup kuat dari segi pertahanan dan tenteranya. Namun ianya bukanlah satu penanda aras buat kita orang perempuan untuk bersenang-lenang mengharapkan sang jejaka untuk melindungi. Haruslah ingat, semakin masyhur empayar Melaka semakin ramai yang menanti kejatuhan empayar Melaka."

  Kedua-dua tangan Tuanku Permaisuri mula membuka kain cindai tersebut. Tangan Tun Telani ligat membalut pinggang Dewi Mariana dengan Kain Cindai tersebut.

"Antara tujuan kain ini ialah boleh digunakan sebagai pelibas dan juga boleh menepis serangan senjata."

  Dewi Mariana mengangguk sebagai tanda faham. Melihat anggukan menantunya itu, Tuanku Permaisuri membuka balutan Kain Cindai itu. Kain Cindai itu bertukar tangan.

"Simpan dan jagalah Kain Cindai itu seperti mana Mariana menjaga diri Mariana sendiri. Ini ialah tradisi dan senjata tradisional orang Melayu. Kain ini menunjukkan kehebatan orang Melayu, walaupun perempuan itu tidak bermakna kita lemah. Orang perempuan juga perlu belajar ilmu mempertahankan diri. Haruslah kau ingat duhai Mariana, sebagaimana engkau mempercayai mereka nescaya di akhir nanti pasti akan dikhianati..." Tun Telani berjeda seketika.

"... Rambut sama hitam, namun isi nurani hati ini tidak sama. Boleh jadi ada yang ikhlas untuk menjaga empayar Melaka dan boleh jadi juga ada yang  berniat busuk mahu menjatuhkan empayar ini."

"Menurut Mahmud Shah, kamu handal dalam bersilat bukan?" soal Tun Telani. Dewi Mariana mengangguk.

"Ya, bonda. Namun, atas titah Tunku Mahmud Shah, patik berhenti daripada berlatih silat."

Serentak dengan itu, Tun Telani menggeleng dengan laju.

"Usah diikutkan titah Mahmud Shah. Bermula esok, bonda mahu Mariana sambung kembali latihan bersilat itu. Silat itu ialah ilmu pertahankan diri, jika tiada ilmu bagaimana kamu mahu mempertahankan diri sekiranya berlaku apa-apa? Bagaimana kamu ingin menempur bersama musuh sekiranya tiada ilmu? Tidak dinafikan, empayar Turki Uthmaniyyah dan Dinasti Ming mempunya hubungan antarabangsa yang kuat dengan empayar Melaka."

"Namun ianya bukanlah satu penanda bahawa kita perlu bersikap sambil lewa, tidak dinafikan sekiranya Melaka dijajah ataupun diserang, Turki Uthmaniyyah pasti akan menghantar tenteranya untuk membantu Melaka. Namun kita sebagai orang Melaka juga perlu kuat dan berani tampil ke hadapan. Walaupun perempuan."

Tun Telani beralih ke belakang dan duduk di atas kerusi yang disediakan khas buat Sultan dan Permaisuri.

"Haruslah ingat, sekiranya berlaku apa-apa pertempuran sama pihak musuh. Jangan permah sesekali bersifat khianat dengan memecahbelahkan Melaka apatah lagi membantu pihak musuh. Sekiranya semua orang tidak kiralah kerabat diraja, para pembesar ataupun rakyat bersatu padu mempertahankan kedaulatan Melaka. Melaka tidak akan pernah jatuh di tangan mana-mana kuasa asing walaupun sekali..."

"... Namun, jika suatu hari nanti bumi Melaka ini akhirnya tumpas di tangan penjajah. Ketahuilah bahawa Melaka tumpas bukan kerana kelemahan tenteranya, namun sikap orang Melayu sendiri yang bersifat mengkhianat bangsa dan agama Islam."

Dewi Mariana: Berputiknya Cinta Di Fantasi Kedua (SU)Where stories live. Discover now