Kisah - 45

830 98 12
                                    

"Apakah perkembangan yang kalian dapati?" Bergema seluruh ruang istana dengan suara garau Raja Sang Kuwadamarti. Dia memandang tepat ke arah Perkasa sambil bibirnya meleret dengan senyuman sinis.

Wan Panji berdiri di sisi beliau manakala Citra kekal membatu di sisi Perkasa sambil bibirnya turut sama koyak dengan senyuman sinis penuh makna.

"Indah." Balas Perkasa sepatah sambil menyeringai menyerlahkan gigi taringnya yang bagai mahu mencengkam orang.

Citra tergelak kecil bangga dengan buah fikirannya yang begitu mantap sekali dari pandangan diri sendiri. Sungguh setelah mereka tiba di Sulantara menggunakan ilmu hitam Citra, terpana Raja Sang dibuatnya akibat kagum dengan kebolehan gadis itu.

Segera dijemputnya bertandang ke istana menceritakan segala hal. Sungguh dia diberi penghormatan penuh selepas berjaya menyelamatkan Perkasa selaku orang kuat Raja Sang. Dengan itu Citra kini tidak lagi dilayan sebagai pendatang asing malah pangkatnya turut sama dinaikkan seolah-olah dia sudah berada di bawah pimpinan pemimpin Sulantara itu.

"Hebat. Hebat." Raja Sang tergelak besar sambil bunyi tepukan tangannya gemuruh menggegar angkasa. Beliau mengerling memandang Citra penuh bangga. Sungguh tidak sia-sia gadis itu berada di situ.

Citra tersenyum simpul sambil tangannya menolak rambut ke belakang telinga. Sungguh segala pakaian litupnya hanyalah dusta belaka bagi membutakan hati para jejaka idaman. Kini dirinya berpakaian sama seperti penduduk Sulantara yang tidak memeluk islam.

Perkasa dan Wan Panji turut sama tersenyum bahagia. Rancangan tiga hari tiga malam mereka membuahkan hasil yang bernas. Sungguh semua ini tidak akan berlaku tanpa kehadiran Citra. Dialah yang mencadangkan untuk melakukan serangan kecil-kecilan dari beberapa kawasan lemah Wantachitra.

Wan Panji yang licik dan kaya dengan idea hanya menambah mana yang perlu bagi menyempurnakan misi. Citra benar-benar berusaha sehabis baik untuk melunaskan impian Sulantara itu kerana janji Raja Sang adalah untuk memberikan Arjuna kepadanya sekiranya Wantachitra berjaya ditawan.

Kedua insan itu berusaha bagi merambat cinta hati masing-masing. Sekiranya Wantachitra jatuh ke tangan Sulantara, Puteri Seri Dahlia tidak lagi mampu menolak lamarannya. Gadis itu akan dia genggam sehabis baik tidak akan dilepaskan supaya perkara itu akan memberi kebaikan kepada Citra yang berhajat memisahkan dua jiwa itu.

Sanggup Citra meninggalkan makan minumnya demi menghasilkan sebuah rancangan yang cukup bernas bagi menyerang dengan cara yang paling licik. Sungguh serangan mereka sering kali berjaya ditewaskan pihak musuh, namun itulah rancangan sebenar mereka.

Tujuan utama mereka bukan serangan. Itu semua hanyalah bagi menarik perhatian mengaburkan pandangan mereka yang cerdik dari melihat tujuan sebenar Sulantara.

Sungguh berada dalam pengetahuan mereka bahawa mustahil panglima terkuat Wantachitra tidak mampu menghadam kesemua serangan ini. Biarpun kecil dan tidak menarik perhatian rakyat hingga mampu perkara itu dirahsiakan dari pengetahuan rakyat Wantachitra, pasti orang cerdik dan geliga otaknya dapat menghadam situasi dengan pantas.

Namun saat mereka sudah dapat meneka tujuan sebenar Sulantara, saat itu sudah terlambat dan tidak lagi mampu berundur memutar masa membetulkan kembali keadaan.

"Tahniah hai sang Jelita, sungguh indah rupa, indah juga rancangan hasil buah fikiranmu." Raja Sang mengerling memandang Citra. Seluruh tubuh gadis itu ditenungnya perlahan menahan nafsu yang bergelora di jiwa.

Sungguh ikutkan hati pasti gadis itu sudah lama menjadi gundiknya namun Citra berkeras tidak mahu atau akan dia hancurkan rancangan mereka sekiranya ada yang tidak mahu mengikut peraturan yang telah ditetapkannya. Dia mungkin berpakaian tidak lagi bertutup litup namun dia juga tidak mahu dirinya disentuh sembarangan orang.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now