MMR|13

34.2K 1.8K 159
                                    

Bebola mata langsung tidak bergerak, ralit merenung si bunga yang duduk berhadapan dengannya. Sesekali dia ukirkan senyuman tajam. Hari ini sudah tiba.

"Ima, Han kenapa datang tak beritahu dulu. Kalau tak boleh aku masak sikit."

Engku Naima tersenyum saja kepada Puan Dahlia. Kekura tangan wanita itu dia usap lembut lalu matanya beralih kepada Mawar yang hanya menunduk.

Bahu Mawar disentuh. "Kami datang ni ada hajat sikit." Dia masih tersenyum.

Mawar mengetap bibir. Dia tahu apa maksud Engku Naima. Merasakan ada getaran di telefonnya, dia terus lihat mesej yang baru diterimanya.

Engku Raid
—Jangan hampakan aku Mawar. Kau tahu akibatnya nanti.

Liur ditelan kesat. Sesaat, dia angkat pandangan. Senyuman tajam menghiasi wajah kosong Engku Raid. Bebola matanya mulai bergetar.

"Iya? Hajat apa tu?" Puan Dahlia senyum. Tangan Mawar digenggam lembut dalam diam.

Sejujurnya dia juga rasa ada sesuatu yang tak kena hari ini. Kemudian, kehadiran Engku Raihan sekeluarga, mengatakan mereka membawa hajat. Dia sudah rasa tidak sedap hati.

"Macam ni—"

Jeda.

Engku Naima senyap seketika. Bebola matanya mengerling Engku Raihan membuatkan lelaki itu berdehem pendek. Maklumlah, Engku Raihan memang tak banyak bercakap.

Engku Raihan tersenyum segaris. "Kami berterus-terang jelah. Nasa—katanya dah lama berkenan dekat Mawar."

Puan Dahlia saling berpandangan sesama sendiri dengan Tuan Qash, cuma berbeza reaksi. Jelas ketara Puan Dahlia seperti tersenyum paksa manakala Tuan Qash pula sebaliknya. Lelaki itu tersenyum lebar.

Rahang Engku Raid bergemeletuk. Telahannya tidak salah. Melihatkan reaksi wajah Puan Dahlia, wanita itu sudah mengetahui segalanya.

Mawar benar-benar cuba mencabarnya. Sudah acapkali dia pesan supaya tidak mengadu kepada sesiapa tetapi gadis itu degil juga.

"Erm maksudnya—"

"Nasa nak jadikan Mawar sebagai isteri," potong Engku Raihan. Sekali lagi Tuan Qash tersenyum senang.

"Alhamdulillah, senang hati aku dengar. Kalau macam tu, bila tarikhnya?"

Wajah Puan Dahlia bertukar kelat. Anak mata suaminya dicari. "Abang, kita tak tanya lagi jawapan Mawar," ujarnya cuba untuk melengahkan keadaan.

Tuan Qash diam sebentar sebelum memandang Mawar yang menunduk. Dia berdehem pendek. Menghela nafas panjang, dia panggil lembut anak gadisnya itu.

"Mawar..." Lambat-lambat Mawar angkat wajah.

"Mawar setuju?" soal Tuan Qash lembut. Pandangannya berubah redup. Dia tidak mahu memaksa jika Mawar tidak mahu.

"Ma...Mawar..." Bibir Mawar sudah terbuka, namun tertutup kembali. Hati kata tak mahu tapi mulut terpaksa memberi jawapan yang Engku Raid mahukan.

Lelaki itu tidak akan menerima sebarang penolakan.

"Ma...Mawar—"

"Ehem maaf semua. Boleh beri Raid ruang bercakap berdua dengan Mawar?" Melihatkan Mawar yang seperti teragak-agak membuatkan Engku Raid menggeram.

Tuan Qash mengangguk, tanda membenarkan. Setelah itu, Engku Raid terus pandang Mawar. Renungannya tajam. Anak matanya menggelap.

Mawar tahu Engku Raid marah. Andai rasa marah mampu diungkap menggunakan pacaindera kasar, pasti api marahnya mampu membakar pepohon kering meskipun jauh di sebalik hutan tebal.

Mawar Milik Raid[C]✅Where stories live. Discover now