bab 31

86 11 0
                                    

PERMAISURI DEWI MARIANA berjalan menuju ke arah taman bunga yang berada di kawasan Istana Melaka itu. Setiap langkah yang diatur, hatinya mula teringat apa yang terjadi sepanjang perkahwinan dia dan Sultan Mahmud Shah.

"Tidak usah kau risaukan, ku janji bahawa kau akan tidak akan makan hati berulamkan jantung. Kelak kau akan bahagia samaku Mariana. Itu sumpahku."

"Baiklah renjanaku, kakanda janji selepas ini setiap kali kakanda ingin membuat keputusan kakanda akan berbincang sama adinda terlebih dahulu."

"Tipu..." Dewi Mariana duduk di atas batu besar. Kedua-dua tangannya naik menekup wajahnya sendiri. Air matanya mula jatuh menyembah bumi. Terfikir juga dia, adakah ini satu kifarah buatnya kerana berkahwin dengan Sultan Mahmud Shah? Namun bukan dia yang mengejar suaminya.

Allahuakbar...

  Fikirannya tika ini seolah-olah radio rosak. Tidak berhenti memutarkan kata-kata. Dia sangat benci rasa ini. Masih lagi dia ingat betapa Jelita Purnama dahulu memujuk dan memintanya untuk bersabar dengan segala karenah Sultan Mahmud Shah. Fikirnya, karenah yang dimaksudkan oleh Jelita Purnama ialah perilaku Sultan Mahmud Shah yang cerewet. Namun jangkaannya benar-benar meleset.

'Inikah balasan yang perlu aku terima?'

'Setiap kata-kata yang keluar daripada mulut kakanda, semuanya kakanda tidak pernah tunaikan. Janji cuma sekadar janji, tiada langsung usaha kakanda untuk berubah.'

"Permaisuri..." Satu suara lunak menyapa gegendang telingan Permaisuri Dewi Mariana. Permaisuri Dewi Mariana cepat-cepat mengesat air matanya. Dia beralih memandang Mawar yang sedang berdiri tidak jauh daripadanya.

"Permaisuri..." Sekali lagi Mawar memanggil Permaisuri Dewi Mariana. Permaisuri Dewi Mariana bangun dari duduknya. Langkahnya pegun seketika. Baru sahaja Permaisuri Dewi Mariana ingin mengorak langkah menuju ke arah Mawar, kaki Permaisuri Dewi Mariana terasa longlai sekali.

"Permaisuri!" Mawar berjalan mendapatkan Permaisuri Dewi Mariana. Tubuh Permaisurinya itu dibawa masuk ke dalam pelukannya.

"Permaisuri! Tubuh Permaisuri benar-benar lemah tika ini." Tangan Mawar naik memegang wajah Permaisurinya itu. Pucat betul, manakan tidak pucat kalau sudah hampir dua hari Permaisuri Dewi Mariana tidak makan gara-gara makan hati berulamkan jantung dengan Sultan Mahmud Shah.

"Ayuh kita bangun, Permaisuri. Berehatlah Permaisuri di dalam kamar, patik akan minta tukang masak siapkan juadah buat Permaisuri ya? Ayuh Permaisuri." Dengan bersusah payah, Mawar membantu Permaisuri Dewi Mariana untuk bangun.

"Beta tidak mahu makan." Sambil berjalan, sempat juga Permaisuri Dewi Mariana menyuarakan hasratnya tidak mahu makan. Laju sahaja Mawar menggeleng.

"Tidak! Permaisuri harus makan. Ayuh Permaisuri kita ke kamar."

  Tiba sahaja di kamar, tubuh Permaisuri Dewi Mariana diletakkan di atas katil. Mawar membantu Permaisuri Dewi Mariana untuk bersandar; bantal dijadikan sebagai pelapik. Tangan Mawar naik memegang dahi Permaisuri Dewi Mariana, panas betul!

"Permaisuri... Permaisuri berehatlah sebentar, patik ke dapur ya." tutur Mawar lalu keluar daripada kamar beradu Permaisuri Dewi Mariana dan Sultan Mahmud Shah. Selang beberapa tapak sahaja, langkah Mawar terhenti apabila dia terserempak dengan Mariati.

"Mariati, kamu pergi tengokkan sebentar Permaisuri. Permaisuri sedang gering." tutur Mawar. Reaksi muka Mariati terus berubah. Gering? Teruk sangatkah kondisi Permaisurinya itu tika ini?

"Terukkah geringnya itu duhai Mawar?" soal Mariati. Jelas dari nadanya, dia agak risau.

"Tidaklah terlalu teruk, namun jika tidak dirawat akan melarat juga. Sudah, kamu pergi sahaja kepada Permaisuri."

