kisah - 1

3.3K 297 45
                                    

"Siapa sudah menonton filem adiwira labah-labah yang popular baru-baru ini?"

Soalan Ustazah Sufiah mengejutkan ramai murid yang leka dibuai mimpi. Langsung terjaga sang pereka peta terbaik di buku teks. Pandai Ustazah Sufiah menyebut isu popular demi mengejutkan anak-anak muridnya yang leka dan tidak fokus di dalam kelas.

"Yaaaa!!"

"Sudah..!!"

"Ustazah juga layan filem itukah?"

Seraya kelas yang sunyi sepi tadi kembali bernyawa membalas soalan guru mereka. Suasana kelas kembali kecoh apabila rata-rata murid di situ sudah pun menonton filem tersebut dan mereka cuba memberitahu apa yang terjadi dalam filem itu kepada mereka yang belum menonton tetapi segelintir yang belum menonton tidak mahu diberitahu lagi makanya kekecohan berlaku kerana dua pihak saling bertikam lidah.

"Shhhhh..shhhh" Ustazah Sufiah menenangkan keadaan kembali sambil jari telunjuk tangan kanannya dijulung tinggi ke udara kemudian diturunkan ke mulutnya tanda menyuruh anak muridnya mengunci mulut masing-masing.

"Ustazah sengaja tanya sebab ramai di antara kamu yang tertidur mendengar tazkirah hari ini." Dia mula bersuara tatkala suasana kembali damai.

"Tetapi kita bukan mahu belajar tentang adiwira tersebut. Kita mahu belajar tentang dunia dimensi yang disebut-sebut dalam filem tersebut."

"Seperti yang kamu tonton, terdapat tiga adiwira yang sama dengan identiti yang sama tetapi dari dimensi yang berbeza. Dalam erti kata lain, Awang Parkir yang merupakan watak utama itu ternyata ada dua lagi versi dirinya yang lain dari dimensi yang lain."

Seluruh kelas khusyuk menghadam kata-kata ustazah mereka.

"Tetapi, tengok boleh percaya jangan. Bukan mahu kata apa, tetapi sebagai umat Islam kita harus beringat dalam dunia ini diri kita hanya ada satu versi sahaja iaitu kita sendiri. Tidak ada kita dari dimensi yang lain atau dari mana-mana."

"Tetapi ustazah, bukankah kita mempunyai pelanduk dua serupa?" Soal salah seorang daripada murid di situ.

"Memang kita ada pelanduk dua serupa tetapi pelanduk dua serupa hanya mempunyai wajah yang hampir sama dengan kita, bukan menyerupai diri kita sepenuhnya. Makanya kita tetap diri kita dan pelanduk dua serupa itu tetap diri mereka." Jelas Ustazah Sufiah.

"Tetapi sekiranya,.." riak wajah ustazah tiba-tiba bertukar serius tanda murid-muridnya perlu memandang serius tentang perkara yang ingin disampaikannya itu. Suaranya ditegaskan bagi menarik perhatian murid yang sekali lagi hampir terlena di dalam kelasnya.

"Sekiranya kalian melihat ada dua versi diri kalian, maknanya itu salah. Kita hanya ada satu sahaja versi kita dalam dunia ini. Sekiranya ada versi diri kita yang lagi satu, bermakna itu adalah syaitan."

"Faham??"
Seluruh kelas mengangguk tanda memahami apa yang disampaikan ustazah Sufiah.

"Benar kamu faham Adalia?" Ustazah Sufiah memandang Adalia yang lena dibuai mimpi walaupun tempat duduknya tidak jauh dari ustazah. Serentak seluruh isi kelas memandang Adalia yang masih terkatup rapat matanya.

"Weyh, weyh bangun!" Rina menggoncangkan Adalia agar dia bangun kerana satu kelas sudah memberikan perhatian kepadanya ketika itu.

Terkial-kial Adalia bangun sambil mengelap matanya kemudian memandang sekeliling cuba menghadam situasi. Ada bunyi tawa kecil dari segenap penjuru kelas mentertawakan Adalia yang dipanggil ustazah sedemikian rupa. Malu bukan kepalang!

Tetapi Adalia lambat menghadam situasi jadi dia tidak terasa dengan gelak tawa rakan kelasnya itu. Dia masih lagi sedang memproses maklumat sehabis baik.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now