27. Index Alchimia (4)

1.6K 192 38
                                    

*satu jam kemudian

"Ehemm.., Perhatian semua!" Aunsellus mengetuk permukaan meja. Fokus mereka bertiga terhenti sebentar mendengar ketukan meja oleh Aunsellus.

"Saya nak keluar sebentar. Dewan ini bukan dewan kosong ya. Ada 'mata' yang memerhati hoho. Kamu semua jawab soalan elok-elok dan jangan menipu." Pesan Aunsellus sebelum menuju keluar dewan secara tergesa-gesa.

Mereka bertiga memerhati Aunsellus berlalu pergi.

"Nampaknya orang tua tu dah keluar. Baru boleh jawab soalan dengan tenang," kata Caius. Kedua belah kaki diletakkan diatas meja. Pensel yang dipegang mula dilambung ke udara.

Caius mula memerhati keadaan sekeliling. Matanya tertumpu ke arah Abigail yang giat menulis jawapan. Melihat gelagat Abigail kelam-kabut, Caius tersengih. Dalam benak fikirannya, sekuat mana Abigail berusaha untuk menjawab, tidak mungkin dia akan berjaya dalam cubaan pertama kali menjawab peperiksaan Index Alchimia.

"Hehehe..." gelak Caius.

Caius mula mengalihkan perhatian kepada Kleim. Kebencian Caius terhadap Kleim makin membuak tatkala melihat Kleim. Belum sempat beliau membuat andaian liar, Kleim berganjak dari mejanya dan menuju ke arah dinding dewan.

Gerakan spontan Kleim menyebabkan Caius tersentak. Pensel yang dilambung berulang-kali olehnya jatuh bergolek ke lantai.

"Hei betul ke kau dah habis jawab semua soalan ni atau kau saje nak tunjuk pandai depan Abigail?" ujar Caius.

Abigail menjeling lantas membalas, "Sekurang-kurangnya dia yakin untuk menjawab soalan kat dinding tu."

"Aku peduli apa!"

BAM!! Caius menghentak mejanya.

"Kalau dia lulus Index Alchimia ni, aku sendiri sanggup kunyah dan telan tanah lumpur kat luar bangunan ni hahaha!"

"Kau dah boleh mula menguyah tanah lumpur kat luar tu," Kleim tersenyum menyeringai, seolah-olah menyindir Caius.

"Apa diaa!?"

"Kau tak dengar ke? Kau dah boleh mula mengunyah dan telan lumpur kat luar bangunan ni. Seorang dari keluarga bangsawan tidak akan sesekali memungkiri janji mereka, kan?" balas Kleim bersahaja. Tangannya mula mencapai pen lalu mula menulis.

"Tchh...! Kurang ajar!" Caius berang mendengar jawapan dari Kleim. Mujur juga ini adalah dewan peperiksaan. Jika di luar sana, mungkin sudah lunyai Kleim dikerjakan olehnya.

Abigail terkejut mendengar respons berbentuk provokasi dari Kleim. Betulkah ini Kleim? Bukankah Kleim seorang yang pendiam dan jenis tidak melawan?

"Sudahlah Caius. Buang masa bertekak dengan kau. Malas aku layan."

Ketika ini, soalan pertama sudah pun habis dijawab oleh Kleim. Dia mula berganjak ke soalan yang seterusnya. Soalan kedua, Kleim mengambil masa tidak lebih dari lima belas minit untuk menjawab.

Abigail tercengang melihat betapa cepatnya Kleim menulis jawapan. Apa yang ditulis oleh Kleim tidak masuk akal langsung kerana ia tiada dalam kebanyakan kitab dan buku rujukan yang dibaca oleh Abigail. Jawapan yang ditulis oleh Kleim sangat unik dan baru baginya.

"Saya tidak faham langsung apa yang kamu tulis kat atas dinding ni, Kleim. Kaedah yang kamu tulis ni, semuanya seperti tidak masuk akal langsung. Adakah ini disiplin ilmu yang baru?" Tanya Abigail. Dia berhenti menjawab kertas soalannya semata-mata mahu melihat apa yang ditulis oleh Kleim.

"Improvisasi," jawab Kleim pendek.

"Maksudnya, dia nak mengampu si tua Aunsellus tu la. Siapa lagi." Caius mencelah sekali lagi.

Kebanyakan jawapan yang ditulis oleh Kleim merupakan hasil gabungan daripada kaedah sains moden dan juga ilmu Alchemy yang dibacanya dari kitab-kitab Alchemy. Kleim hanya mengubah suai sedikit sahaja supaya ia sesuai dengan latar ilmu disiplin dunia Alchemy.

Jawapan Kleim juga disertakan sekali dengan lukisan gambar rajah bagi memudahkan para penyemak jawapan memahami apa yang ditulis. Penerangan yang lengkap, ditambah juga dengan kekemasan tulisan tangan menjadikan barisan jawapan kelihatan lebih teratur.

'Bukan susah sangat. Kebanyakan soalan yang tertulis atas dinding ni mendahului zaman mereka sendiri,' bisik hati Kleim.

