Kisah - 40

917 105 33
                                    

Ratu Melawati melangkah keluar dari kereta kudanya menapak ke tanah rata dalam kawasan Istana Wantachitra. Kelihatan kelibat Sultan Muadzam Shah dan Permaisuri Kuntum sedang berjalan bergerak ke arahnya menjadi penyambut tetamu kehormat mereka petang itu.

Sungguh kehadiran Ratu Melawati ke situ hanyalah disebabkan oleh warkah kiriman kedua pemimpin Wantachitra itu yang menjemputnya ke sana bagi membincangkan tentang Puteri Seri Dahlia yang lebih dikenali sebagai Dahlia.

Mereka kemudiannya bergerak masuk ke istana sambil diiringi hulubalang sehinggalah ketiga-tiga pemimpin itu berada di ruang utama istana. Kesemua dayang dan hulubalang lain dititahkan untuk meninggalkan kawasan itu membiarkan hanya tiga jasad itu yang kekal berada di situ.

"Menurut Tuanku, beta dipanggil ke mari demi membincangkan tentang anakandanya Tuanku, Puteri Seri Dahlia? Atau seperti yang berada dalam pengetahuan kita semua, Dahlia?" Soal Ratu Melawati membuka bicara. Beliau memandang sekilas Permaisuri Kuntum yang berseri wajahnya dihiasi senyuman. Sepertinya khabar gembira yang bakal didengarinya.

Sultan Muadzam Shah mengangguk. "Memandangkan Tuanku sendiri telah banyak membantu gadis yang bakal menjadi pengganti sementara anakanda beta, tiadalah gusar untuk beta berkongsi perkembangan terkini dengan Tuanku." Sultan Wantachitra itu membalas sopan. Bahasa istana antara pembesar dengan pembesar diutarakan penuh beradab.

"Wah apakah ada perkembangan terkini?" Soal Ratu Melawati bernada teruja. Padanlah senyuman manis berseri Permaisuri Kuntum tidak lekang dari wajahnya. Biarpun permaisuri itu sendiri tahu bahawa Dahlia yang dimaksudkan bukanlah anakanda kandungnya, namun sepertinya dia masih berharap dengan harapan palsunya.

Bibir Sultan Muadzam turut koyak dengan senyuman. "Benar. Menurut adipati Wantachitra yang beta titahkan untuk mencari Dahlia, Rum Aspalela, sepertinya gadis itu kini berada di sebuah perkampungan kecil di Wantachitra." Sultan itu menyambung bicaranya.

Ratu Melawati terkedu seketika namun sehabis baik dia menyembunyikan riak wajah terkedunya itu. Lidahnya kelu tanpa bicara mindanya ligat memikirkan tentang perkara yang baru didengarinya.

Apakah benar Dahlia berada di situ? Tidak mungkin sama sekali! Gadis itu kini berada bawah jagaan Sang Jentayu. Apakah Rum Aspalela tersilap pandang atau Sultan dan Permaisuri telah menerima berita palsu? Segala persoalan bermain di benak fikirannya.

"Menurut Aspalela, Dahlia baik-baik sahaja dan kehadirannya di situ tidaklah berada dalam pengetahuan penduduk di sana. Saat dia hampir sahaja mahu menghampiri Tuanku, berlakunya satu kemalangan yang memaksa dirinya campur tangan menyelesaikan masalah yang berlaku ketika itu."

"Setibanya beliau ke tempat yang sama selepas menyelesaikan urusannya, Dahlia sudah pun hilang entah ke mana. Katanya lagi dia ingin meneruskan pencarian namun adalah lebih baik perkembangan ini disampaikan kepada beta terlebih dahulu." Sultan Muadzam menghabisi bicaranya sambil tersenyum manis. Sungguh terpalit bahagia dalam nada suaranya.

Ratu Melawati kekal membisu terkedu mati kata. Dahlia tidak berada di situ! Sungguh mustahil untuk insan sehebat Rum Aspalela yang berkemahiran untuk tersilap pandang puteri kerajaannya sendiri. Bahkan berkali sudah pemuda itu bertemu dengan Tuanku Puteri Seri Dahlia itu, masakan dia tidak mengenali wajah Tuanku nya itu?

Hanya senyuman kelat separa manis mampu dilontarkan Ratu Melawati ketika itu. Kegusarannya ditelan. Sekiranya benar tekaannya, kedua pemimpin Wantachitra itu telah pun ditipu hidup-hidup. Sungguh berani benar Si Aspalela ini mempermainkan orang terhormat sebegini rupa!

"Mengapa Tuanku? Sepertinya hairan terlukis di seluruh wajahmu." Permaisuri Kuntum pula bersuara, menyedari perubahan riak wajah Ratu Melawati.

Segera Ratu Melawati menoleh seraya tertawa kecil. "Tiada apalah Tuanku. Mungkin riak wajah beta mengundang salah faham mu." Sungguh perkara ini akan disiasatnya terlebih dahulu. Tambahan pula, Rum Aspalela merupakan orang kepercayaan utuh Sultan Muadzam dan Permaisuri Kuntum.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now