Kisah - 13

1.4K 220 46
                                    

  Dahlia mengerang kesakitan. Keris yang terpacak di bahu kirinya dicabut perlahan oleh Mak Enon yang merupakan seorang yang mahir dalam bidang perubatan. Darah memancut keluar segera ditekup dengan kain. Air mata Dahlia mengalir deras di pipi. Nafasnya turun naik. Sungguh dia tidak mampu bersuara menggambarkan kesakitannya.

  Hanya kalimat Allah dan Astaghfirullah yang disebut berulang kali dalam hatinya. Setinggi-tinggi doa dipanjatkan agar Allah membantunya  melalui semua ini.

  "Hairan. Mengapa darah kau terlalu banyak yang keluar? Tusukan keris ini tidaklah begitu besar tetapi memuntahkan darah yang lebih banyak dari yang biasa aku lihat." Mak Enon berfikir sejenak sambil tangannya ligat mengambil kain lain dari wanita di sekeliling yang menjadi pembantu bagi merawat Dahlia.

  "Jamilah, sediakan bara api." Mak Enon mengarahkan Jamilah untuk menyediakan bara api agar luka Dahlia dapat dihentikan  meskipun sakit yang tidak terperi.

  Mata Dahlia terbuntang mendengar arahan Mak Enon. Dia menoleh ke arah wanita tua itu memohon simpati. Sungguh tidak mampu dia melalui rawatan secara kay itu. Kay merupakan rawatan di mana besi panas di ambil dan diletakkan di tempat luka bagi memberhentikan pengaliran darah keluar.

  Dia menggeleng perlahan sambil air matanya gugur di pipi mulusnya. Bibirnya tidak mengungkapkan sebarang kata namun matanya yang terkatup sambil menggeleng kepala menandakan dia tidak sanggup menghadapi rawatan itu.

  Tiba-tiba dia teringat kembali mengapa dia berada di sini dari mula. Apa sebabnya? Jikalau dia tidak masuk ke dalam hutan itu, dia tidak akan sampai ke sini, dia tidak akan melalui segala keperitan ini. Tangan Ratna digenggam erat. Air matanya tetap laju menuruni pipi.

  Seketika kemudian besi telah pun dipanaskan. Perlahan-lahan Mak Enon mengambil besi panas itu dan bersedia meletakkan di bahu Dahlia.

  Dahlia hanya mengatup matanya rapat, redha dengan segalanya. Sungguh dia mohon agar Allah angkat segala kesakitannya itu, tabahkan hatinya diberikan sepenuh kekuatan untuk menghadapi satu ujian berat ini.

  "Bersabarlah Dahlia, sungguh Allah bersama kau." Ujar Mak Enon seraya meletakkan besi panas itu di tempat luka Dahlia sambil bibirnya terkumat-kamit menyebut Ya Shaafii, Ya Shaafii yang  bermaksud Allah Maha Penyembuh.

  Dahlia mengerang kesakitan namun berusaha ditahannya sehabis baik. Jeritannya kedengaran hingga ke luar masjid dan didengari oleh Tok Imam dan yang berada di luar. Arjuna hanya mengetap bibir merasa simpati terhadap Dahlia.

  Bukan sahaja Dahlia, malah air mata Ratna turut gugur mengalir di pipi seolah-olah memahami keperitan gadis itu. Seluruh wanita yang membantu merawat juga menzahirkan rasa simpati yang mendalam.

  Waktu maghrib telah tiba. Arjuna menyerahkan Budi untuk dibantu Tok Imam dan dia akan masuk ke dalam masjid untuk mengumandangkan azan.

  "Allahuakbar Allahuakbar..." Seluruh alam sunyi menghormati panggilan suci Ilahi itu. Tok Imam mengajak Budi masuk ke dalam masjid kerana tidak elok untuk berada di luar ketika maghrib.

  Ratna menggosok lembut dahi Dahlia yang basah dengan peluh menahan sakit. Kepala Dahlia diusap lembut menenangkan gadis yang sudah pengsan selepas penat bertarung dengan perit tidak terkira. Wajahnya sembap dengan kesan air mata yang sudah kering. Meskipun matanya terkatup rapat dan gadis itu sudahpun lena namun matanya masih basah dengan air mata di kelopak matanya.

   Penduduk wanita yang lain bergerak untuk mengambil wuduk dan menunaikan solat maghrib secara berjemaah.

  Hanya Dahlia mereka tinggalkan di dalam ruang solat itu berselimut dan berbantalkan sejadah. Gadis itu akan qada' solatnya kemudian. Biarlah dia berehat dahulu.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now