"Baik Mawar." Mariati mengorak langkah menuju ke arah kamar beradu Permaisuri Dewi Mariana. Selepas mendapat kebenaran, Mariati masuk dan mengambil tempat di sisi katil Permaisuri.

"Permaisuri baik-baik sahajakah?" soal Mariati. Permaisuri Dewi Mariana cuma mengangguk sahaja. Senyuman tipis diberikan buat Mariati. Risau benar dayangnya seorang ini.

"Usahlah kamu risaukan beta. Beta baik-baik sahaja."

"Janganlah begitu Permaisuri. Patik sudah punya pengalaman sewaktu menjaga Jelita Purnama terlebih dahulu. Usahlah Permaisuri mengambil mudah tentang kesihatan Permaisuri. Kelak nanti ianya akan membawa lebih banyak mudarat."

Permaisuri Dewi Mariana mengangguk perlahan. Ada benarnya juga kata-kata Mariati sebentar tadi.

"Mariati, izinkan beta menyoal kamu satu soalan."

"Apakah soalan itu, Permaisuri?"

  Permaisuri Dewi Mariana berjeda seketika. Nafasnya diambil sedalam yang mungkin sebelum dia mengutarakan soalan itu kepada Mariati.

"Apakah ini semua kifarah buat beta selepas apa yang Jelita Purnama lalui selama ini?"

"Maksud Permaisuri, balasan buat Permaisuri?" soal Mariati, sekadar menginginkan kepastian. Permaisuri Dewi Mariana mengangguk perlahan.

"Tidak Permaisuri. Apa yang berlaku sebentar tadi bukanlah kifarah buat Permaisuri. Usahlah Permaisuri anggap ianya satu kifarah."

"Walaupun menurut kamu ianya bukanlah satu kifarah, namun beta yakin sewaktu Baginda Sultan menyuarakan hasratnya untuk bernikah sama beta sudah pasti Jelita Purnama makan hati berulamkan jantung..." Permaisuri Dewi Mariana berjeda seketika.

"... Sejujurnya beta tak mampu untuk bertahan lagi dengan keadaan ini. Beta penat, lelah. Jika menurut Permaisuri Ibu Tun Telani, setiap keputusan yang diputuskan oleh Tuanku Sultan haru dirujuk sama beta terlebih dahulu. Namun jelaslah apa yang Mawar lihat sebentar tadi, beta cumalah tunggul di mata Tuanku Sultan."

  Kali ini air mata Permaisuri Dewi Mariana tidak dapat lagi ditahan. Langit juga tidak mampu menampung air hujan yang kian memberat: begitu juga dengan Dewi Mariana yang tidak mampu menanggung kesakitan yang dihadapi. Melihat Permaisurinya yang sudah menangis teresak-esak, cepat-cepat Mariati memeluk tubuh Permaisuri Dewi Mariana.

"Sedih patik melihat keadaan Permaisuri tika ini... sesungguhnya apa yang Permaisuri lalui tika ini, jauh lebih teruk berbanding Tuan Puteri Jelita Purnama lalui dahulu."

"Jika dulu, tanggungjawab Tuan Puteri Jelita Purnama cumalah terhadap suaminya iaitu Sultan Mahmud Shah. Namun bagi Permaisuri pula, tanggungjawab Permaisuri terlalu besar bahkan jika patik berada di dalam situasi seperti Permaisuri, patik sendiri tak yakin sama ada patik mampu atau tidak..."

"... Allah menguji Permaisuri barangkali untuk mengangkat darjat Permaisuri. Permaisuri adalah insan yang sangat baik. Jika di taman bunga, Permaisuri ibarat bunga yang paling mekar. Usah patah semangat Permaisuriku." Mariati merungkaikan pelukan di antara dia dan Permaisuri Dewi Mariana. Tangan Mariati naik mengesat perlahan air mata Permaisurinya.

"Usah difikirkan anasir-anasir jahat Permaisuri... Setiap perjuangan pasti ada pengorbanan yang harus dilakukan. Dan ingatlah Permaisuri, sepanjang perjuangan Permaisuri ini, patik rela mengorbankan diri patik sendiri asalkan perjuangan Permaisuri buat mengangkat darjat perempuan tidak terhenti."

"Permaisuri adalah pejuang kami. Buat pengetahuan Permaisuri, Permaisuri adalah orang pertama yang berani menentang sistem pemerintahan Melaka. Usah patah semangat Permaisuri! Perjuangan Permaisuri Dewi Mariana akan kami soking daripada belakang. Permaisuri adalah pahlawan kami, pahlawan yang membantu mereka yang ditindas."

"Patik sentiasa mendoakan Permaisuri."

Dewi Mariana: Berputiknya Cinta Di Fantasi Kedua (SU)Where stories live. Discover now