60. Let's get married

2.4K 127 19
                                    

Khairunnisa terpisat-pisat sendiri, dia mencapai telefon miliknya. Mahu melihat sudah pukul berapa sekarang ini. Jam menunjukkan angka 2 setengah pagi, Khairunnisa bangun sebelum mengeliat kecil. Mahu melangkah turun ke tingkat bawah mencari segelas air kerana tekaknya yang kehausan.

Di dalam keheningan pagi, gadis itu melangkah keluar daripada selimut. Hoodie yang tersarung di tubuh diperbetulkan, suhu penghawa dingin diselaraskan lalu mencapai telefon dan diletakkan ke dalam poket hoodie. Pintu bilik dibuka sebelum melangkah perlahan-lahan turun ke tingkat bawah. Membawa langkah menuju ke dapur yang masih berselerak dengan plastik Jaya Grocer. Makanan segera dan kering semuanya masih terletak elok di dalam plastik supermarket itu.

Gelas dicapai bersama botol kaca berisi air kosong yang berada di dalam peti sejuk. Dia menguap sebelum menarik kerusi dan melabuhkan duduk menghadap island counter.

Sepi.

Senyap dan sunyi. Khairunnisa mencapai plastik barang yang berada di atas island counter itu. Tak mahu dirinya terus hanyut dalam lautan perasaan yang bercampur-baur.

Tak, dia.. dia tak rindu.

Nafas berat dilepaskan, cuba menahan dirinya dari lemas dalam perasaan itu.

Tak dia nafikan, suasana ini berbeza. Tak dia nafikan yang dirinya sentiasa sunyi, ya memang dia ada Nadim tapi keadaannya tetap tak sama seperti ketika bersama mereka bertiga.

Tak dinafikan, kerap kali dia nampak bayang Fasha bergelak ketawa, bayang wajah Farrah yang sentiasa merengus jika tidak berpuas hati dan wajah selamba badak Batrisha dalam menangani karenah mereka.

Ah cliche, kenapa perlu bersedih? Bukannya dia yang bersalah pun? Mereka yang membuat keputusan untuk tinggal berasingan bukan? Kenapa dia perlu bersedih dengan keputusan yang dibuat?

Tapi betul ke Khai, kau memang dah tak mahu Bat jadi salah seorang Black Knight? Betul ke? Soal akal waras Khairunnisa. Gelas kaca itu digenggam erat. Menahan perasaan yang bergelora.

Kalau diingatkan balik, dia rasa mahu bagi sebiji penampar pada Batrisha. Bagi menyedarkan gadis itu yang Black Knight ada untuknya.

Andai dapat diputarkan waktu kembali, dia bukan setakat nak tolak Bat, dia mahu gadis itu tersungkur terus. Dia mahu menyedarkan gadis itu yang susah senang mereka tetap bersama.

Dan dia mahu jerit sekuat hati di telinga gadis itu agar Batrisha sentiasa ingat apa yang diucapkannya.

Tapi dia bukan Doraemon dan dia bukan Alice in Wonderland yang mampu merentas ruang masa, dia bukan sesiapa. Yang berlalu akan tetap berlalu. Yang retak akan kekal berkecai seribu. Dan yang hilang, takkan pernah kembali?

Yakin kah?

Dia tak ada jawapannya. Dia sendiri tak tahu gadis itu kemana, Farrah pula sedang bercuti. Katanya sudah lama tidak bercuti dan merehatkan fikiran jadi dia malaslah mahu kacau Farrah.

Fasha? Sibuk menguruskan rumah tangga, ah gadis itu, orang lain yang bercinta, dia yang kahwin dulu. Cepat je buat kerja. Getus Khairunnisa dalam hati. Dia bangun daripada duduk, mencapai kotak air epal di dalam peti sejuk sebelum dituang ke dalam gelas. Bekas berisi lebihan ayam Kyochon di dalam peti sejuk juga dicapai.

Love , Cik BabysitterWhere stories live. Discover now