Kisah - 68

240 31 0
                                    

  Iskandar mengelap peluhnya yang membanjiri seluruh tubuh. Dia sudah puas berlari sepanjang tadi menguruskan semua penduduk yang tiba-tiba jatuh sakit secara serentak. Mujur ada seorang tabib yang tinggal di kampung tersebut. Tabib itu juga sudah tidak kelihatan kelibatnya akibat sedang sibuk merawat kesemua penduduk yang bagai sudah nyawa-nyawa ikan itu.

  Surat kepada Sultan Muadzam Shah telah Iskandar utuskan melalui seorang hulubalang istana, memohon bantuan mendapatkan lebih ramai tabib lagi. Keadaan di Kampung Empat Puncak semakin tidak terkawal. Tanggungjawabnya yang juga menjaga keamanan Wantachhitra dilaksanakan sehabis baik menguruskan setiap insan.

  Namun kini lariannya bersebab. Bukan untuk tujuan lain namun hanya untuk mencari kelibat seorang kanak-kanak. Seorang demi seorang budak-budak kecil yang dibaringkan di atas tikar di kawasan lapang surau diperhatikan Iskandar. Matanya melilau mencari kelibat Ratna.

  Jantungnya bagai mahu gugur tatkala pandangannya jatuh pada sekujur tubuh Ratna yang sedang berbaring dan diselimutkan di atas tikar tersebut. Segera Iskandar bergegas ke arah berkenaan. Dahi Ratna yang panas disentuhnya.

  Gadis kecil itu tidak sedarkan diri. Seluruh tubuhnya banjir dengan peluh. Nafasnya seolah tersekat- sekat. Dirinya dalam keadaan lemah tidak terdaya. Remuk hati Iskandar melihat Ratna dalam keadaan sebegini rupa.

  "Eh, kau! Jangan mendekat!" Seorang pemuda bertempik keras ke arah Iskandar. Wajahnya dilitupi sebidang kain kecil hingga hanya menampakkan mata dan dahinya sahaja.

   "Tutup wajah kau dengan kain jika mahu mendekat dengan pesakit." Pemuda itu berpesan tegas. Di belakangnya pula muncul tabib yang bertugas merawat hampir sebilangan besar pesakit di situ. Tabib tua itu dalam lingkungan umur 60-an berjalan melepasi pemuda tadi menuju ke arah Iskandar.

  "Ada hal ingin aku bicarakan pada kau." Ujar Tok Aziz, tabib tua itu perlahan dengan suaranya yang serak-serak basah itu. Di sisinya berdiri seorang lelaki tua dalam lingkungan umur 50-an. Kedua-duanya berpakaian baju melayu dan kelihatan sedikit lelah. Mungkin penat menguruskan segala hal penduduk sedari tadi.
_______________________•••____________________

  "Mundur kembali semua tabib dan bantuan yang telah kau pohon daripada sultan. Hanya yang benar-benar berani mati sahaja akan dibenarkan datang ke mari." Bicara Tok Aziz itu menyebabkan Iskandar tersentak. Dahinya berkerut. Jelas Tok Aziz tahu akan gerangan jawatan yang disandang Iskandar.

  "Kenapa?" Iskandar tidak mengerti. Semua penduduk memerlukan bantuan. Mengapa perlu menarik semula segala bantuan yang bakal diterima?

  "Ini bukan sebarang penyakit. Setakat ini aku masih belum pasti betapa cepatnya kuman ini merebak namun apa yang dapat aku simpulkan adalah penyakit ini mampu membawa maut sekiranya tidak dirawat sebaiknya. Bahaya untuk orang luar masuk dan mendekat dengan pesakit. Risau penyebaran penyakit berlaku dengan lebih meluas lagi." Jelas Tok Aziz lagi.

  Lelaki tua dalam lingkungan 50-an yang turut serta dalam perbincangan itu sekadar mengangguk memahami. Dia merupakan penghulu Kampung Empat Puncak dengan nama gelarannya, Tok Penghulu.

  "Pintu masuk akan aku tutup buat sementara waktu. Yang  di luar tidak akan dibenarkan masuk dan yang di dalam tiada dibenar untuk keluar. Risau akan nyawa penduduk luar kawasan ini." Ujar Tok Penghulu pula. Janggut tebalnya diusap-usap perlahan. Wajahnya jelas mengukir gundah gulana yang mendalam.

  Iskandar terkedu tanpa bicara. "Apakah... Apakah tiada penawarnya?" Soal Iskandar. Jantungnya berdegup pantas. Dadanya bagai mahu meletus. Hanya satu jawapan yang dinantikannya daripada Tok Aziz.

  "Allah yang menyembuhkan. Setakat ini akan aku ikhtiar sekadar termampu." Bicara Tok Aziz menenggelamkan Iskandar dalam gundah gulana yang tiada penghujungnya. Satu keluhan berat dilepaskan. Seandainya penyakit ini agak merbahaya, apakah nasib Ratna? Sudahlah dia masih kecil. Sudah tentu tubuhnya belum cukup kuat untuk menahan sakit sebegitu rupa. Oh Tuhan.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now