Perlahan-lahan Syam membuka mata apabila cahaya matahari memancar masuk ke dalam biliknya. Mata kirinya dipisat-pisat kerana pedih. "Sekejap! Aku rasa malam tadi aku tidur atas katil. Tapi sekarang ni aku ada di atas kerusi. Aku mimpi aku tidur atas katil ke?"
Syam menoleh ke arah katil. Bersepah macam ada orang tidur di atas katil. Kemudian, dia melihat pula ke arah skrin komputer riba yang terdapat di atas meja di hadapannya. Fail 'DARK HUNTER : NEXT STAGE' dibuka. Ya, di sinilah Erzen Laiss wujud, 'DARK HUNTER : NEXT STAGE'.
Sistem Microsoft Word diaktifkan, maka terpaparlah muka surat pertama yang bertulis 'DARK HUNTER : NEXT STAGE – AKU MEMBURU KERANA DENDAM – SYAM SYAHRUL AZMI.'
Kemudian, Syam beralih kepada muka surat seterusnya sehinggalah muka surat 89 iaitu bab 38. '... Pedang milik Erzen telah mencantas kepala dua orang pemegang saham Art St. Holding di tempat letak kereta di bawah bangunan Art St. Holding yang terletak bertentangan dengan CIMB Bank.'
Tulisan yang terdapat pada bawah ayat tersebut telah tiada. Adakah dia hanya bermimpi sahaja malam tadi?
Kemudian, Syam melihat ke arah jam dinding yang terdapat di sebelah kiri pintu bilik, 12:30 tengah hari. Syam segera bangun dari kerusi dan menuju ke arah tingkap. Tingkap dibuka. Dia melihat ke arah halaman rumah. Vios merah milik ayahnya tiada di situ. Maksudnya semua orang sudah pergi bercuti ke Cherating.
"Mana kereta papa? Hari ni Ahad. Cuti." Dia menggaru kepalanya sebelum dia menuju ke arah katilnya.
*
Tidur Syam telah terganggu akibat bunyi deringan telefon pintar jenama Vivo miliknya. Telefon tersebut dicapai dan panggilan dijawab.
"Hello, Syam? Tengah buat apa tu?" Soal Raz kepada Syam melalui panggilan telefon.
"Tidur. Kenapa?" Katanya lalu menguap.
"Syam ada nak minta abang belikan apa-apa ke? Abang dengan Abang Ash ada dekat shopping mall ni. Nak abang belikan komik untuk Syam?"Pelawanya kepada adik bongsunya itu.
"Umm... Ikut suka hati abang la nak beli atau tak." Katanya lalu duduk di atas katil.
"Syam. Abang nak tanya sesuatu. Malam tadi Syam pergi mana?" Soal Raz kepada Syam.
"Malam tadi? Syam tak keluar pun. Syam tidur awal malam tadi. RaSIS kot. Tapi buat apa dia keluar malam-malam?" Katanya.
"RaSIS? Tapi malam tadi lain macam. Cara pakaian dia pun lain macam."
"Lain macam?" Soal Syam yang mula kehairanan.
"Ha'ah. Dia pakai jaket labuh warna hitam. Itu jaket yang Syam beli untuk join cosplay dua tahun lepas, kan?" Kata Raz sambil mengingati kembali cara berpakaian Syam pada malam tadi.
"Dua tahun lepas?" Syam terdiam seketika.
"Syam!" Panggilan Raz telah memecahkan lamunan Syam sebentar tadi.
"Ya. Okay lah, Abang Raz. Syam ada kerja sekarang ni. Bye." Syam segera menamatkan perbualan tersebut. Vivo miliknya campakkan di atas katil dan berbaring di atas katil.
"Apa yang sudah berlaku? Aku tidak faham dengan keadaan aku sekarang ni. Kalau aku keluar malam tadi, aku nak pergi ke mana?" Soalnya kepada diri sendiri. Dia mula panik.
"RaSIS. RaSIS." Syam memanggil RaSIS dalam mindanya.
"Ya. Kenapa kau panggil aku?"
"Kau keluar malam tadi?" Bicaranya sendirian.
"Tak. Bukan aku. Aku rasa... Ada tetamu tak diundang. Tetamu yang dah lama aku cari tapi masih tak jumpa." Jawab suara dalam mindanya.
*
Jari-jemari Syam berhenti menaip pada ayat terakhir. 'Berita mengenai kes pembunuhan dua orang pemegang saham Art St. Holding telah tersebar ke seluruh Malaysia pada pagi tersebut selepas seorang pengawal keselamatan menjumpainya ketika menjalankan tugas.'
Syam bersandar pada kerusi dan mengeluh. "Stress! Asyik buntu je. Kalau terus macam ni, macam mana aku nak siapkan cerita ni sebelum deadline?"
Syam berdiri dari kerusi dan menuju ke arah katil. Alat kawalan televisyen dicapainya dari atas katil lalu dia melabuhkan punggung pada birai katil. Alat kawalan televisyen dihalakan ke arah televisyen dan butang 'on' ditekan.
