Kisah - 50

735 91 14
                                    

"MARA! MARA!"

"MEREKA AKAN KITA HAPUSKAN MALAM INI JUGA!" Laung Jebat sambil tangannya dijulang tinggi ke langit mengarahkan untuk orang kapal dari belakang yang memainkan peranan menyediakan isi meriam kini mara ke barisan hadapan pertahanan dan bertukar giliran dengan tentera yang berada di situ.

Masing-masing bergerak dengan pantas tidak mahu memberi ruang kepada musuh untuk menjadi pemegang takhta kemenangan. Bunyi bingit menghiasi suasana yang huru-hara dengan pelbagai bunyi dentuman mengejutkan ramai pihak termasuklah mereka yang berada di daratan dan bukanlah di atas kapal.

Dari belah darat, ramai orang-orang kapal lain yang sudah berpindah tugas turut datang kembali membawa bekalan senjata perang kerana sesungguhnya bahtera besar itu tidaklah berlepas ke tengah-tengah lautan luas itu. Kesemuanya berlaku di pesisiran pantai timur Wantachitra.

Berita tersebar sebegitu mudahnya kepada orang ramai hingga pihak masjid berdekatan yang mempunyai beberapa jemaah yang masih bertafakkur selepas isyak turut sama membantu. Masing-masing segera bergerak ke pesisiran pantai timur.

Malah kedengaran laungan azan kuat berkumandang ke seluruh alam memberi semangat kepada barisan pertahanan laut bahawasanya Allah bersama mereka. Laungan azan selepas isyak menimbulkan tanda tanya ramai pihak.

Ramai pemuda yang turut melangkah keluar cuba menghapuskan kehairanan masing-masing hingga kejadian ini ditonton oleh mata kepala mereka sendiri. Segera mereka berlari datang menghulurkan tangan dalam menyediakan kelengkapan perang.

Malah kapal-kapal sederhana besar Wantachitra yang lain turut membentuk sebuah formasi saat-saat terakhir bagi mengepung pihak musuh. Biarpun ketua mereka adalah Laksamana Khoja dan Jebat di mana laksamana sendiri sudah hilang menguruskan hal yang penting manakala Jebat pula hanya memainkan peranan di kapal paling besar di situ, kapal-kapal lain turut punyai seorang ketua kapal terlatih yang mampu membentuk sebuah pasukan hebat bagi menewaskan musuh.

Jumantara gelap ditelan malam berserta bentangan permaidani tanpa tanah yang menjadi tapaknya kapal-kapal besar berpijak kini menjadi gegar-gempita bagai dilimpah jutaan mentol merah menyala yang menerangi seluruh kawasan laut itu.

Malam yang sepatutnya menjadi waktu rehat buat hamba-NYA kini kucar-kacir dengan peperangan. Namun, sedikitpun barisan tentera ini tidak berganjak dari mempertahankan kerajaan sendiri.

Berdasarkan pandangan Jebat sendiri, kehadiran kapal musuh yang cuba membuat onar kali ini bagai menempah maut buat diri sendiri kerana sungguh, bentuk formasi dan serangan pihak musuh bagaikan hasil buah fikiran seorang kanak-kanak kecil. Langsung tidak boleh diguna pakai.

Perkara itulah yang menjadi tanda tanya buat Jebat. Apakah tujuan sebenar pihak musuh menyerang dalam keadaan mereka dengan mudahnya akan ditewaskan? Mustahil seseorang insan itu mahu menggali lubang kubur sendiri melainkan ada muslihat lain yang tersembunyi...
_______________________•••____________________

Merpatika tercungap-cungap di dada langit. Sayapnya yang sedikit terkoyak tadi semakin parah lukanya akibat dikibas tanpa henti demi mencari Dahlia yang masih tidak dijumpai.

"Allah... Allah..." Tiada kata mampu diutarakan selain kalimah ismu Allah sendiri yang menjadi pembasah bibir dalam cungapan nafasnya mencari Dahlia. Sungguh hatinya benar-benar berdoa agar kelibat Dahlia dapat ditangkap dengan matanya sendiri.

Tiadalah daya dan upaya untuk Sang Merpatika bergerak mencari Dahlia sendiri tanpa Allah mengurniakan jalan dan petunjuk-NYA. Bulu putih burung merpati gergasi itu kini comot dengan tompokan hitam kesan daripada hentaman bom yang dilepaskan musuh.

Darahnya Sang Merpatika menitik jatuh ke bentangan lautan luas merubah warna air laut menjadi merah sedikit demi sedikit namun tiada yang menyedari hakikat itu kerana masing-masing lebih tertumpu untuk mempertahankan seluruh isi kapal.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now