MMR|28

30.1K 1.7K 209
                                    

Ada luka di sebalik senyuman


⚜⚜⚜


KELOPAK mata dibuka perlahan. Merasakan kepala yang sedikit berdenyut, jemarinya naik mengurut lembut di situ. Wajahnya pucat. Bibirnya mengering.

Tatkala anak matanya menusuk tepat ke satu arah, yakni sofa mini berhadapan dengan katil, bibir keringnya merekah akibat tersenyum.

Senyuman lemah.

"Nasa..." sebutnya perlahan.

Tanpa teragak-agak, lelaki yang dipanggil itu terus bangun daripada sofa lalu membuka langkah ke arah katil yang menempatkan sang isteri.

"Bi...bila awak sampai?"

"Pagi tadi." Jawab lelaki itu ringkas, senada. Kedua-dua belah tangan diselukkan ke dalam poket seluar.

Aulia mengangguk. Melihatkan sang suami yang masih bersikap dingin, tahulah bahawa perangai lelaki itu masih tidak berubah meskipun sudah hampir setahun tidak berjumpa.

Hanya dia yang beria-ia.

"Aku datang sini sebab aku perlu turunkan tanda tangan untuk pembedahan kau sebagai penjaga," kata Engku Raid tanpa disuruh. Kerusi berhampiran ditarik lalu punggung dilabuhkan selamba.

Aulia senyum kelat. Hati, sakit memang sakit tetapi dia tak mampu untuk meluahkan. Dia sedar kedudukannya di sisi Engku Raid. Sekadar isteri atas kertas.

Melihat Engku Raid yang bersusah payah datang ke sini hanya untuk menguruskan hal berkaitan rawatannya pun, sudah memadai.

Sekurang-kurangnya lelaki itu masih ada rasa tanggungjawab sebagai seorang suami.

"Mawar macam mana? Dia sihat?" Soalnya sekadar berbasa-basi.

Engku Raid menjatuhkan kepala beberapa kali. "She's pregnant now." Beritahunya meskipun Aulia tidak bertanya tentang itu. Dia mahu Aulia tahu bagaimana dia bahagia dengan Mawar sekarang.

"Oh...I'm happy for you." Aulia menunduk. Bermain dengan jemari halusnya sambil menahan diri. Dia perlu kuat dan tidak menunjukkan perasaan sebenar.

"Bila pembedahan kau?"

"Dua hari lagi."

Engku Raid angguk. Daripada duduk, kini dia berdiri tegak di sisi katil sambil merenung kosong Aulia yang sepertinya mengelamun.

Menghembus nafas, jemarinya turun mengelus rambut nipis Aulia. "Get well soon." Ucapnya tanpa nada. Lalu tanpa membenarkan Aulia berkata apa-apa, dia terlebih dahulu meninggalkan wanita muda itu terkaku seorang diri.

Daun pintu ditutup. Memusingkan tubuh ke belakang, nyaris dia berlanggar dengan seorang gadis. Dia kenal gadis itu, kenalan rapat Aulia.

"Lia dah sedar?"

Dia angguk tanpa suara sebagai jawapan.

Ariana yang melihat wajah kosong Engku Raid mulai menggulingkan bebola mata ke atas. Rasa jengkel dengan perangai lelaki itu. Dia memang tak berkenan dengan perangai Engku Raid.

Tetapi mengingatkan lelaki itu pernah membantu Aulia, dia terpaksa menahan diri daripada tidak mengeluarkan sebarang makian.

"Engku Raid Nasaie."

"Hm?" Engku Raid berpeluk tubuh lalu bersandar ke dinding.

"You memang tak ada rasa tanggungjawab langsung ke apa?"

Mawar Milik Raid[C]✅Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang