31 - Mimpi

760 47 1
                                    


RUANGAN gelap tanpa cahaya yang membolosi. Matanya langsung tidak mampu menangkap sebarang kehadiran benda. Langkahnya semakin tidak teratur. Kekiri, kebelakang sehingga dia terlanggar sesuatu yang tinggi. Lantas dia berpusing bersama nafas yang tidak teratur. Gugup. Takut.

Dia kembali berpusing mencari sebarang petunjuk untuk keluar dari ruangan ini. Namun disebabkan had pengcahayaan, langkahnya tidak tentu.

"Lia..." bisik seorang lelaki. Bisikkan itu kedengaran rapat menghidupkan rasa takut dalam dirinya. Talia pantas menekup telinganya.

"Lia... akak akan selalu ada," kata seorang wanita pula. Dalam tidak sedar, air matanya jatuh.

"Tolong bawa Talia keluar dari sini. Talia takut." Rayunya dalam bisikan yang hanya dia seorang yang bisa mendengarnya. Teresak-esak sambil memeluk lutut. Sungguh dia tidak berdaya.

Nafasnya terhela laju. Mimpi lagi. Dengan dada yang berdebar pantas, dia angkat tubuh dari terus berbaring. Mata memerhati sekeliling. Baru sedar, dia baru pulang dari café dan terus terlena di ruang tamu dengan tudung yang masih belum dibuka. Terlalu penat.

Selepas dia berkahwin bersama Megat Raed 3 minggu yang lalu, kerap sungguh dia mula bermimpi perkara-perkara yang tidak pernah dia hadapi. Dulu, waktu awal-awal sedar dari koma, kerap juga dia mengalami mimpi yang sama. Selepas rawatan bersama Dr. Taufiq, mimpinya semakin berkurangan dan sudah hilang.

Kini, semuanya kembali. Suara lelaki yang sering membisik ke telinganya, disulami dengan pujukan suara wanita yang selalu berkata akan bersama dengannya. Wanita yang membahasakan dirinya sebagai 'akak' yang langsung dia tidak kenal.

Jam menunjukkan pukul 5.00 petang. Dia pulang awal hari ini kerana pening dan juga suhu badan yang meningkat. Kini, dia mula rasakan suhunya sudah turun ke paras normal setelah menelan ibuprofen sebelum pulang ke rumah.

Talia bangun naik ke bilik untuk membersihkn diri dan bersolat asar. Sempat dia kerling ruangan parking kegunaan kereta Megat Raed masih lagi kosong. Hanya ada Swift putihnya sahaja.

Seusai menyudahkan bacaan doa, dia nampak Megat Raed duduk dibirai katil sambil melihat telefon di tangan.

"Bila abang baik?" soalnya sambil menyidai telekungnya. Langsung dia tidak sedar bila Megat Raed pulang. Tidak dengar pintu bilik terbuka mahupun bunyi enjin kereta di luar.

Megat Raed angkat kepala melihat isterinya yang sedang datang menghampirnya seraya duduk disampingnya sambil mencuri lihat dada telefon itu. Perbualan antara Megat Raed dengan Puan Yuhaina.

"Baru je. Masuk bilik tadi tengok sayang tengah solat." Beritahu Megat Raed lalu bibirnya jatuh menyapa dahi bersih itu. Dipeluk erat tubuh wanita kesayangannya itu. Menghirup wangian yang terbit dari tubuh wanita itu. Wangi! Tangan pula tidak duduk diam lari menyentuh rambut Talia yang masih lembap.

Talia balas pelukan dengan wajah yang menekap pada dada Megat Raed. Belakang badan lelaki itu diusap-usap lembut. Rindu seharian tidak bertemu. Seketika, pelukan dirungkai. Tangan Megat Raed dipegang. Lantas matanya menatap mata Megat Raed yang redup itu.

"Abang... Talia mimpi lagi. Makin kerap pula kali ni." Ceritanya.

Megat Raed menghela nafas dengan tenang. Seperti biasa, Talia menceritakan apa yang wanita itu mimpikan. Seperti mimpi pada malam perkahwinan mereka, Talia sudah ceritakan. Dan kali ini, benda yang sama, namun ada penambahan watak.

"Mimpikan benda yang sama? Suara lelaki yang berbisik?"

Talia jatuhkan kepala dua kali. Mengiyakan pertanyaan Megat Raed. Sejak dulu lagi dia berkongsi. Tapi sudah lama dia tidak mendapat mimpi begini.

[C] Cukup SempurnaWhere stories live. Discover now