Kisah - 54

866 54 5
                                    

Bayu perlahan menampar lembut pipi mulus Dahlia yang sedang merehatkan dirinya di dalam gua kecil di atas puncak Tasik Gerhana Berdarah itu. Lenanya Dahlia ketika itu hanya Tuhan yang tahu. Dirinya terlalu letih dan lelah dengan segala perkara yang berlaku pada malam sebelumnya.

Dengan peperangan mengejut yang memusnahkan jutaan nyawa dan segala air mata yang membanjiri wajahnya tika itu akibat takut dan gemuruh. Malah seluruh tubuhnya turut luka dan pedih berbisa, kesan daripada peperangan tersebut. Sungguh terlalu banyak perkara yang berlaku pada malam itu.

Sebaik sahaja Merpatika membawanya pulang ke puncak gunung ini, kedua-duanya terhumban ke tanah menyembah bumi serta-merta akibat keadaan Merpatika yang semakin parah. Mujur Jentayu turut tiba pada waktu yang sama, segera Merpatika dirawatnya memandangkan Dahlia turut sama tidak terdaya setelah dirinya terhumban terus ke tanah.

Kedua mereka masing-masing tidak mampu membantu diri sendiri melainkan kehadiran Jentayu di situ menjadi penyelamat. Luka di sayap Merpatika yang semakin parah dirawatnya dengan baik. Malah segala kelengkapan buat Dahlia juga berada di situ. Gadis itu tidaklah mengalami kecederaan parah namun tetap dirinya harus dirawat.

Malam itu berakhir dengan penuh sunyi sepi akibat keadaan diri masing-masing yang keletihan dan tidak terdaya untuk bangun lagi. Hinggalah ke subuh tadi baru semuanya tersedar semula. Dahlia menyelesaikan amanahnya sebagai seorang muslim sebelum kembali merehatkan diri kerana dia juga belum pulih sepenuhnya. Lelahnya hanya Tuhan yang tahu. Dia masih memerlukan rehat secukupnya bagi merawat sendiri luka yang pedih itu.

Sekujur tubuh Dahlia yang sedang berbaring ditatap Merpatika dengan pandangan redupnya. Bibit penyesalan mencengkam hatinya, merosak jantungnya. Sungguh dia kecewa dan kesal yang teramat sangat pada malam itu sehingga menyebabkan Dahlia harus berhadapan dengan situasi menggerunkan sebegitu.

Lamunan Sang Merpatika terhenti saat Sang Jentayu mula mendarat bersama beberapa buah-buahan bagi mengalas perut mereka dengan sarapan. Namun kehadiran Jentayu tidak disambut Merpatika. Apam putih itu kekal membisu tanpa bicara malah hanya mengerling sedikit memandang Jentayu dan tidak sedikit pun menoleh melihat burung gergasi itu.

"Assalamualaikum." Jentayu membuka bicara memecah sunyi. Suaranya sederhana perlahan memandangkan dia tidak mahu mengejutkan Dahlia yang sedang berehat seketika menghilangkan lelah.

"Waalaikumussalam." Kedengaran dengusan kecil dari Sang Merpatika sebelum salam yang diutarakan Jentayu dibalasnya dengan baik.

Kemudian suasana kekal sunyi seperti sebelumnya. Malah bunyi deruan angin perlahan turut kedengaran menandakan betapa sunyinya suasana ketika itu. Hanya bunyi pepohon renek berlanggar daun sahaja yang kedengaran menghiasi suasana.

Sesekala bulu gebu Merpatika dan Jentayu seolah berkibar-kibar ditiup angin. Keduanya masih kekal membisu mengunci mulut masing-masing. Jentayu pula masih menanti bicara dari Merpatika yang sepertinya punyai sesuatu yang ingin dilontarkannya.

"Bolehkah..."

Jentayu yang baru sahaja berniat ingin memecah sunyi buat kali kedua serta-merta diam mengunci mulut menanti Sang Merpatika menghabiskan bicaranya terlebih dahulu.

"...kita berbicara di kawasan yang diyakini tiada yang mendengar selain Allah?" Merpatika menyambung bicaranya sambil seluruh tubuhnya dihadapkan ke arah Jentayu.

Kini kedua makhluk gergasi itu saling bertukar pandangan di atas puncak gunung bertemankan hembusan dingin pawana yang turut dihiasi sama dengan bunyi deruan air tasik yang mengalir ke bawah menghiasi seluruh kawasan ciptaan Tuhan yang indah terbentang itu.

Jentayu melepaskan sebuah keluhan berat seraya mengangguk. Dirinya juga tiadalah tahu tentang isu yang ingin dibicarakan Merpatika, namun dia tetap menurut sebaiknya. Sekiranya terdapat sebarang masalah, bual bicara adalah kunci penyelesaiannya.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now