Kisah - 62

594 53 3
                                    

  "Apa yang dibicarakan kau dengan Tuanku Raja Sang Kudawamarti?" Iskandar memecah sunyi sambil mengawal tali kekang kudanya. Mudah sedikit untuk dirinya yang menunggang seorang diri berbanding dengan Arjuna yang menunggang bersama Ratna.

  Gadis kecil itu menolak sungguh tatkala dipelawa Iskandar untuk menunggang bersama kerana Ratna tahu dia akan disakat lebih banyak lagi. Lebih rela Ratna menunggang bersama Arjuna.

  "Tiada apa. Beliau sekadar ingin berkenalan. Aneh ya tiba-tiba sahaja aku ditegur orang terhormat sebegitu." Balas Arjuna sambil tangan kanannya diletakkan di sisi Ratna, menjaga gadis kecil itu daripada terjatuh.

  Perbualannya dengan Raja Sang tadi diimbau kembali. Sungguh ringkas sahaja perbualannya namun Ratna terpaksa berdamping dengan Iskandar buat sementara waktu kerana Raja Sang ingin berbicara dengannya secara rahsia.

  Perbualan tadi bagai menyimbah Arjuna dalam lautan keliru. Nada bicaranya Raja Sang bagai udang di sebalik batu. Bukan sahaja itu, beliau juga seolah mengesyaki sesuatu daripada Arjuna namun segala hasad dan dengkinya ditopengkan dengan madah bicara yang sopan dan beretika.

  Arjuna mengeluh ringkas. Tidak mengerti apa yang menyebabkan Raja Sang seolah berminat mengambil tahu tentangnya.

  "Jauh lagikah perjalanan?" Segera Arjuna mengubah topik tatkala menyedari perbualan mereka seolah tidak ke mana.

  Iskandar menggeleng. "Sudah hampir tiba. Aku ini bijak orangnya. Tiadalah perlu untuk menggunakan jalan jauh sekiranya kita punyai jalan ringkas ke sana." Iskandar tersenyum penuh muslihat. Keningnya diangkat sengaja berlagak di hadapan Arjuna. Saat di Tarawangsa mungkin Arjuna yang lebih arif namun berpijaknya mereka di Wantachitra, sudah tentulah Iskandar yang jauh lebih arif.

  Arjuna tersenyum meleret. Bibirnya mencebik kecil. Menyampah juga la melihatkan perangai Iskandar seorang ini.

  "Lagi satu, kita tidak akan masuk melalui pintu utama, banyak kerja. Kita guna jalan belakang. Hehe." Iskandar tersengih nakal. Banyak sungguh akal pemuda seorang ini. 

_______________________•••____________________

  Dahlia berjalan di tengah kerumunan ramai. Segannya bukan kepalang namun perasaan itu dikubur segera tidak mahu menimbulkan kemusykilan buat Dewi lagi.

  Dalam kerumunan ramai itu, tidak semua penduduk menyambut kedatangan mereka dengan senyuman. Ada yang tersenyum girang namun ada juga yang berkerut dan tidak mengerti. Mungkin khabar kedatangannya Tengku Puteri ini sedikit lambat tiba ke mereka.

  "Ada apa Tengku Puteri berangkat tiba ke mari?"

  "Bertuah sungguhkah kita menerima keberangkatan tiba Tengku?"

  "Terkejut aku tadi tatkala pintu gerbang ini terbuka setelah sekian lama menjadi hiasan semata."

  "Khabar berita benar-benar lewat tiba ke pengetahuanku."

  "Aku turut serta ke sini tatkala melihat orang ramai yang berpusu-pusu bergerak datang ke mari. Tidak tahu pula aku akan keberangkatan tiba Tengku Puteri ke sini."

  Berbagai suara, berbagai bunyi, berbagai pendapat dimuntahkan oleh rata-rata penduduk di situ. Ternyata masih ramai yang belum tahu akan hal itu. Ada beberapa yang sudah tahu segera menerangkan apa yang berlaku sebenarnya.

  Riuh-rendah suasana dengan gelagat penduduk di sana. Bukan sahaja itu malah kaum wanita yang terdiri dengan sikap mulut tempayan mereka bukan sahaja mendedahkan soal keberangkatan tiba Puteri Seri Dahlia, namun turut diceritakan sekali kisah Tengku Puteri datang ke mari bersama burung gergasi yang selama ini wujud dalam lagenda sahaja.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now