Kisah - 4

1.7K 242 8
                                    

"Ikut aku tetapi jangan jalan seiring denganku. Aku tidak mahu timbul sebarang fitnah. Kita bergerak ke Masjid Duyong berhampiran untuk kau menyalin pakaian." Jelas Arjuna mengorak langkah. Sepasang baju kurung dengan kain batik dihulur kepada Dahlia. Dia membeli pakaian tersebut menggunakan wang nya sendiri.

"Masjid Duyong? Apakah nama tempat ini Duyong?" Jika benar sangkaan Dahlia dia masih berada di kampungnya yang sebenar.

"Iya. Kenapa?" Balas Arjuna.

"Oh tidak apa-apa. Sengaja bertanya." Dahlia tidak mahu membuka bicara soal ini. Gusar makin pening dibuatnya nanti.

Selang beberapa ketika, Dahlia keluar dari perkarangan masjid menuju ke Arjuna yang sedang menunggunya. Jelitanya bertambah apabila mengenakan kain batik terletak elok di atas kepalanya. Persis seperti wanita melayu terakhir.

Arjuna mengalihkan pandangan matanya ke arah lain tatkala perasan kelibat Dahlia semakin mendekat.

"Kita akan naik kereta kuda memandangkan kau tidak mahir menunggang kuda bukan?" Tekaan Arjuna tepat. Bagaimana dia tahu, Dahlia pun tidak tahu tetapi didiamkan sahaja kehairanan itu kerana Arjuna seperti kerap tidak memandangnya membuatkan dia menyangka pemuda itu tidak selesa dengannya.

Mereka berjalan menuju ke kereta kuda yang akan ditunggang Arjuna sendiri. Kereta dan kuda itu pula disewa daripada peniaga tempatan. Seketika kemudian langkah Arjuna terhenti kerana dia perasan Dahlia sudah tidak mengekorinya lagi. Dia berpaling ke belakang.

Kelihatan Dahlia sedang tercegat berdiri dia hadapan sebuah warung.

'Iyalah, aku masih belum menjamah makanan. Tadi tidak sempat naik ke rumah nenek sudah sampai ke sini. Jalan pulang pun aku tidak tahu. Wang saku semua di dalam beg lagipun bukannya boleh guna pun wang itu pada zaman ini.' Dahlia bermonolog sendiri. Perut sudah berkeroncong. Tiba-tiba teringat pula nenek di kampung. Sudahlah baru sahaja berjumpa setelah berpisah lama, tiba-tiba harus berpisah lagi sekali tanpa bersedia. Sedih dan pilu mula menyelubungi Dahlia.

"Kau laparkah?" Soalan Arjuna memberhentikan lamunan Dahlia. Dahlia mengangguk perlahan. Rasa bersalah sebenarnya mahu menggunakan duit Arjuna lagi. Sudah banyak wang dihabiskan Arjuna buat dirinya. Tetapi apakan daya, dia tidak mampu berbuat apa-apa melainkan menerima pertolongan tulus ikhlas itu.

Arjuna bergerak masuk ke dalam warung diikuti Dahlia.

"Pencuri! Pencuri! Cari dia sampai dapat!" Suatu jeritan dari dalam kedai kedengaran. Langkah Arjuna dipercepat. Begitu juga dengan Dahlia kerana ingin tahu tentang keadaan di dalam warung.

"Apa berlaku?" Soal Arjuna pantas ingin menghulurkan pertolongan. Dahlia hanya berdiri tegak di belakang pemuda itu.

"Ada pencuri mencuri makanan! Dia sudah melarikan diri keluar warung tadi!" Sahut seorang pemuda menjawab soalan Arjuna.

"Kau tunggu sini." Pesan Arjuna sebelum bergerak pantas ke arah pencuri itu menghilangkan diri diikuti beberapa orang pemuda yang merupakan tuan dan pekerja kedai serta beberapa pelanggan yang turut sama membantu. Hanya tinggal Dahlia keseorangan di dalam warung sunyi itu.

Dahlia terkemam. Terkejut dengan situasi bagaikan kilat yang berlaku sebentar tadi. Perut laparnya menjadi punca mindanya lambat memproses dan lambat bertindak. Tetapi dia tidak menghiraukan situasi sebentar tadi malah terus bergerak ke sebuah meja kosong berhampiran hujung warung berdekatan dengan papan dinding besi warung tersebut.

Baru sahaja Dahlia ingin melabuhkan punggung ke atas bangku warung dia perasan akan seorang gadis kecil sedang menyorok di balik dinding warung. Sepertinya kanak-kanak itu berada dalam ketakutan kerana dia mencangkung sambil menutup muka dengan tangannya.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now