Kisah - 22

1.2K 169 35
                                    

Kebanyakan tentera Perkasa mula rebah. Semuanya menantikan pertarungan sengit antara Delima dan Perkasa. Sukar benar mahu menumpaskan pemuda yang seorang itu.

Delima menyerang dahulu dari arah kanannya menghunus kerisnya tepat di sisi leher Perkasa. Pemuda itu segera mengelak sambil kaki kanannya cuba menyadung pergerakan Delima. Namun, akibat kedua-duanya mahir dan tangkas, tiada siapa yang berjaya menumpaskan sesiapa.

Pertarungan sengit berlaku terlalu lama sambil ditonton oleh tentera Wantachitra yang lainnya. Ingin menghulurkan bantuan tetapi dihalang Delima. Katanya biarkan dia menghabisi Si Durjana itu dengan adil.

Masing-masing menyerang, mengelak tanpa henti hingga mengah dibuatnya. Akibat sama tangkas dan laju, tiada satu pun serangan yang mengenai. Delima cuba menukar jalan. Mungkin pertarungan yang berlaku dalam jangka masa yang lama itu memenatkannya namun sekurang-kurangnya dia dapat membaca dan memahami gaya pergerakan dan teknik bertarung Perkasa.

Bukan hanya Delima, Perkasa juga turut dapat menghadam pergerakan lincah srikandi itu. Sekiranya kedua-dua sama tangkas dan hebat, yang bakal meraih kemenangan adalah mereka yang lebih cerdik dan licik. Pertarungan kini bertukar daripada bertarung tenaga kepada bertarung menggunakan minda.

Masing-masing perlu mencari cara terbaik bagi memastikan pertarungan ini dapat diakhiri dengan baik. Delima mula membuka langkah. Tangan kanannya mula lincah menyerang dari pelbagai arah tanpa henti. Teknik yang digunakannya sangat merbahaya hingga Perkasa yang kepenatan terlalu asyik berwaspada dengan tangan kanan Delima hingga terlupa akan kewujudan tangan kiri srikandi itu yang telah pun berjaya membenamkan sebilah lagi keris di pinggang Perkasa.

Ternyata Delima punyai dua keris namun yang lagi satu hanya digunakan ketika terdesak bagi mengumpan musuh sahaja. Kini Perkasa berada di ambang kekalahan akibat dadanya tertusuk sebatang anak sumpit dan pinggang kirinya pula terbenam sebilah keris.

Kehilangan terlalu banyak darah menyukarkan pergerakan dan fungsi mindanya. Perkasa mengerang kesakitan namun tiada masa untuk itu semua lagi-lagi apabila dalam pertarungan sebenar. Pihak lawan tidak akan bersimpati walau sedikit.

Tanpa berlengah, segera Delima melayangkan sebuah tendangan penuh bertenaga pada batang leher pemuda itu. Akibat tidak sempat mengelak, tendangan itu tepat mengenai Perkasa hingga membuatkan pemuda itu menapak beberapa langkah ke belakang bagi kekal dalam posisi yang stabil akan tetapi Delima tidak sedikit pun memberi ruang untuk Perkasa bersedia. Tendangan tanpa henti dilepaskan agar Perkasa bertambah huru-hara tidak tentu arah.

Selalunya Delima akan memberi ruang kepada semua musuhnya untuk menginsafi kesilapan mereka dan menyerah kalah sebelum dia menghabisi nyawa mereka. Namun lain pula bagi Perkasa. Amatlah sukar bagi mendapatkan ruang menumpaskan pemuda itu. Maka peluang walau sesaat tidak diberikan, tangan kanan Delima yang sedari tadi asyik memusingkan kerisnya kini mengenggam erat senjatanya itu lalu segera dihayunkan ke arah Perkasa bagi menghabisi nyawa pemuda itu.

Bilah keris yang sepatutnya menyirat leher Perkasa hanyalah sekadar membelah angin.

Perkasa hilang.

Hilang dalam kepulan asap. Sungguh mustahil untuk Perkasa melakukan sihir lagi akibat dirinya yang sudah hampir longlai dan tidak terdaya ketika itu.

"Ke mana dia menghilang?!" Soal Delima bengang. Hampir-hampir sahaja dirinya bakal menyirat urat leher Si Durjana itu.

"Mencicit-cicit lari bagaikan tikus!" Sahut seorang tentera Wantachitra yang turut sama bengang. Mentang-mentang Perkasa tahu dia akan kalah, segera dia melarikan diri bagaikan orang tiada maruah.

"Tidak. Itu bukan angkara dia. Dapat aku rasakan, sihir itu milik orang lain. Dia sudah tidak terdaya lagi untuk bertarung. Ada pihak lain yang membantunya dalam diam." Delima terdiam seketika cuba mengambil nafasnya kembali.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now