Kisah - 60

394 46 0
                                    

  Majlis Keraian Setiga Serangkai kini menuju senjanya. Ada segelintir rakyat yang sudah pulang dan ada yang masih kekal berbual memeriahkan suasana. Para pembesar mengambil peluang ini untuk saling berkenalan serta mengikat hubungan persahabatan antara satu sama lain.

  Dahlia pula bergerak mendekati rakyat cuba bertegur sapa bagi mewujudkan persefahaman antara dirinya dengan rakyat. Segalanya atas cadangan Dewi yang cuba menaikkan semula reputasi Tengku Puteri Seri Dahlia yang telah jatuh sejak beberapa bulan kehilangannya. Merpatika yang bersetuju menjadi asbab Dahlia turut mengangguk sama.

  Jikalau ikutkan hati, mahu sahaja Dahlia menegur Arjuna. Hati ini banyak perkara mahu diceritakan dan diluah. Setiap satu perkara yang terjadi sejak malam peperangan di pesisir pantai Wantachitra tempoh hari juga ingin dia terangkan satu persatu.
 
  Namun apakan daya, ibarat air besar sampan tidak hanyut, hasrat hatinya dikuburkan sahaja sedalamnya kerana aneh nanti bagi Dewi yang tahu Tengku Puteri tidak pernah mempunyai apa-apa hubungan dengan Temenggung Wantachitra itu.

  "Hai Tengku Puteri, perawan yang jelita, sudah lama tidak patik kedengaran akan khabar berita tentang Tengku. Ke mana hilangnya Tengku beberapa purnama ini?" Sapa seorang lelaki dewasa dalam lingkungan umur 40-an. Janggutnya tebal, misainya jarang-jarang. Kulit wajahnya sawo matang gelap. Pakaiannya hanyalah pakaian seorang rakyat biasa dengan kain pelikat bercorak sulam diikat di bahagian kepala. Senyumannya manis diukir, bertanyakan khabar Tengku Puteri Dahlia. Indah teratip bahasanya menambah perisa dalam bicaranya.

  Dahlia hanya tersenyum meleret namun ikhlas. Sungguh dia sudah bersedia untuk keadaan sebegini. "Ada urusan yang harus Beta selesaikan. Salam kasih Beta ucapkan atas kesudian kau mengambil kisah tentang Beta." Sopan Dahlia membalas. Wajahnya tenang bersahaja seolah-olah dirinya tiada sembunyi sebarang perkara.

"Baiklah jikalau begitu, Tengku. Patik bukan apa, cuma jikalau Tengku punyai masa terluang, singgahlah ke mari, ke kampung patik. Penduduk di sana tentu bagai kacang direbus satu apabila menerima kunjungan daripada Tengku Puteri sendiri." Sambung lelaki itu tadi. Wajahnya menggambar sinar bahagia seolah-olah berharap sungguh permintaannya ditunaikan.

  Dewi kekal berdiri di sisi Dahlia.

  "Benarkah? Di manakah kampung yang sedang dibicarakan ini?" Soal Dahlia pula. Sayu pula hatinya sekiranya permintaan ikhlas pemuda itu tidak ditunaikannya.

  "Kampung Empat Puncak, Tengku. Tidak jauh jaraknya dari sini. Kampung paling hampir dengan pusat pemerintahan Wantachitra." Balas pemuda itu lagi. Hatinya bersorak girang menyedari Dahlia seperti berminat dengan perbualan tersebut.

  Dewi berkerut. Dia mengenali kampung tersebut...dan penduduknya.

  Dahlia menoleh ke arah Dewi. "Sepertinya Beta punyai kekosongan sebelah petang ini bukan? Seandainya begitu, ayuhlah berangkat ke sana bagi memenuhi hasrat insan ini." Ujar Dahlia sambil menghalakan telapak tangannya ke arah pemuda di hadapannya itu.

  Dewi tersenyum kelat. 'Tengku baru sahaja muncul, terus mahu berhubung dengan rakyat?' Senandikanya berbicara perlahan namun segera dia membuka mulut memberi jawapan atas pertanyaan Dahlia.

  "Ampun Tengku, menjunjung perintah, Tengku." Dewi menunduk sedikit tanda hormat dan bersetuju dengan cadangan Dahlia. Namun seluruh atmanya dicengkam rasa aneh atas tingkah laku Tengku Puteri Seri Dahlia itu. Tidak pernah walau sekali sepanjang dia menjadi orang terhampir Tengku, Tengku menoleh ke arahnya ketika ingin membuat sesuatu keputusan.

  Kebiasaannya, cadangan Tengku Puteri jauh lebih baik berbanding dirinya menyebabkan amatlah jarang sekali Dewi melontar pendapatnya sendiri.
  _______________________•••____________________

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now