Kisah - 56

438 49 9
                                    

"Sabar... Dengar dahulu." Tok Ali menahan bicara Arjuna.

"Kehadiran wanita itu menyebabkan peperangan berlaku dalam diri kau. Kerana apa?"

"Kerana nafsu kau menyukai itu namun iman kau menolak itu." Perlahan, ringkas namun padat suaranya Tok Ali agar bicaranya lebih mudah dihadam Arjuna.

"Mari sini aku beri kau misal."

"Pada orang biasa tanpa iman menebal dalam hati mereka, dengan mudahnya akan mereka mendekati seseorang wanita itu kerana semua manusia punyai nafsu."

"Namun, pada orang yang punyai keimanan teguh, iman dan nafsunya akan saling bertengkar untuk menggapai kemenangan. Peperangan itulah yang kita gelar sebagai lautan kekeliruan."

Arjuna terkesima seketika namun mulutnya kekal dikunci bagi memberi ruang Tok Ali melanjutkan bicaranya.

"Arjuna, kehadiran wanita dalam hidup seseorang insan itu hanya membuktikan dua perkara sahaja. Sebagai tetamu ataupun tulang rusuk. Sebagai ujian ataupun ada sesuatu yang dicoret takdir buat kalian." Ujar Tok Ali lagi. Perlahan-lahan disematnya segala ilmu dalam diri pemuda itu.

Arjuna kekal diam. Jantungnya berbolak-balik. Segala perkara bermain di benaknya. Bicara Tok Ali itu difahaminya namun sukar diterima.

"Arjuna." Tok Ali memanggil perlahan melihatkan anak muridnya itu semakin jauh tenggelam dalam empayar lamunan sendiri.

Sesekala angin sepoi-sepoi menyapa lembut pipi kedua insan yang sedang bertukar bicara itu.

"Mungkin selama ini, tugas kau adalah membina sebuah kerajaan yang aman. Namun kali ini tugas kau adalah untuk membina masjid pula..." Tok Ali tersenyum manis. Dia tahu butir bicaranya sudah tentu sukar dihadam pemuda itu namun perkara ini perlu tiba ke pengetahuannya juga suatu masa nanti.

Arjuna terkebil seraya menelan air liurnya. "Astaghfirullahalazim Tok. Hamba masih belum sempurna orangnya. Sampai ke situ pula Tok ini." Arjuna menyapu seluruh wajahnya cuba menenangkan diri.

"Ya Allah. Aku tidak bercanda!" Tok Ali tersenyum. Geli hati namun ketawanya hanyalah senyuman bagi mengelakkan ketawa berlebihan.

"Hamba rasakan kehadirannya hanyalah sebagai tetamu. Mustahil untuk kami..." Arjuna mengatup rapat matanya seraya menunduk ke bawah cuba menyembunyikan matanya yang memerah.

Suasana kekal sunyi. Sepertinya Tok Ali sendiri dapat mengagak sesuatu yang tidak kena dengan pemuda itu. "Ada perkara yang menjadi benteng ya?" Soal Tok Ali perlahan namun menusuk ke hati.

Arjuna kekal menunduk namun tersenyum manis cuba mengubah emosi. Kelihatan setitis air ibarat air embun jatuh dari kelopak matanya ke lantai kayu rumah pondok itu.

Pemuda itu segera menggeleng seraya ketawa kecil, "tidak usahlah kita berbicara soal wanita lagi. Hamba terasa hina di sisi-NYA." Segera Arjuna mengubah topik.

Tok Ali hanya mengeluh perlahan. Sukar sungguh Arjuna seorang ini.

"Belakangan ini Tok, entah mengapa hamba rasakan, seolah diri ini semakin jauh dari- NYA..."

"Tidak seperti dulu, hamba semakin sukar menangis saat sedang berbicara dengan-NYA. Jujur hamba katakan, cemburu melihat orang lain berupaya meluahkan kasih sayang mereka dengan Ilahi melalui tangisan air mata."

"Namun bagaimana pula dengan hamba?"

"Apakah hamba tidak punyai sebarang rasa kasih buat-NYA?"

Tok Ali terdiam sejenak, memikirkan cara terbaik bagi menjelaskan soal itu kepada Arjuna.

"Pertama sekali, harus kau ingat bahawasanya setiap orang punyai cara tersendiri dalam meluahkan rasa kasih masing-masing."

"Tidak perlu pandang jauh, lihat sahaja bagaimana hati kau memberi reaksi terhadap perasaan kau tika ini. Kau sendiri terasa hina dan bersalah akibat gagal mengalirkan air mata buat-NYA sudah cukup menjadi bukti bahawasanya jiwa kau terganggu saat diri terasa jauh dari Allah."

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now