Kisah - 51

1.4K 110 83
                                    

Sangkanya hanya Dahlia dan Merpatika yang terpana saat Sang Jentayu hadir di jumantara alam terbang di dada langit menongkah awan tebal. Namun ternyata seluruh tentera Wantachitra termasuklah Arjuna turut terpana sama.

"Masha... Allah." Sebutir kata terpacul keluar dari mulut Arjuna terkedu seluruh jiwa menyaksikan kehadiran burung gergasi di dada langit itu. Bukan hanya Arjuna, tetapi kesemua yang lain turut tidak mempercayai mata mereka sendiri. Bagaikan mimpi di malam hari, kewujudan burung bersaiz sebegitu gergasi menimbulkan tanda tanya ramai pihak.

Bukan hanya tentera laut, malah penduduk yang menghulurkan tangan dari darat turut terkesima.

Tambahan lagi, tentera musuh turut terpana sama. Arjuna terkedu namun kekal memerhati gerak-geri musuh. Boleh jadi burung gergasi itu di pihak mereka atau di pihak musuh. Perlahan-lahan Arjuna melangkah bergerak mendekati Dahlia yang sedikit jauh berbandingnya mengambil peluang dalam kelekaan musuh memandang langit.

"Apakah kau baik-baik sahaja?" Soal Arjuna bernada perlahan. Biarpun sedari tadi dia bertarung tanpa henti malah beberapa nyawa sudahpun putus disirat lehernya oleh Arjuna namun pemuda itu kekal berada dalam keadaan tenang dan dapat berfikir dengan baik.

Dahlia terkedu seketika akibat dirinya lebih tertarik untuk melihat mata Arjuna yang memerah seolah-olah pemuda itu baru sahaja lepas menangis. 'Dia menangis?' Senandikanya berbicara perlahan mencari jawapan. Sungguh tidak pernah dalam hidupnya melihat pemuda itu menghamburkan tangisnya lebih-lebih lagi pada waktu sebegini.

'Apakah ada orang tersayangnya yang pergi bertemu Tuhan selepas hentaman bom tadi?' Dahlia terus bermonolog sendiri. Jiwanya benar-benar tertarik memandang mata kaca berkilat milik Arjuna yang bersinar bawah sinaran api merah menyala yang menjilat seluruh isi kapal.

"Dahlia?"

"Apakah kau tidak dapat mendengarkanku?" Arjuna terus menyoal risau keadaan gadis itu masih seperti sebelumnya. Sungguh saat dia berpaling ke belakang dan melihat bagaimana Dahlia sudah terkulai layu di lantai kapal, hanya Tuhan yang tahu betapa luruh dan runtuh seluruh dunianya tika itu.

Tiadalah pernah berada dalam sangkaanya bahawa seorang gadis asing seperti Dahlia mampu mengecaikan hatinya sebegitu rupa. Arjuna jatuh terjelopok ke lantai menutup seluruh wajah dengan tangan kirinya namun tetap linangan air mata mengalir tanpa henti sebentar tadi akibat dirinya menyangka bahawa Dahlia telah bertemu dengan Sang Penciptanya.

Arjuna dalam dilema. Dirinya tidak mengerti akan asbab dia terlalu asyik memikirkan soal Dahlia hingga perkara sebegitu sukar diterimanya. Apakah dia terlalu tekun menjadi Temenggung Tarawangsa yang ingin berusaha sebaik mungkin membantu mereka yang memerlukan?

Arjuna sendiri masih belum pasti tentang hal itu. Namun dia tetap berpendapat bahawa mungkin dia tertarik untuk sentiasa merisaukan Dahlia adalah atas dasar kasihan...

...dan bukannya cinta.

"A-apa?" Tercengang Dahlia tidak menyedari lama dia terleka memandang pemuda bukan mahram itu. Mata bertentang seketika. Keduanya terpana.

Segera pandangan dialihkan seraya bibir mengucapkan istighfar. Arjuna menapak beberapa langkah ke belakang sedar kesilapan dirinya yang terlalu merisaukan hingga terlupa menjaga batas pergaulan. Kesal dengan kekhilafan diri sendiri.

"GILA!" Laung seorang tentera musuh yang pandangannya masih terlekat pada kelibat burung gergasi besar di dada langit. Segera kedua Arjuna dan Dahlia berpaling menoleh ke arah suara tersebut. Terlupa dibuatnya bahawa mereka masih berhadapan dengan musuh ketika ini.

"Ah Beng dan Muthu, lama tidak bersua! Bukan hanya satu, malah ada dua!!" Laung salah seorang yang lain, berpantun saat bukan hanya kelibat burung gergasi spesies Jentayu malah terdapat juga burung gergasi lain berbulu putih lebat bak pualam yang turut sama menyertai di dada langit.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now