Kisah - 17

1.3K 192 23
                                    

  Hutan yang berdekatan dengan sempadan Wantachitra itu kini dipenuhi dengan tentera dari Tarawangsa dan Wantachitra setelah tentera yang mengawal di kawasan hutan menyampaikan berita tentang serangan mengejut daripada pihak yang tidak dikenali.

  Ratu Melawati turut turun padang bersama tenteranya risau akan keadaan anak-anaknya. Ratu Melawati memijak kawasan rumput berdarah itu mencari kelibat Delima, Intan dan Arjuna.

  "Cari Tengku Puteri Seri Dahlia sehingga jumpa!" Laung seorang tentera dari Wantachitra. Tentera yang lain menguruskan jenazah tentera yang telah syahid bertemu Sang Pencipta. Ratu tidak menghiraukan tentera Wantachitra. Kelibat anak-anaknya terus dicari.

  Seketika kemudian, seorang hulubalang datang mengadap Ratu Melawati. Wajahnya dirudung kesedihan.

  "Ampun, Tuanku. Ada sesuatu yang perlu Tuanku lihat." Hulubalang itu tidak mampu berkata lagi. Wajahnya benar-benar menggambarkan sedih yang mendalam.

Ratu Melawati segera bergegas ke tempat yang dimaksudkan. Langkahnya terhenti saat matanya menangkap kelibat sekujur tubuh lemah di sisi Delima. Jantungnya gugur dihentak takdir. Bibirnya kemam tanpa kata. Matanya merah bergenang air mata.

  "Astaghfirullahalazim..." Perlahan bibirnya menyebut kalimah itu. Jiwanya terlalu lemah untuk semua ini namun dia sudah diajar untuk tetap kuat dalam apa cara sekalipun. Langkahnya menggigil berjalan ke arah Delima dan Arjuna.

  Arjuna duduk berteleku di hadapan Intan. Delima masih memangku Intan. Keduanya tunduk menahan tangis. Tangan Arjuna digenggam kuat memaksa diri untuk terus kuat. Sungguh semua ini terlalu mengejut. Air mata berguguran jatuh ke lantai hutan berdarah.

  Retaknya jiwa ditinggalkan orang tersayang sebegitu rupa. Tiada lagi insan ceria yang ingin menghiburkan hati saat duka dan lara. Intan pergi meninggalkan kenangan. Dia yang dahulunya tidak lekang dengan senyuman kini longlai tidak bernyawa.

  Tiga orang Perkasa yang menggunakan ilmu hitam turut tertumpas sama. Biarpun mereka menggunakan ilmu hitam, tetap mampu ditewaskan Intan. Jelas Intan benar-benar pejuang hebat yang berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Dadanya bersirat dibelah pedang. Sungguh dia dibunuh dengan kejam tanpa belas ihsan.

  Sukar untuk diterima. Ratu Melawati perlahan datang memegang wajah Intan. Walau sekuat mana pun dia, jiwa seorang ibu tidak mampu menahan pemergian seorang anakanda tercintanya. Menggigil tangannya menyentuh wajah Intan. Air mata berlinangan di pipi.

  Tangisan Delima tidak mampu dibendung tatkala ibunya sudah tiba di hadapannya. Dia mahu mengadu sepenuhnya melepaskan duka terbuku di hati. Intan dipangkuannya tidak mahu dilepaskan. Masih belum bersedia membawa pergi jasad adindanya itu.

  "Intan sayang..." Lembut Ratu Melawati memanggil anakandanya itu. Selalunya suara nyahutan ceria Intan akan kedengaran namun kini tiada. Benar-benar jiwanya diruntun sedih melihat Intan yang kini sudah bertemu Ilahi.

  Arjuna kekal membatu di belakang ibundanya. Telapak tangan kanannya menutup matanya. Air mata membasahi tangannya. Begitu pahit takdir ini untuk dihadam.

  Seketika kemudian, Ratu Melawati menyapu wajah sembapnya. Nafas ditarik dalam-dalam cuba menelan takdir pahit itu.  Dia memusingkan badannya menghadap Arjuna di belakang. Perlahan dia menepuk lembut belakang Arjuna memberi sokongan agar Arjuna dapat terus kuat.

  Kemudian dia menoleh ke arah Delima pula. Perlahan dia mendekati anakandanya itu. "Delima..." Lembut dia memanggil.

  Mayat Intan harus diuruskan. Tidak boleh terus dipangku begitu. Delima menggeleng perlahan tidak mahu melepaskan jasad kerdil itu. Pastinya Delima paling terkesan kerana dialah yang selalu bersama Intan ke mana sahaja mereka pergi.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now