58

282 13 0
                                    

Cuti

Malam itu ramai jiran dan ahli jemaah masjid datang untuk turut sama dalam majlis tahlil dan solat sunat hajat di rumah Pak Salleh.

Sebelum majlis dimulakan, Pak Salleh meminta para tetamu yang hadir agar sama-sama mendoakan keselamatan anaknya Khaier yang sudah lebih seminggu tidak pulang ke rumah.

Entah kemana Khaier menghilangkan diri, tiada siapa yang tahu.

Dalam kesedihan, Pak Salleh cuba untuk kuat. Dia tetap percaya anak lelakinya masih hidup. Dia perlu kuat untuk memberi semangat kepada isterinya yang sangat terkesan akibat kehilangan Khaier, satu-satunya anak lelaki tunggal mereka.

Majlis dimulakan selepas solat maghrib. Hakim turut serta dalam majlis. Malam ini dia terpaksa bermalam di rumah itu atas desakan Pak Salleh yang tidak mahu dia memandu balik ke Kuala Lumpur berseorangan sementelahan hari sudah menginjak malam.

Murni pula hanya terperuk di dalam bilik sejak siang. Dia tahu Khaier kecewa dengan penolakannya, tapi Khaier tidak sewajarnya melakukan perkara diluar fikiran serta batas agama. Sedikit sebanyak Murni diterpa rasa bersalah atas apa yang berlaku.

Tidak terfikir olehnya bahawa secepat itu Khaier akan pergi. Sedangkan baru semalam dia bertemu Khaier.

Cuma dia tidak tahu kemana Khaier pergi selepas pertemuan mereka pada pagi itu. Selepas bersarapan, Khaier mengajaknya berbincang di tempat lain, tetapi terpaksa ditolak kerana Murni perlu ke pejabat. Khaier seolah merajuk, terus meninggalkan dia di restoren.

Dan mayat itu pula ditemui pada awal pagi, malahan sudah mereput dan berbau. Itu yang Murni dengar melalui suara bisik-bisik jiran tetangga. Apakah yang mati itu bukan Khaier.

Kalau bukan, di mana Khaier berada saat ini, fikirnya.

Ada ketukan di pintu bilik. Murni hanya membiarkan sahaja. Pintu itu tidak berkunci. Terasa seseorang menghampiri.

"Murni, jom makan. Dari siang tadi kamu tak makan, tak minum. Jom makan dengan mak." Itu suara Mak Mai.

Pantas dia mengalihkan tubuhnya yang sedang berbaring menghala dinding untuk menghadap Mak Mai.

"Murni tak ada selera nak makan."  Airmatanya mula menitis semula.

"Jangan macam tu, nak. Tak elok kalau perut tu kosong, takut kamu jatuh sakit nanti." Hatinya sendiri pun rawan, namun di paksa untuk kuat.

Usai solat maghrib dan solat sunat hajat secara berjemaah tadi, dia berasa sedikit tenang.

Murni hanya mendiamkan diri. Sesekali airmatanya di seka dengan jari.

"Murni pergi solat dulu ya. Mak tunggu, lepas tu kita pergi makan sama-sama." Pujuk Mak Mai lagi. Mata gadis itu sedikit bengkak, akibat kesan terlalu lama menangis.

Murni mengangguk. Dia bangun lalu menuju ke bilik air untuk membersihkan diri dan berwuduk.

Selesai solat, Murni mengekori Mak Mai keluar dari bilik. Tetamu sudah beransur pulang. Bihun goreng dan teh panas adalah sajian ringkas yang disediakan oleh jiran-jiran sekampung untuk majlis malam itu.

Hakim sedang berbual dengan Pak Salleh bersama beberapa orang pekerja kebun sayur yang bekerja dengan Khaier. Tok Penghulu dan Pak Imam juga sudah pulang ke rumah masing-masing. Di dapur dua orang jiran wanita sedang mencuci pinggan mangkuk. Khaiera juga turut ada bersama mereka.

Khaiera segera beredar dari dapur sebaik sahaja dia nampak Mak Mai dan Murni masuk ke ruang dapur. Sedikit pun dia tidak mahu menegur Murni.

Mak Mai yang sedar akan perilaku Khaiera hanya membiarkan sahaja anaknya berlalu. Sebaliknya dia mencapai tangan Murni menarik gadis itu ke ruang makan.

****

Hakim terpaksa balik ke Kuala Lumpur, memandangkan dia tidak boleh meninggalkan pejabatnya terlalu lama. Dia membenarkan Murni mengambil cuti selama beberapa hari lagi.

"Jangan lupa bagitahu bila dah nak balik KL nanti. Saya ambil awak di sini." Ujar Hakim sebelum dia menaiki kenderaannya.

"Tak perlu susahkan diri awak. Saya boleh naik bas ekspress sahaja dari sini nanti." Balas Murni. Jadi satu kerja pula Hakim nak ulang alik jauh-jauh begitu.

"Tak ada susahnya. Ingat tu, saya akan ambil awak nanti. Call atau WhatsApp saya bila nak balik, okay?"  Murni mengiyakan sahaja. Lagipun dia tak betah berlamaan dengan Hakim di situ. Banyak mata yang memandang mereka. Bimbang ada lagi salah sangka kepadanya dan Hakim.

Kenderaan Hakim akhirnya meninggalkan halaman rumah Pak Salleh.

Aku Dalam Dakapan Dia ✔Where stories live. Discover now