Kisah - 10

1.4K 191 98
                                    

  Dahlia bersiap untuk ke rumah wanita sihir. Ratna membantunya tetapi dalam hatinya risau akan Dahlia.

  "Pastikan kau berhati-hati, jerit sekuat hati sekiranya kau diancam bahaya." Ratna memecah sunyi menyampaikan pesanan ikhlas dari hati.

  Dahlia hanya tersenyum dan mengangguk.  Arjuna akan tinggal di masjid dah tidak keluar. Manakala hanya Ratna yang akan menemani Dahlia ke rumah wanita tersebut namun hanya Dahlia yang akan masuk bagi mengelakkan berlaku sebarang kecelakaan terhadap Ratna.

  "Kakanda Dahlia..." Panggil Ratna perlahan.

  "Ya Ratna?"

  "Tentang perbualan kau dengan Arjuna di warung tadi, mungkin aku masih muda untuk mengerti tetapi ketahuilah bahawa aku tetap mempercayai engkau. Tidak kiralah siapa engkau dan dari mana asal usulmu, aku tidak kisah. Aku akan sentiasa menerima kau." Tiba-tiba Ratna membuka topik itu.

  Dahlia terdiam. "Benarkah? Kau mempercayai aku?"

  "Ya. Aku tidak kira siapa kau, aku hanya akan terus menganggap kau sebagai Kakanda Dahlia yang telah banyak membantu ku dan mengambil berat tentang diriku. Sudah lama aku tidak disayangi orang. Kau sahaja yang sudi menerima aku tidak kira siapa pun aku maka aku juga mahu melakukan perkara yang sama." Jelas Ratna lagi.

  Entah kenapa, butiran kata yang keluar dari mulut Ratna menenangkan hati Dahlia. Entah kenapa, walaupun Ratna seorang budak yang banyak tidak mengerti pelbagai hal, dialah yang paling memahami. Dialah yang selalu menghilangkan kegusaran hati Dahlia.

  "Terima kasih Ratna kerana bersama denganku. Sungguh mungkin pada kau itu hanyalah kata-kata, tetapi pada aku itulah pemberi semangat yang menyebabkan aku boleh bertahan di sini sehingga hari ini." Dahlia mengusap lembut kepala Ratna.

  Ratna tersenyum manis menaikkan pipinya yang comel. Sungguh kecomelannya terserlah saat dia melemparkan senyuman.

  "Sudah, lekas, aku harus bergerak sekarang." Dahlia menghentikan perbualan. Mereka berdua keluar dari ruang solat wanita menuju ke pagar utama masjid.

  Dahlia menyarungkan sepatunya diikuti Ratna. Tok Imam akan menjadi penunjuk jalan maka hanya Budi dan Arjuna sahaja yang tinggal di masjid mengelakkan diri bertembung dengan wanita itu.

  "Dahlia!" Baru sahaja mereka ingin melangkah, Arjuna memanggil Dahlia. Walau hanya memanggil namanya, sudah cukup menggetarkan hati si gadis itu.

  Mereka menoleh. "Ini, ambil ini sebagai persediaan untuk kau berjaga-jaga." Arjuna menghulurkan keris di sisinya kepada Dahlia. Dia masih risaukan wanita itu. Entah kenapa dia merasakan seperti Dahlia berada di bawah tanggungjawabnya.

  "Jikalau kau melakukan ini kerana menyangka kau harus menjaga keselamatan seorang puteri, usah kau teruskan usahamu kerana sudah aku jelaskan bahawa aku bukan puteri yang dimaksudkan." Dahlia menolak kerana tidak lagi mahu menyimpan harapan terhadap Arjuna.

  "Kau adalah tanggungjawabku memandangkan aku yang menjumpai kau terlebih dahulu. Sekarang jangan banyak bunyi, ambil ini. Gunakan pada waktu yang sepatutnya." Arjuna berleter.

  Kata-kata Arjuna itu memang tiada niat lain tetapi ia sudah cukup memekarkan semua bunga di taman hati Dahlia. Benar benar memberi harapan palsu. Dahlia hanya mendengus kecil dan mencapai keris tersebut. Dia tidak mahu Arjuna sambung berleter kerana setiap tutur kata insan itu sentiasa memberi harapan palsu kepada Dahlia.

  Dahlia terus bergerak pantas meninggalkan Arjuna. Langkah kakinya dituruti oleh Ratna. Mereka bergerak mengikut Tok Imam yang sudah jauh meninggalkan mereka.

  Setibanya mereka berdekatan dengan lorong rumah wanita tersebut, Tok Imam dan Ratna hanya menghantar Dahlia pergi dengan doa. Dahlia mendekati rumah kaya lagikan megah itu.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now