77

294 14 0
                                    

Sedia

Sudah hampir satu jam mereka berdua duduk dengan posisi bersila depan pintu apartment. Seorang di luar, seorang di dalam.

Masa terus berlalu. Malam kian larut. Suhu pula dingin dan berangin.

"Awak, saya dah mengantuk sangat ni. Awak balik lah." Kelopak matanya semakin terasa berat. Sukar untuk ditahan rasa kantuk yang amat sangat.

"Ye lah, ye lah, kejap lagi saya balik. Tapi sebelum tu, awak dengar apa yang saya nak cakap ni."

"Apa dia?"  Murni membetulkan duduk, kelopak mata yang semakin memberat dibuka seluasnya.

"Hari Sabtu yang akan datang, selepas awak habis kerja saya nak bawa awak jumpa ibu dan bapa saya, serta adik-adik saya. Ibu dah izinkan dan nak sangat berjumpa dengan awak."

"Betul ke ni, aduhai tiba-tiba saya rasa nak demam pulak." Mata yang hampir terpejam tadi terbuka luas.

"Ingat tau, hari Sabtu lepas kerja. Saya ambil awak di bangunan tempat awak bekerja. Okay?" Peluang yang satu ini tidak boleh terlepas. Penting untuk mereka berdua.

"In syaa Allah... " Murni memberi janji kepada Anif Zayyan.

"Oh hampir saya terlupa." Anif Zayyan menyeluk poket seluar.

"Hulurkan jari manis tangan kanan awak." Arahnya kepada gadis itu.

"Nak buat apa?" Tapi jarinya tetap disuakan.

Sebentuk cincin platinum bertatahkan sebutir permata disarungkan ke jari manis Murni.

"Ini, cincin tunang tak rasmi. Jangan tanggalkan tau. Pakailah. Sebagai tanda pertunangan kita hari ini. Pertunangan yang rasmi, selepas kita bertemu keluarga masing-masing nanti."

Cincin itu nampak indah dijari manis. Dia menayang jarinya pada Anif Zayyan, dan Anif Zayyan juga menayangkan jari manisnya yang juga disarung dengan cincin hampir serupa cuma ia kosong tanpa permata.

'Moga segalanya berjalan dengan lancar. In syaa Allah.' doa tak putus-putus dipanjatkan kepada yang esa.

*****

Sabtu yang dijanjikan tiba juga. Dia menunggu Anif Zayyan dia ruang lobi. Setelah hampir sepuluh minit baru lelaki itu muncul.

"Sorry lambat, trafik agak sibuk tadi. Awak dah sedia?" Anif Zayyan berdiri di hadapan Murni.

Murni bangun dari duduk. Wajah lelaki itu dipandang sekilas.

"Zayyan, awak rasa saya okay tak dengan pakaian ni?" Sambil menggerakkan sedikit tubuhnya.

Murni hanya memakai baju blaus berwarna biru samar potongan moden yang agak longgar serta berlengan panjang dipadankan dengan kain potongan mermaid. Kasut jenis sarung tapak rata dan tas tangan jenama tempatan. Tudung pula dari jenis bawal yang ringkas.

Sangat minima sekali penampilannya. Namun begitu keayuannya tetap terselah biarpun tidak disaluti dengan jenama mewah.

"Perfect. Awak memang sudah cantik, pakai apa pun tetap cantik." Puji Anif Zayyan. Murni ketawa kecil.

Mereka keluar dari lobi menuju ke tempat letak kenderaan. Anif Zayyan memutuskan untuk memandu keretanya sendiri.

"Ini kereta awak?" Ini adalah kali pertama dia melihat Anif Zayyan memandu sebuah Honda Civic 1.8 S i-VTEC berwarna putih.

"Kereta pinjam," Jawab Anif Zayyan sambil tersengih.

Empat puluh minit kemudian, kereta yang dipandu oleh Anif Zayyan, menyusur masuk ke perkarangan sebuah hotel lima bintang. Kunci kereta kemudiannya diserahkan kepada lelaki yang akan meletakkan kereta di kawasan parkir hotel.

Murni berjalan beriringan dengan Anif Zayyan memasuki ruang lobi hotel. Banyak soalan yang ingin ditanya, tetapi di pendam kan sahaja. Hanya menunggu masa yang sesuai.

Dari lobi mereka melangkah memasuki sebuah restoren yang terdapat di dalam hotel. Seorang pelayan menunjukan meja yang sudah sedia ditempah. Meja itu kelihatan masih kosong.

Tiba-tiba...

"Along! Ya Allah rindu giler dengan along." Seorang gadis memeluk Anif Zayyan dari belakang.

Anif Zayyan tersenyum sambil tangannya memegang lengan gadis itu untuk melepaskan pelukan.

"Macam budak kecil. Sopan sikit depan tetamu kita," dia menegur perilaku Zurin Adilla. Gadis itu memoncongkan bibirnya. Wajahnya putih bersih tanpa secalit alat solek.

"Siapa akak ni, along?" Dia berbisik di telinga Anif Zayyan. Baru dia perasan ada orang lain bersama abangnya. Gadis yang duduk di sebelah abangnya itu sangat cantik dengan mata hazel yang menarik dan berkulit cerah.

Pertanyaan Zurin Adilla tidak dijawab.

"Mana yang lain tak sampai lagi." Dia menoleh ke pintu masuk restoren.

"Kejap lagi sampailah tu." Zurin Adilla mengambil tempat duduk di sebelah Murni selepas bersalaman.

"Assalamualaikum, maaflah kami lewat sikit." Seorang wanita bergaya anggun muncul bersama seorang lelaki separuh umur yang sangat segak serta berpakaian kemas. Anif Zayyan bangun menyambut kedatangan mereka.

"Murni, saya kenalkan awak dengan ibu dan bapa saya. Mummy, daddy, inilah Murni yang along ceritakan tu." Murni bangun dari kerusi sambil menghulurkan tangan kepada wanita anggun itu. Dia sekadar menunduk sedikit sebagai tanda hormat kepada lelaki yang dipanggil daddy oleh Anif Zayyan.

"Wow, cantik gila bakal isteri along." Satu suara mencelah dari arah belakang.

"Kan angah. Mana along jumpa akak ni ye, comel sangat." Zurin Adilla masih mahu mengusik abangnya. Murni yang mendengar hanya tersenyum.

"Dah, dah. Duduk tempat masing-masing. Kecoh tak ketahuan." Lelaki itu terus duduk di kerusi kosong sedikit berjarak dengan Anif Zayyan dan Murni.

"Maafkan kerenah anak-anak auntie. Mereka memang macam ni kalau dah berjumpa. Bising mengalahkan budak-budak tadika." Ujar wanita anggun itu kepada Murni. Dia ketawa kecil.

"Awak, saya kenalkan adik lelaki saya Akif Ziyyad dan adik perempuan saya Zurin Adilla." Sesi berkenalan pun bermula.

Aku Dalam Dakapan Dia ✔Where stories live. Discover now