64

293 14 0
                                    

Tenang

Rumah penginapan ala-ala vila itu kini menjadi tempat yang paling disukai. Terletak di atas sebuah bukit. Dikelilingi hutan yang malar hijau. Hembusan angin sentiasa bertiup, dingin terasa tidak kira masa.

Murni memandang tepat ke hadapan. Dari atas bukit itu, nun di kejauahan sana, Banjaran Gunung Titiwangsa terbentang menghijau. Ada kabus-kabus putih yang sedang meliputi pokok-pokok.

Kak Yati sedang menghidangkan sarapan pagi di atas meja yang terletak di kawasan lapang di hadapan vila.

"Cik Murni, sarapan dah siap ni." Kak Yati menuang air minuman ke dalam cawan. Asap-asap nipis dari minuman yang panas itu naik keatas permukaan cawan.

Murni sedang leka dengan bunga-bunga ros yang pelbagai warna yang banyak ditanam di hujung halaman. Tidak ketinggalan bunga-bunga lain yang diselang seli antara pohon-pohon ros itu.

Dia memetik setangkai ros berwarna merah, lalu melangkah mendekati Kak Yati yang sudah pun duduk sambil memandang kearahnya.

"Wow, sedapnya sarapan pagi ni. Macam duduk dekat barat pula bila nampak hidangan ni dan suasana sekitar vila ini." Dua pinggan spaghetti aglio olio yang nampak menyelerakan siap terhidang. Dua potong kek berhias potongan buah strawberry turut di hidang dalam dua piring berasingan.

"Haish, ini bukan hidangan barat tau, ini hidangan orang jawa. Orang putih tak pandai makan benda ni," gurau Kak Yati.

Murni ketawa kecil. Minuman disua kebibir. Disisip sedikit kerana masih panas.

"Hurmm, maafkan saya Kak Yati, belum dapat nak bawak akak bercuti tempat yang lebih menarik."

"Ehh, bercuti dekat sini pun dah okay, Cik Murni. Lagipun akak tak pernah lagi sampai ke tanah tinggi ni." Ujar Kak Yati sambil tersenyum.

Kedinginan pagi amat menyegarkan di Tanah Tinggi Cameron. Suhu sejuk berkabus dan nyaman. Hari ini hari kedua mereka di Cameron Highland.

"Hari ni kita pergi jalan-jalan di kebun-kebun sayur dan kebun bunga. Lepas tu kita singgah mana-mana kedai yang ada jual bahan-bahan untuk memasak." Jadual sudah diatur dengan baik supaya percutian itu betul-betul memberikan ketenangan pada dirinya.

"Baiklah."

Kak Yati menyuap spaghetti ke mulut. Dia tahu mereka akan berada lama di situ, makanya mereka tidak akan selalu makan di luar. Kak Yati perlu menyediakan makanan di vila.

Sambil makan, sempat juga Murni mengimbas kenangan lalu juga trajedi yang melanda dirinya. Murni ingin melupakan trajedi lalu. Sudah beberapa kali kejadian malang menimpa dirinya. Entah kenapa dia pun tidak tahu.

Cuma nasibnya sentiasa baik kerana Allah melindunginya dari perkara yang tidak diingini.

Semua kerana adanya orang-orang yang baik berada dikelilingnya. Zhafik, Hakim dan ibubapanya, Nana serta keluarga angkatnya Pak Salleh dan Mak Mai.

Terfikir juga, kenapa begitu susah untuk dia menerima cinta seorang lelaki dalam hatinya. Ikutkan dia masih single. Sesiapa pun atau lelaki mana pun ada peluang jika dia membuka ruangan hatinya untuk dihuni.

Khaier merajuk kerana keinginannya untuk memperisterikan Murni, ditolak atas alasan sudah menganggap seperti saudara kandung. Hakim juga menerima nasib yang sama. Baru Hakim mahu membuka ayat-ayat cinta, Murni terlebih dahulu dapat menghidu.

Belum masanya untuk Hakim atau sesiapa pun menghuni  hatinya. Itu yang pasti. Biarpun Murni tahu Hakim itu seorang lelaki yang punya keyakinan tinggi. Apa yang dia mahukan pasti akan dia usahakan.

Tengoklah kejayaannya membina syarikat Timber & Mines. Hakim ikon anak muda yang berjaya dalam bisnes.

Kenapa Hakim tidak terpikat dengan Nana. Nana juga single sama sepertinya. Tiada apa yang kurang pada Nana. Seorang gadis muda yang cantik, rajin membantu keluarga dan kawan-kawannya.

Satu kekurangan Nana, dia jenis cakap lepas dan terlalu peramah. Hakim dan Nana sangat sepadan pada pandangan mata Murni.

'Aissh aku pandai-pandai jer nak menjodohkan mereka berdua,' bisiknya.

Selesai sarapan, kedua mereka masuk semula ke dalam vila. Mahu bersiap dan selepas itu keluar untuk menikmati permandangan ladang sayur dilereng bukit dan juga kebun bunga.

*****

Hakim mengetuk-ngetuk batang pen dimeja. Duduk bersandar sambil mengelamun.

Teringat kepada Murni yang mengambil cuti selama dua minggu. Hakim tidak diberitahu ke mana arah tuju Murni. Entah kemana Murni bawa diri. Kak Yati, pembantu rumahnya juga dibawa pergi.

Talian telefon tidak aktif. WhatsApp yang dihantar tidak dibaca.

Apa yang mampu Hakim lakukan selain dari duduk dan termenung. Habis terganggu urusan pekerjaannya. Sampai meeting pun kena tangguh. Bukan sekali, malah dua atau tiga kali.

Kak Aida siap gelengkan kepala. Hakim pasti hilang tumpuan jika ada hal melibatkan Murni.

Aku Dalam Dakapan Dia ✔Where stories live. Discover now