Kleim juga harus berhati-hati dalam menulis jawapan. Kebanyakan soalan yang diutarakan amat licik dan kompleks. Takut juga jika jawapan yang diberikan olehnya terlalu kompleks dan mendahului zaman.

Sudah pasti semua orang akan mengesyakinya mengamal ilmu terlarang. Jika terdapat soalan seperti begini, dia mengambil pendekatan selamat dengan memberi jawapan secara umum sahaja. Baginya, itu adalah kaedah yang terbaik sekali.

Hati Caius semakin panas. Menambah lagi kegeramannya apabila dia melihat Kleim menulis jawapan diatas dinding buruk itu dengan bersahaja, sedangkan dia sendiri merangkak-rangkak menulis diatas kertas jawapannya!

"Apakah kamu mahu sudahpun habis menjawab semua soalan yang saya beri?" Tanya Aunsellus yang muncul secara tiba-tiba dan mula menepuk-nepuk bahu belakang Caius.

"Errr, belum lagi Sire."

"Belum," Abigail menggeleng kepala.

"Teruskan menjawab. Masa semakin suntuk."

Mata Ausellus kemudian tertumpu ke arah Kleim yang sedang menulis sesuatu di dinding dewan. Aunsellus kemudian mendekati soalan pertama yang dijawab oleh Kleim di dinding.

"Apakah nisbah yang sesuai untuk campuran herba Rumpai salji, Daun Tujuh Abadi dan Putik Raven? Mengikut teori Alchemy, campuran herba ini membentuk ubat Antidot yang berkesan, namun campuran herba ini tidak dapat bertahan lama dan harus digunakan dengan cepat kerana kadar keberkesanan akan berkurangan sejajar dengan masa. Sehingga kini, tiada lagi jawapan yang sesuai," bisik Ausellus.

Mata Aunsellus beralih kepada jawapan Kleim. Melihat jawapan yang ditulis oleh Kleim membuatkan Ausellus terkejut.

"Tidak kira berapa banyak nisbah yang tuan-tuan pakai, adalah mustahil untuk membuat antidote itu stabil dengan ketiga-tiga bahan. Seharusnya, Rumpai Salji harus ditukarkan dengan Rumpai Perang menggunakan nisbah 2:1:3"

Jawapan yang diberi oleh Kleim amat logik mengikut pandangan Ausellus. Matanya dikatup kecil membayangi jawapan yang diberikan oleh Kleim. Sambil mengusap janggut putihnya, dia menyambung membaca jawapan Kleim di perenggan kedua, "Rumpai Perang mempunyai sifat yang sama dengan Rumpai Salji, kedua-duanya mempunyai sifat detoksifikasi yang sama. Cuma Rumpai Salji bersifat 'garang', yakni bersifat reaktif dan tidak sesuai jika dicampur dengan Daun Tujuh Abadi dan putik Raven kerana kereaktifannya. Rumpai Perang merupakan pengganti yang sesuai kerana ia lebih stabil dan sesuai dengan dua herba tadi."

"Bijak! Sungguh bijak hohoho! Tak sabar nak uji sejauh mana kebenaran teori ni," puji Aunsellus keriangan. Aunsellus begitu teruja untuk menguji nisbah yang ditulis oleh Kleim di makmalnya nanti.

Ini adalah kali pertama seorang calon berjaya memberi jalan penyelesaian kepada soalan yang tercatat diatas dinding ini!

Aunsellus kemudian beralih kepada soalan seterusnya. Jawapan yang ditulis Kleim sungguh bijak dan mempunyai pendekatan proaktif. Ianya sesuatu yang baru. Walaupun dia tidak begitu pasti tentang jalan penyelesaian yang diberikan oleh Kleim itu tepat atau tidak, tetapi sekurang-kurangnya Kleim menulis jawapan tersebut dengan jelas dan boleh dibuktikan dengan mengujinya di makmal Alchemy.

Aunsellus mula memandang Kleim dengan penuh hormat dan kagum walaupun usia Kleim masih muda. Amat sukar baginya untuk memberikan penghormatan sebegini, lebih-lebih lagi kepada orang muda.

Kleim merupakan seorang yang genius! Malah dia menganggap Kleim adalah Permata Alchemy negara yang harus diberi perhatian dan perlu digilap lagi!

Kebanyakan soalan yang tertulis di dinding ini berusia lebih tua dari Aunsellus sendiri dan ia merupakan soalan yang sangat susah, walaupun bagi seorang Senior Alchemist. Dia pun tidak mampu untuk memberikan jalan penyelesaian yang logik.

"Tuan Muda Kleim, apakah kamu sudah habis menjawab semua soalan yang ada dalam kertas soalan yang diberikan? Apa pendapat Tuan Muda Kleim tentang soalan yang diberikan?" Tanya Aunsellus. Ketika itu, Kleim masih lagi sedang menjawab soalan yang tercatat di dinding dewan tersebut.

++++++++++

Arc ChemistWhere stories live. Discover now