Kisah - 46

607 77 12
                                    

Dahlia dan Merpatika menghantar Jentayu pergi dengan pandangan. Benar-benar tergesa burung gergasi itu hingga tidak menanti walau sesaat untuk dia kekal berada di situ. Kini hanya kedua insan itu yang berdiri di tengah kawasan lapang puncak gunung itu.

"Aku akan bergerak dengan sangat pantas. Kau sedia?" Soal Sang Merpatika memberi amaran terlebih dahulu. Bagai menyedut aura Jentayu, merpati putih itu juga sudah mula mengubah watak menjadi serius. Sepanjang dia bersahabat dengan Jentayu, tiadalah pernah walau sekali dia melihat Jentayu sebegitu tegas dan serius dalam bicaranya.

Sekiranya benar-benar terdapat hal mustahak ketika ini, dialah yang akan menggantikan tempat Jentayu untuk menjaga Dahlia sehabis baik. Amanahnya tidak akan dia lempar dan buang begitu sahaja.

Merpatika memandang tepat kepada Dahlia yang sedang berdiri di tebing puncak gunung. Udara malam itu adalah lebih berangin kencang berbanding biasa. Bahaya sekiranya mereka bergerak pantas tanpa hati-hati disemat dalam setiap pergerakan.

Dahlia segera mengangguk pantas penuh bersemangat. Dada berombak penuh kobaran memandangkan ini merupakan misi utamanya yang cukup mustahak. Mungkin dirinya masih belum memahami sepenuhnya tentang situasi sebenar, namun berdasarkan isi kandungan surat yang ditulisnya tadi, sepertinya gagal bukanlah suatu pilihan buat dirinya.

Warkah dilipat lalu disispkan kemas di pinggangnya. Amanat itu akan dia sampaikan kepada pemuda yang dimaksudkan. Tanpa berlengah, Dahlia segera mengambil tempat duduk di atas Sang Merpatika sambil kedua tangannya mengenggam erat bulu gebu sahabatnya itu.

Kedua insan itu segera bergerak dalam kegelapan malam yang meliputi seluruh alam sambil bertemankan cahaya mentol langit memberi sedikit pancaran cahaya sebagai penunjuk jalan bagi kedua insan itu.

Tiada henti hati dan jiwa masing-masing malantunkan zikir memuji Ilahi seraya memohon pertolongan-NYA agar dipermudah segala urusan mereka.

Tamparan angin hebat dari timur laut menolak Sang Merpatika menyukarkan pergerakannya menuju ke pesisir pantai timur. Seluruh tenaga dikerah merpati gergasi itu untuk kekal maju ke hadapan biarpun dirinya seringkali tertolak ke arah tenggara.

Sungguh berat ujian buat kedua insan itu dalam melangsaikan amanah mereka yang satu ini. Dahlia sendiri hanya mampu berpaut sekuatnya pada Merpatika memandangkan apam putih itu tiada ruang langsung untuk memberi perhatian terhadap dirinya akibat segala tumpuan tertumpu pada pegerakannya di dada langit.

Mata Dahlia dikecilkan bagi menudahkan dirinya melihat dengan jelas. Sungguh angin kuat yang hadir di malam hari itu benar-benar membutakan pandangan mata. Sukar untuk dirinya memberi sebarang bentuk bantuan kepada Merpatika.

Namun merpati putih itu tidaklah berputus asa. Nafasnya diambil sedalam yang mungkin ingin membekalkan seluruh tenaga buat penerbangannya. Sayapnya dilibas kuat ke udara bertarung tenaga dengan Sang Angin yang menyukarkan pergerakan.

Biarpun angin kencang itu melambatkan pergerakan mereka, kepantasan dan kekuatan Merpatika berusaha untuk tiba ke destinasi secepat yang mungkin membuahkan hasil. Agak mustahil untuk mereka berdua yang dari bahagian pantai barat untuk tiba sekelip mata ke pesisiran pantai timur dalam jangka masa yang pendek.

Namun Merpatika bagai memecah rekod, mengibarkan sayapnya sepantas dan sekuat yang mungkin mengharungi segala tamparan hebat Sang Angin memaksa dirinya menuju ke destinasi.

Kagum Dahlia dibuatnya namun tiba-tiba percikan setitis air mengejutkannya. Perlahan dia mengangkat jarinya untuk mencolet sedikit percikan cecair yang melekat di wajahnya itu.

Kegelapan alam menyukarkannya untuk melihat warna cecair tersebut namun sepertinya ia bukan air biasa. Ini lebih kepada cecair pekat. Tidak lain tidak bukan, ianya adalah darah.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now