Berita jam 4:00 petang ditontonnya dengan perasaan bosan. "Hari-hari berita pasal politik je. Dah tak ada berita lain ke?" Alat kawalan televisyen dihempasnya di atas bantal yang terletak di sebelah kanannya.
"Dua orang mangsa telah dijumpai meninggal dunia dalam keadaan kepala mereka dipenggal. Kedua-dua mayat tersebut dijumpai oleh seorang pengawal keselamatan di tempat letak kereta di bawah bangunan Art St. Holding pada pagi tadi. Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Dato' Halim Aslan dan Dato' Fuad Kairulanuar. Kedua-dua mayat telah di bawa ke..." Ini ialah satu berita yang mengejutkan bagi Syam.
"Apa maksud semua ni? Kes pembunuhan? Art St. Holding? Syarikat tu wujud ke?" Monolognya yang kelihatan panik.
Syam segera berlari ke arah komputer riba yang berada di atas meja. Ayat terakhir yang ditulis pada skrin ditatap. Situasi yang telah ditulisnya tadi sama seperti berita yang baru sahaja dilihatnya tadi.
"Pedang? Pedang aku?" Syam segera berlari ke arah almari pakaian apabila teringat akan pedang yang pernah dia simpan sebelum ini. Pintu almari dibuka. Kedua-dua tangannya meraba-raba sesuatu di sebalik pakaian yang digantung di dalam almari tersebut.
"Tak ada?" Syam mula cuak apabila pedang itu tiada di tempatnya. Pintu almari dihempas kuat. Matanya melilau mencari pedang tersebut di dalam bilik ini.
Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk menyelongkar semua almari dan rak yang ada di dalam bilik ini. Namun, hasilnya sangat mengecewakan kerana dia tetap tidak menjumpainya.
Syam capai gelas kaca kosong yang terdapat di atas meja tersebut lalu dibaling ke arah dinding biliknya kerana terlalu tertekan terhadap situasi sekarang. Kaca pecah berderai di atas lantai.
"Yami! Mana kau?" Jerit Syam bagaikan orang gila. Kertas lakaran plot dan gambar watak-watak dalam 'DARK HUNTER : NEXT STAGE' di atas meja sengaja disepahkan ke atas lantai.
"Syam. Kenapa kau menggigil? Kau takut ke? Kau takut kau yang bunuh mereka ke?" Syam segera menoleh ke belakang apabila mendengar suara itu. Tiada sesiapa di belakangnya.
"Siapa kau? Kenapa kau lakukan semua ni?" Soal Syam kepada suara tersebut yang diyakininya berada dalam mindanya.
Soalannya tidak dijawabnya. Pada masa yang sama dia terlanggar pasu bunga berkaki tiga pada dinding berhampiran tingkap tersebut. Dia terkejut lalu menoleh ke arah pasu itu. Sebilah pedang terjatuh ke atas lantai. Pedang itu dikenali sebagai pedang kegelapan kerana namanya ialah Yami.
Syam mengambil pedang tersebut dan membuka sarungnya. Diperhatikannya mata pedang yang kelihatan merah. "Darah?"
Syam jadi trauma ketika melihatnya lalu dia mencampak pedang itu ke atas lantai. "Tak mungkin aku yang lakukannya." Dia panik. Syam teringat kembali kata-kata Raz sebelum ini.
"Tapi adakah aku yang lakukannya? Kalau betullah aku buat semua tu, apa sebabnya?" Dia menyoal dirinya sendiri lalu terduduk di atas lantai.
"Kenapa karya aku jadi macam ni pula? Kenapa?" Jeritnya sekuat hati.
Pedang tersebut mengingatkan Syam kepada kes pembunuhan di sebuah kedai pedang yang terletak di Jepun pada beberapa tahun yang lalu. Disebabkan itu juga, pedang itu berada dengan dia sehingga kini.
Pedang tersebut mendapat kebenaran masuk ke Malaysia sebagai barang perhiasan. Jika digunakan sebagai status senjata, mustahil untuk Syam membawa balik ke Malaysia. Tambahan pula, pedang itu diikat kemas dengan tali berwarna merah yang tertera tulisan kanji bermakna mentera. Ini dilakukan sendiri oleh Syam. Ikatan pada pedang itu seperti dia tidak mahu sesiapa membuka pedang itu lagi. Pada beg penyimpanan pedang itu juga dirantai dan dikunci.
Syam juga menggunakan alasan hadiah daripada sebuah kedai pedang di sana sebab dia sudah selamatkan nyawa tuan kedai dan anak tunggal si pemilik kedai tersebut. Alasan tersebut disokong oleh rakan-rakannya dan dua orang guru pembimbing yang mengetahui kisah pedang tersebut. Oleh itu, pedang itu mampu masuk ke Malaysia tanpa dicurigai oleh pihak berkuasa.

YOU ARE READING
A.K.U : DISSOCIATIVE IDENTITY DISORDER
Mystery / ThrillerSYAM SYAHRUL AZMI merupakan seorang penulis novel yang menghidap penyakit Dissociative Identity Disorder (DID) sejak umurnya 10 tahun. Alter yang pertama dimilikinya ialah RaSIS. Nama tersebut diberikan oleh abang sulungnya yang bermaksud Rahsia Seb...