Kisah - 23

1.1K 181 37
                                    

"Jikalau kau berjaya mengikuti aku dalam latihan kau yang pertama ini, akan aku ceritakan tentang asal usul nama tempat ini." Ujar Merpatika seraya mengibarkan sayapnya luas ke udara.

Merpatika segera menjatuhkan dirinya ke bawah untuk dia terbang dan meluncur laju ke destinasi sambil berharap Dahlia mampu mengikuti langkahnya.

Tiba-tiba badannya terasa berat.

"Cis! Kau main tipu!" Jerit Sang Merpatika apabila Dahlia tiba-tiba menunggangnya tanpa izin. Seumur hidupnya tiadalah pernah dia menjadi tunggangan seseorang.

"Apa pula main tipu? Kau yang suruh aku menggunakan apa jua cara sekalipun. Inilah cara aku. Lebih baik menggunakan minda yang sihat berbanding membazirkan tenaga mengejar kau dari tanah." Mahu sahaja Dahlia menyebut slogan don't work hard, but work smart namun manalah si apam ini tahu bahasa inggeris.

Nada suaranya ditinggikan memandangkan suara sukar didengari apabila Sang Merpatika meluncur laju di udara. Hanya bunyi bingit angin yang memekakkan telinga.

Merpatika hanya mendengus kecil. Ada benarnya juga kata gadis itu. Mahu bertikam lidah lagi nanti bazir masa sahaja, maka perjalanan tetap diteruskan menuju ke sebuah gunung berdekatan.

_______________________•••____________________

Sang Merpatika mendarat di kawasan tanah rata dengan sempurna. Kakinya menyentuh rumput hijau.

Namun berbanding haiwan tunggangan lain, Sang Merpatika langsung tidak merendahkan tubuhnya ke bawah bagi memudahkan Dahlia untuk turun sebaliknya apam gergasi itu berdiri tegak menyebabkan Dahlia terjelopok ke belakang jatuh menyembah bumi.

'Dasar apam tidak berguna!' Dengus hati kecil Dahlia. Dia bangun sambil mengibas pakaiannya. Seluarnya juga turut dikibas akibat dicemari rumput-rumput kecil yang melekat padanya.

"Lain kali, jangan kau berani menunggang aku sesuka hatimu tanpa izin. Aku Sang Merpatika, burung gergasi. Bukannya haiwan tunggangan untuk sesiapa. Jika kau mahu menunggang  sesuatu, pergi cari kuda atau Sang Jentayu." Kata Merpatika sambil memandang Dahlia penuh tajam. Benar-benar bengang burung itu dibuatnya akibat Dahlialah orang pertama yang menjadikannya sebagai haiwan tunggangan.

Sekiranya Jentayu gemar menawarkan diri bagi menjadi haiwan tunggangan, lain pula kesnya bagi Merpatika. Maruahnya ibarat tercalar sekiranya dia dijadikan sebagai haiwan tunggangan. Atas sebab itulah, bengang benar dia apabila Dahlia sesuka hati menunggangnya tanpa izin.

"Baiklah, apam putih." Sahut Dahlia selamba menggelar Merpatika sebagai apam.

"Apa?! Kau gelar aku apam?!!" Jerit Merpatika geram.

"Kenapa? Comel apa nama aku beri. Kau ini asyik-asyik tidak bersetuju dengan apa sahaja yang aku lakukan. Kau memang suka mencari fasal ya?" Balas Dahlia pula. Malas sudah mahu melayan karenah Merpatika yang sering membencinya tanpa sebab.

"Hei, jangan kau selamba jadikan aku sebagai haiwan peliharaan engkau. Nama aku Sang Merpatika, bukan apam!"

"Tambahan lagi, kau seharusnya bersyukur aku tidak menjatuhkan kau di udara tadi akibat belas ihsan ku. Selepas ini jika kau mengulangi hal ini lagi, tiada belas ihsan lagi. Akan aku jatuhkan kau di udara sesuka hatiku." Benar-benar tidak mesra Sang Merpatika ini. Benar kata Jentayu, merpati ini memang garang seperti harimau!

Dahlia hanya membuat muka tidak kisah dan berjalan melintasi Sang Merpatika. Api amarah dalam hati yang tadinya membara akibat bertelingkah dengan merpati putih itu kini terpadam saat matanya menangkap keindahan hutan indah di hadapannya.

Dahlia dan Merpatika berdiri di sebuah bulatan hutan berlantaikam rumput hijau muda. Hanya kawasan itu disinari cahaya matahari sepenuhnya kerana ketiadaan tumbuhan besar yang menghalang sinaran Sang Mentari.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now