Kisah - 26

1K 155 28
                                    

Sang Merpatika menderu laju di dada langit bagaikan garuda ingin membaham mangsanya. Penerbangannya penuh bertenaga akibat atmanya yang diganggu dengan api amarah sebentar tadi. Kesal mula menyengat tatkala dia menyedari dia tidak sengaja mengherdik Dahlia sebentar tadi.

Bukan niatnya mahu menyalahkan gadis itu namun akibat dirinya yang terlalu risau akan keadaan Dahlia menyebabkan dia tersilap langkah dipandu amarah. Egonya yang tinggi tidak mahu gadis itu tahu betapa risaunya dia menjadi punca lidahnya mengeluarkan kata-kata yang memedihkan hati sang pendengarnya.

Angin perlahan keluar dari parutnya. Dia mengeluh. Kelajuannya dikurangkan tatkala api amarahnya mula terpadam. Saat tenang mula mengintai, atma mula dikuasai penyesalan tidak berkesudahan.

Bukan niatnya mahu menyukarkan dan memaksa gadis itu dengan pelbagai latihan kerahan tenaga sepenuhnya. Sungguh bukan Dahlia yang bersalah tetapi dia. Dialah yang mengharapkan yang bukan-bukan. Ada benarnya juga kata gadis itu, mengapa dia mengharapkan Dahlia boleh menguasai kemahiran ini dalam sekelip mata?

Sang Merpatika berhenti di hadapan sebuah tasik jernih indah, tempat di mana dia dan Dahlia singgah tadi sebelum bergerak ke sungai. Tanpa disedarinya, situlah tempat kegemarannya. Apabila hidup mula menabur pahit di sana sini, ke situlah dia singgah bagi menenangkan jiwanya.

Paruhnya perlahan bergerak memuji Ilahi. Istighfar meniti di bibir cuba memohon maaf atas kesalahan tingkah lakunya dan surah Taha ayat 1-5 dia lafazkan berkali bagi melembutkan jiwa kacaunya itu.

Sungguh surah itulah menjadi saksi bagaimana Allah melembutkan hati Saidina Umar bin Al-Khattab tatkala dia dalam perjalanannya bergerak ingin menghabisi nyawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Biarpun dalam keadaan dipandu amarah, hati kerasnya berjaya dilembutkan oleh Allah apabila terdengar bacaan suci surah Taha ini yang dilantunkan adiknya. Sungguh pemilik segala hati itu Allah dan pemilik segala hidayah itu juga Dia.

Sekelip mata sahaja Dia boleh melembutkan atau memesongkan hati seseorang mengikut kehendak-NYA. Segala puji bagi Allah yang mengatur segalanya.

_______________________•••____________________

Dahlia berada di lereng bukit Pergunungan Tasik Gerhana Berdarah. Ternyata gunung itu punyai jalan turun dan jalan naiknya yang lain. Ada lilitan laluan di sepanjang gunung itu yang membantu Dahlia dapat turun ke bawah.

Bengang diherdik Merpatika sebegitu rupa, dirinya cuba membuktikan bahawa dia mampu menguasai dan melayakkan dirinya mengganti Tuanku Puteri buat sementara waktu.

'Mungkin aku terlalu memandang rendah takhta ini...' Senandika Dahlia perlahan berbicara. Dirinya kini sedikit menyesali tingkah lakunya. Mungkin akibat dia dari masa hadapan di mana takhta dan jawatan serta keturunan raja dianggap sebagai urusan remeh namun pada zaman dahulu golongan ini disanjung tinggi oleh rakyatnya.

Dahlia hanya mengeluh perlahan.

Kesal.

Tangannya memegang batuan di tepi bukit itu berhati-hati dia berjalan menuruni lereng itu dengan cermat. Jalan turunnya tidaklah kecil dan sempit malah besar mampu memuatkan hampir lima orang gagah berjalan dalam satu baris yang sama. Jalannya juga tidak berliku-liku menyebabkan ia mudah untuk bergerak namun keadaan laluan itu terlalu curam hingga mampu mengakibatkan jatuh dan cedera melampau sekiranya tiada waspada.

Bagaikan tikus membaiki labu, Dahlia sesuka hati melakukan sesuatu yang tidak diketahui. Sungguh apakah dia lupa bahawa dia hadir ke sini akibat kesilapan dirinya sendiri yang masuk ke dalam hutan yang tidak dia mahir selok-beloknya?

Tanpa disedari dia melakukan perkara yang sama lagi sekali. Memang tidak belajar dari kesilapan.

Sangkanya dia ingin bergerak menuju ke hutan kaya buah-buahan yang disinggahnya tadi namun tanpa dia tahu, laluan itu membawanya menuju ke arah barat laut pergunungan itu. Dahlia bergerak menuju ke arah Hutan Bunian yang berada di belakang kawasan pergunungan itu.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now