Bab 1 ~ Ina ~

22.6K 728 19
                                    

DARI luar, kedengaran bacaan yasin mendayu-dayu, memenuhi segenap rumahku. Awan turut mendung, angin kencang menggoncang pepokok dan dedaun. Aku dongakkan kepala pada ibu di sisi. Mata dan hidungnya merah, seolah-oleh menangisi pemergian seorang insan yang istimewa.

"Ibu, siapa meninggal?" Aku memecah kesunyian. Tak betah berdiam diri.

Pertanyaanku ditinggalkan sepi. Sejak ibu datang mengambil aku dari sekolah, sepatah bicara pun tak terluah dari bibirnya. Hanya raut mendung yang tertera di wajahnya, seakan memberitahu bahawa ada berita buruk yang akan aku terima tak lama lagi.

Sejurus menarik nafas panjang, ibu menarik lenganku agar membuntutinya. Kami menapak bersama ke dalam rumah. Sebelum itu, aku memandang pelik kasut-kasut yang tersusun di muka pintu. Berpuluh pasang kasut itu menggambarkan jumlah tetamu yang hadir.

Aku curi tengok manusia-manusia yang ada di situ. Ada yang hentikan bacaan, ada yang berdiri mendapatkan ibu. Mereka kemudian memandang aku yang masih mengenakan pakaian sekolah dengan riak simpati.

Tangan yang berpeluh, aku ramas. Tak sedap hati dan tak suka akan situasi ini.

"Ibu, ayah dengan Amirul mana?" Aku bertanya lagi.

Belum sempat ibu jawab, mata aku lebih tangkas menangkap sekujur tubuh Amirul di sebelah pak ngah, adik kepada ayah. Amirul yang sedang menangis teresak-esak bersama pakaian sekolah membuatkan mataku berair. Kenapa Amirul menangis? Dia seorang yang sangat riang. Tak mudah mengalirkan air mata.

Kelibat ayah, aku cari. Tak ada. Ayah tak ada di situ.

"Ibu, ayah mana? Mana ayah Ina?" Kedua belah tangan ibu, aku goncang. Terdesak.

Lelehan air mata ibu yang membanjiri pipi sepertinya sudah menjawab persoalan yang menyesakkan mindaku. Geleng. Tak... Tak mungkin. Aku terus-menerus menidakkan tafsiran otak. Pagi tadi, ayah masih ada. Kehangatan tangannya masih dirasai. Ayah tak pergi ke mana-mana. Ayah pasti ada.

Lamunanku terhenti. Tiba-tiba, beberapa orang lelaki keluar dari dapur bersama satu jasad yang sudah tidak bernafas. Tubuh itu lantas diletakkan di tengah-tengah ruang tamu yang telah siap dihampar dengan kain putih.

"A...ayah? Ayah!" Beg sekolah, aku hempas ke lantai. Tak percaya. Laju aku melangkah, mendapatkan tubuh ayah.

"Ayah... Ina ni, ayah. Kenapa ayah tidur dekat sini?" Pipi ayah, aku sentuh penuh kasih. Berharap lelaki itu akan bangun dan mengucup dahiku seperti selalu.

Suasana riuh aku tak hiraukan. Hatiku hancur berderai, hancur sehancurnya. Hanya Allah yang tahu betapa luluhnya jiwa dan raga ini. Separuh sayapku pergi tanpa pesanan, meninggalkan keluarga kecilnya. Pagi tadi, bibir pucat itu masih menghangatkan dahi. Kini, tiada lagi senyuman indah yang akan warnai hari-hariku.

"Ina, jangan macam ni. Hormat ayah, nak," pujuk ibu. Jari-jemari bergetarnya menyentuh bahuku, mengajak aku untuk tubuh ayah.

"Ayah, Ina dah dapat nombor satu dalam kelas... Ni ayah nak kan? Ayah bangga dengan Ina, kan? Bangunlah ayah, jangan tinggalkan Ina, ibu dengan Mirul," pintuku sambil menggerakkan tubuh ayah agar memberi respons terhadap luahan hatiku. Tersesak-esak aku menangis, memeluk erat tubuh ayah.

Orang-orang yang berada di situ, semua bekerja keras untuk menenangkan aku. Tapi... Siapa saja yang mampu bertenang pada situasi begini?

"Ayah! Ibu, tolong gerak ayah, dia dah janji nak bawa Ina jalan-jalan kalau Ina dapat nombor satu. Ayah tak pernah mungkir janji. Ayah! Ayah, Ina sayang ayah. Bangunlah, ayah!" Aku meraung kuat, sehingga hampir tercabut anak tekak.

"Ina, ingat Allah sayang. Allah dah tetapkan semuanya..." Tersedu-sedan ibu cuba meredakan kesakitan yang aku alami.

"Ayah... Ayah..."

Kerana Dia Uzzam ✔Where stories live. Discover now