Kisah - 55

470 49 3
                                    

"Hai Arjuna, jauh termenung!" Nara menepuk belakang sahabatnya yang juga merupakan ketuanya itu.

Genap dua hari selepas Arjuna dan Awi kembali pulang ke Tarawangsa, mereka disambut girang oleh Nara dan Megat. Biarpun luarannya nampak bahagia, namun hakikatnya Megat dan Nara sungguh merisaukan akan keadaan kedua sahabat mereka yang dikhabarkan terlibat dalam peperangan dahsyat di pesisiran laut Wantachitra.

Ratna pula sudah Iskandar hantar pulang ke Istana Tarawangsa sendiri memandangkan dia perlu pulang kembali ke Wantachitra menguruskan beberapa hal yang mungkin perlu melibatkan dirinya lebih-lebih lagi atas peristiwa yang masih belum basi dari mulut orang.

Bibir Arjuna koyak dengan seukir senyuman nipis, membalas bicara Nara. Fikirannya masih bertakhtakan tentang segala dosanya yang masih belum pudar dari ingatan. Malah bukan itu sahaja, peristiwa perbualan antara Rum Aspalela dan Jebat juga bermain-main di kotak fikirannya. Sungguh tiada niat untuk dia menjaga tepi kain orang lain namun kini dia tahu apakah hubungan antara kedua insan itu.

Ternyata semuanya berkisar soal hati. Aspalela, selaku ayahandanya Dewi tidak merestui hubungan antara kedua insan itu. Namun atas asbab apa, tidaklah Arjuna tahu memandangkan saat itu Aspalela dan Jebat berbicara secara rahsia.

"Oh iya, Arjuna. Lupa hendak khabarkan pada kau. Kelmarin kami terserempak dengan Tok Ali." Megat tiba-tiba mengubah topiknya saat sedang berbicara dengan Awi.

"Oh benar! Tok Ali kirim salamnya pada kau. Pesannya juga untuk kau datang melawatnya sekiranya kelapangan." Nara menyambung sambil sambung menjamah kuih pulutnya di tangan.

Tok Aliuddin Abdullah. Tok gurunya Arjuna yang melatih pemuda itu hingga berjaya membentuk dirinya yang kaya dengan akhlak dan ilmu hingga kini. Sebelum jatuhnya jawatan sebagai temenggung Tarawangsa itu di bahu Arjuna, Ratu Melawati telah terlebih dahulu menghantar anakandanya itu untuk dididik sepenuhnya oleh Tok Ali sendiri.

Bermula dari ilmu seni tarung hinggalah kepada ilmu tauhid dan feqahnya, semua berada bawah didikan dan tarbiah Tok Ali sendiri. Namun kesibukannya di alam dewasa menghalang kedua insan ini untuk bersua muka kembali.

Arjuna menoleh. Jelas riak wajahnya melukis sedikit bahagia. Sungguh lama sudah tidak mendengar nama itu di cuping telinganya. Bibit penyelesan mencuit hati apabila menyedari dirinya seolah telah melupakan gurunya yang penuh dengan jasa terhadap dirinya itu.

"Waalaikumussalam. Lama sudah tidak aku bersua muka dengannya..." Arjuna mengangkat tanjaknya sebelum menolak rambutnya ke belakang, mengurut perlahan ubun-ubun kepalanya lalu melepaskan sebuah keluhan ringan.

"Pergilah bertemu dengannya. Sepertinya dia menunggu kehadiran kau." Ujar Megat ringkas namun padat. Sungguh biarpun mereka tidaklah berguru dengan tuan guru yang sama, namun kesemuanya mengenali akan insan tua itu setelah diperkenalkan kepada mereka oleh Arjuna.

Arjuna mengangguk perlahan mengiyakan bicara Jebat.

"Seusai solatku, akan aku mulakan perjalanan."
_______________________•••____________________

Arjuna menarik tali kudanya bagi memperlahankan gerakan haiwan tunggangan itu. Derap tapak kaki kuda kedengaran berjalan setapak demi setapak di dalam hutan tebal itu memijak dedaun kering dan lantai hutan yang separa botak dari bentangan rumput.

Arjuna diam memerhati keadaan sekeliling. Sememangnya itulah jalan yang sering dia lalui tiap kali perjalanannya ke kelas Tok Ali. Namun dulu tapak kakinya lah yang menelusuri hutan itu manakala kini dirinya sudah mempunyai kuda yang dijadikan sebagai haiwan tunggangan bagi begerak menuju sebuah destinasi.

Biarpun siang masih muda, namun langit seolah kelam tanpa sinarnya Sang Mentari, menghantui seluruh hutan dengan kegelapan. Hanya beberapa baris cahaya terlihat menyelit di celah-celah ruang antara dedaun pohon.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now