Kisah - 67

226 32 0
                                    

"Ke mana lagi destinasi kita selepas ini?" Dahlia membuka bicara, menyoal Dewi sambil menyarung sepatu miliknya yang tersusun rapi di dalam sebuah rak kasut kayu perang kekuningan warnanya. Memandangkan solat asar telah mereka tunaikan, mungkin sudah tiba waktunya untuk melangkah kaki meninggalkan kampung ini pula atas urusan yang lebih penting.

"Tengku, izinkan patik iringi Tengku ke suatu tempat sebentar. Gadis kecil itu tiada perlu untuk turut serta bersama. Dia akan kita ambil setelah kita datang ke mari semula." Balas Dewi sambil menunjuk ke arah Ratna yang sedang leka bermain bersama rakan barunya yang hampir sebaya dengan umurnya itu. Pertama kali dalam hidupnya mempunyai teman sebegitu rupa.

Dahlia mula tertanya-tanya akan bicara Dewi sedemikian rupa namun tiada diendahkan semua firasatnya memandangkan cadangan Dewi itu tidaklah memakan masa yang lama. Dahlia sekadar mengangguk, "Baik, tiada masalah."

Dewi mendahului perjalanan. Langkah kakinya tiadalah terlalu laju bagaikan kilat ataupun menunggu pisang berbuah dua kali sebelum tiba ke destinasi. Sekadar bersahaja dan mampu diekori Dahlia. Sehinggalah pada suatu saat, langkahannya dihentikan.

"Sudah tiba." Dewi memalingkan badannya ke belakang menghadap Dahlia. Mereka berdua kini berdiri dengan jarak kira-kira tiga hasta antara satu sama lain. Selain mereka, bertapaknya sebatang pokok
jering muda yang memayungi mereka dari bahang sinaran mentari.

Dahlia kekal membisu. Dirinya sedia menanti apa sahaja yang bakal diluahkan Dewi. Sudah dia tahu gadis itu seolah memendam sesuatu sejak mereka mula tiba ke kampung ini. Sepertinya gadis itu sudah bersedia untuk memuntahkan segala apa yang terbuku di dada.

Namun, Dewi juga kekal mengunci mulutnya. Dahlia berkerut tidak memahami. Sudahlah gadis itu yang bawa mereka ke mari malah tiada penjelasan atas tindakannya itu. Angin sepoi-sepoi meniup kain sampin kedua insan itu.

"Dewi, atas alasan apa kau bawa aku ke mari? Apakah ada sesuatu yang ingin kau uatarakan pada aku?" Dahlia sekadar membahasakan dirinya 'aku' bagi memberi keselesaan pada Dewi melontar bicaranya.

Dewi mengeluh berat. Matanya kuyu memandang lantai bumi sebelum satu kerlipan mata mula mencerlung Dahlia penuh tajam. Dahlia tersentak seketika namun dia kekal tenang menguburkan segala firasat buruk yang seolah-olah bermain di mindanya.

Dalam sekelip mata, Dewi tiba-tiba mula mencabut sarung pedangnya lalu menyerang Dahlia tanpa diketahui alasannya. Dahlia tersentak tanpa bicara namun refleksnya pantas mengelak serangan Dewi seraya tangan kanannya turut sama pantas memisahkan antara pedang miliknya dengan sarungnya.

"Dewi! Apa ini?!" Dahlia separa menjerit, tidak mampu menghadam tindakan Dewi. Apakah Dewi musuh dalam selimut? Kepada siapa? Tengku Puteri Seri Dahlia yang sebenar?

Dewi bagai menelan dalam lidahnya, tiada terpacul walau sepatah kata dari mulutnya. Serangannya terus dihalakan ke arah Dahlia. Pantasnya bagaikan kilat menyambar tidak mampu ditangkap retina mata akan ketangkasannya. Namun Dahlia kekal tenang biarpun seribu kotak persoalan membanjiri mindanya ketika itu.

Segala ilmu yang telah ditumpahkan Merpatika kepadanya digunakan sebaik mungkin. 'Sumpah! Aku bukan lawan kau, Dewi!' Senandika Dahlia melaung kuat bergema di seluruh ruang atmanya. Ketangkasan Dewi jauh tiada bandingan dengan kemahirannya yang bagaikan baru setahun jagung itu. Dewi jauh lebih arif dalam hal ini.

Serangan demi serangan bertubi-tubi menghentam Dahlia. Tiada belas ihsan Dewi paparkan buat gadis itu. Namun apa yang tidak Dewi sedar adalah, Dahlia sebenarnya punyai jalan lain untuk selamatkan dirinya.

Tenangnya Dahlia bersebab. Tewasnya dia berkali-kali bukan hanya kerana kemahiran tumpulnya, malah setiap pergerakan Dewi sedang dibaca dan dihadam gadis itu. Apa yang Dahlia sedar adalah Dewi sengaja menyasarkan serangannya ke bahagian lain.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now