Kisah - 19

1.3K 179 39
                                    

  Tali kuda ditarik Rum Aspalela mengarahkan haiwan penunggang itu untuk berhenti. Dia dan rombongannya kini berada di hadapan kawasan istana. Rum Aspalela turun dari tunggangannya diikuti yang lain.

  "Ikuti langkahku dan sokong sepenuhnya apa jua bicaraku nanti. Mengerti?" Soalnya kepada semua pembesar itu. Mereka mengangguk memahami. Bagaikan lembu dicucuk hidung, segala perintah Rum Aspalela diikuti tanpa bantahan akibat dibutakan dengan wang dan harta milik adipati besar itu.

  Rombongan tiba di perkarangan istana. Pengawal yang mengawal di kawasan luar istana hanya membiarkan rombongan Aspalela masuk tanpa diteliti dahulu. Pengawal itu juga merupakan orang yang disodok dengan duit Aspalela. Atas sebab itulah, adipati itu masuk ke perkarangan istana orang lain bagaikan dialah tuan rumah.

  Ketibaan mereka disambut Permaisuri Kuntum walaupun mereka datang mengejut tanpa dipanggil mengadap.

  "Ampun Tuanku, jutaan keampunan patik pohon akibat datang tanpa berita." Rum Aspalela melangkah masuk penuh cermat dan hormat. Walaupun dia berniat menjatuhkan pemimpin Wantachitra itu, namun rahsianya tidak boleh terbongkar. Sultan dan Permaisuri harus tetap mempercayainya agar mudah segala kerja. Dalam erti kata lain, Rum Aspalela merupakan adipati talam dua muka yang mengkhianati pemimpin sendiri.

  "Tidak mengapa. Ada hal mustahak kah sehingga kalian berjemaah bertandang ke sini?" Langkah kaki dibuka. Permaisuri Kuntum mendahului mereka menuju ke Balai Rong Seri istana, tempat perbincangan antara Sultan dan para pembesar.

  "Jemput duduk." Ringkas Permaisuri Kuntum mengajak.

  Permaisuri Kuntum bersemayam di atas singgahsana sedikit tinggi berbanding pembesar lain yang melabuhkan punggung di atas sebuah alas tebal seperti bantal leper. Masing2 duduk di sisi istana memanjang ke arah pintu masuk.

  "Mulakanlah bicaramu, Tuan Rum." Hormat Permaisuri Kuntum menggelar adipati itu.

  "Ampun Tuanku. Kedatangan patik ke sini hanyalah mahu membicarakan tentang Keraian Setiga Serangkai. Baru-baru ini khuatir patik suarakan bahawa tidak terlihat langsung patik akan kelibat Tengku Puteri Seri Dahlia. Malahan sejak tahun lepas lagi Tengku tidak menghadiri majlis keraian ini sehingga membawa malu kepada seluruh kerajaan."

  "Jikalau tidak keberatan, amatlah berbesar hati untuk patik mengingatkan Tuanku soal ini. Tambahan pula, kita merupakan tuan rumah tahun ini, masakan Tengku Puteri Seri Dahlia tidak mahu turut serta sekali lagi?" Ujar Rum Aspalela.

  Permaisuri Kuntum mendengus kecil sejenak. "Anakanda beta tidak berminat dengan majlis sebegitu. Beta sedar bahawa kita merupakan tuan rumah tahun ini. Tetapi..." Kata-katanya terhenti di situ. Hilang akal mahu memberi alasan apa kerana sesungguhnya Puteri Seri Dahlia tidak hadir pada tahun lepas adalah akibat baginda gering manakala tahun ini baginda hilang entah kemana.

  Seluruh balai sunyi menanti jawapan daripada Permaisuri Kuntum. Semua mata tertumpu padanya.

  "Ampun Tuanku. Patik hanya pacal yang hina akan tetapi ingin patik suarakan pendapat patik bahawa ini merupakan peluang terbaik untuk Kerajaan Wantachitra berbaik sedikit dengan Kerajaan Sulantara akibat permusuhan yang berlaku tempoh hari. Biarpun kita bermusuhan, Tuanku Raja Sang Kuwadamarti sendiri telah memberi kata putus bahawa baginda akan hadir ke majlis ini atas dasar tradisi."

  "Maka, mengapa tidak kita gunakan peluang ini dengan sebaik mungkin bagi membaik pulih hubungan antara Wantachitra dan Sulantara? Amatlah berbesar hati patik sekiranya Tengku Puteri Seri Dahlia dapat turut serta dalam majlis yang bakal diadakan dua minggu dari sekarang ini. Segala persiapan akan patik uruskan bagi memastikan ianya berjalan lancar. Tuanku tidak perlu risau." Jelas Rum Aspalela lagi dengan panjang lebar.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now