Kisah - 28

1.1K 150 52
                                    

Orang bunian merupakan manusia yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Kewujudannya ada namun terkadang boleh dilihat, terkadang tidak. Terpulang pada kehendak-NYA ingin memberi peluang pada seseorang insan itu sama ada boleh melihat atau tidak.

Fitrah manusia adalah makan dan tidur. Tanpa dua perkara ini, manusia tidak dapat menjalani kehidupannya dengan baik. Maka selain daripada fitrah ini, sekiranya seseorang itu punyai kepentingan lain bermakna itu adalah nafsu.

Orang bunian mungkin hidup di dua alam yang berbeza dengan manusia namun mereka tidak menganggu manusia sekiranya tiada kepentingan sendiri.

"Siapa Lela Sakti ini Merpatika?" Wajah Dahlia sembap dengan air mata yang sudah kering.

"Orang bunian yang tidak aku gemari." Merpatika berhenti seketika sebelum menyambung bicaranya. "Hutan yang kau jejaki itu diberi nama Hutan Bunian kerana dipercayai terdapat bunian yang tinggal di kawasan itu."

"Apakah bunian itu bengang dan memberontak akibat kawasannya diceroboh?" Dahlia meneka.

Merpatika menggeleng. "Tidak. Mereka orang baik. Sang Jentayu mengenali mereka. Tidak sedikitpun mereka mendakwa seluruh hutan itu milik mereka. Alam ini milik Tuhan, bagaimana mungkin mereka menuntut kawasan itu sesuka hati mereka."

"Jadi? Mengapa mereka menyerang?" Gadis itu terus-menerus mengajukan soalannya.

"Sejak bila 'mereka' yang menyerang?" Merpatika membalas soalan dengan pertanyaan.

Dahlia terkedu. Hairan terlukis di seluruh wajahnya. "Bukan mereka. Hanya Lela Sakti yang menyerang tadi." Merpatika membalas lagi.

Dahlia kekal membisu memberi sepenuh tumpuan dalam bicara Merpatika. "Usah dipukul rata semua bangsa bunian itu. Hanya Lela Sakti yang bersalah namun kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Si Lela ini merupakan bangsa bunian yang punyai kepentingan sendiri."

"Aku dan Sang Jentayu tahu tentang segala masalah yang telah dilakukannya kepada pemuda-pemudi yang menjejakkan kaki ke hutan itu namun kami rahsiakan daripada pengetahuan ratu mereka. Tidak mahu bertelingkah katanya namun mungkin perkara ini akan aku khabarkan kepada Sang Jentayu agar Si Lela itu dihukum atas kesalahannya."

"Apa yang berlaku kepada pemuda-pemudi itu?" Ingin tahu yang mendalam menghantui jiwa Dahlia.

"Mereka hilang disembunyikan bunian." Balas Merpatika pendek. Dahlia pula terkedu dan terlopong.

'Maknanya Arjuna hampir sahaja disembunyikan bunian lah sebentar tadi?' Senandikanya berbicara baru menyedari hakikat tersirat.

Matanya tidak berkedip memandang Sang Merpatika. Mulutnya terlopong kecil terkesima dengan apa yang baru didengarinya itu. Mungkin sebelum ini pernah juga dia dengar tentang itu namun itu semua hanyalah khabar angin tanpa bukti sahih. Tidak sangka ianya benar-benar berlaku di hadapan mata.

Sejak tiba ke sini, banyak benar perkara ajaib berlaku di hadapan matanya. Iyalah, kehadirannya ke sini sahaja sudah berteraskan keajaiban dunia, apatah lagi urusan-urusan lain.

"Dahlia. Cukup sampai sini sahaja latihan kita pada hari ini. Aku tahu angin kau sedang tidak baik. Lampiaskanlah marah kau pada aku sepuasnya namun ingin juga aku lontarkan maaf atas silapku sebentar tadi dan pertelingkahan kita hari ini. Kebanyakannya berpunca dariku." Tiba-tiba Merpatika kembali membuka bicara memecah sunyi.

Dahlia hanya diam. Dia masih duduk berteleku di atas sebuah batu di tepi tasik itu. Matanya kuyu memandang rerumput kecil yang menari-nari digoncang bayu. Bicara Merpatika dibiarkan berlalu begitu sahaja. Hati masih terkesan dengan tindakan burung gergasi itu sebentar tadi. Parut luka masih terasa pedihnya, belum mampu dia menerima permintaan maaf itu.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now